Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNew York – Jika anda mahu membaca cerpen terbaik berbahasa Inggeris atau terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan dalam majalah bercetak atau hantaran dalam talian di Amerika Syarikat dan Kanada, anda perlu menikmati antologi cerpen The Best Short Stories 2024: The O. Henry Prize Winners.
Antologi cerpen itu menghimpunkan cerpen yang disenaraikan sebagai pemenang Hadiah Cerpen O. Henry, iaitu sebuah penghargaan sastera yang diberikan sejak 105 tahun yang lalu. Pengiktirafan itu dinamakan bersempena dengan nama pengarang cerpen Amerika Syarikat, O. Henry.
Sejak tahun 2021, penghakiman cerpen-cerpen bagi memenangi hadiah ini dibuat berdasarkan format editor tamu dengan kerjasama pelbagai persatuan penulis. Tujuannya bagi memperkuat seni cerpen dalam sastera.
Untuk tahun ini, koleksi cerpen pemenang The O. Henry Prize ditangani oleh pengarang Amor Towles, seorang penulis “laku keras” menerusi karyanya The Lincoln Highway, A Gentleman in Moscow dan Rules of Civility. Jualan novel Towles mencecah jutaan naskhah dan diterjemahkan ke dalam 30 bahasa.
Selain Towles, himpunan naskhah itu turut ditangani bersama oleh Jenny Minton Quigley, pengarang memoir The Early Birds.
The Best Short Stories 2024: The O. Henry Prize Winners kali ini seperti diumumkan dalam laman web Literary Hub menghimpunkan karya pemenang termasuk Emma Binder menerusi cerpen “Roy”; Michele Mari (“The Soccer Balls of Mr. Kurz”, terjemahan daripada bahasa Itali oleh Brian Robert Moore); Brad Felver (“Orphans”); Morris Collins (“The Home Visit”); Jai Chakrabarti (“The Import”); Amber Caron (“Didi”); Francisco González (“Serranos”); Caroline Kim (“Hiding Spot”); Katherine D. Stutzman (“Junior”); Juliana Leite (“My Good Friend”, terjemahan daripada bahasa Portugis oleh Zoë Perry); Kate DiCamillo (“The Castle of Rose Tellin”); Colin Barrett (“Rain”); Robin Romm (“Marital Problems”); Allegra Goodman (“The Last Grownup”); Dave Eggers (“The Honor of Your Presence”); E. K. Ota (“The Paper Artist”); Tom Crewe (“The Room-Service Waiter”); Madeline ffitch (“Seeing Through Maps”); Jess Walter (“The Dark”); dan Allegra Hyde (“Mobilization”).
Semua senarai pemenang baru saja diumumkan dan naskhah himpunan cerpen pemenang akan diterbitkan pada September depan oleh penerbit Vintage Books.
Kredit Foto: Siora Photography/Unsplash