Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – The New York Trilogy akan terus dibaca sebagai karya unik lagi menginspirasikan, buah tangan seniman prolifik Amerika, Paul Auster.
Auster, seperti dilaporkan media, meninggal dunia pada usia 77 tahun di Brooklyn, New York, kelmarin. Kematiannya disahkan oleh isterinya Siri Hustvedt. Terdahulu, Auster diketahui berhadapan dengan masalah paru-paru sejak tahun 2022.
Selain naskhah The New York Trilogy yang terbit pada tahun 1987, Auster sudah menghasilkan lebih 30 buah karya sejak tahun 1970 dengan terjemahan lebih 40 bahasa.
Uniknya, Auster menulis pelbagai genre memoir, puisi juga novel, malah beliau menembusi tembok komersial seni sehingga diundi berada dalam senarai American Academy of Arts and Letters. Auster juga dikenali sebagai penulis lakon layar dan menghasilkan Smoke pada tahun 1995 selain Lulu on the Bridge pada tahun 1998.
Sebagai novelis, Auster turut menghasilkan novel 4 3 2 1 sekitar bulan Januari 2017 setebal 866 halaman, manakala novel terakhirnya, Baumgartner, terbit pada bulan Oktober tahun lalu.
Auster lahir di Newark, New Jersey, pada tahun 1947 sebagai Paul Benjamin Auster. Sebelum ini, Auster dalam salah satu eseinya menuliskan dunia penulisannya yang bermula seawal lapan tahun disebabkan beliau gagal mendapatkan tandatangan daripada hero kegemarannya, Willie Mays. Sejak itu, beliau sentiasa membawa pensel ke mana saja beliau pergi.
Kredit Foto: Rebecca Bowring/Recontres 7e Art Lausanne