Oleh Rosli K. Matari
13 Julai 2023, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allahyarham Ilmin Abdullah, penyair, aktivis, wartawan, dan penulis Kelantan yang mempunyai tempatnya yang tersendiri di peta sastera Kelantan. Rosli K. Matari menulis tentangnya sebagai sebuah penghormatan terakhir.

Sungguhpun naskhah itu tidak banyak, Ilmin berhabis wang kira-kira RM100 juga. Walaupun jumlah wang itu tidak besar, tetapi nilai budinya amat besar. Saya tidak memilikinya lagi, sudah dimakan anai-anai, tetapi beberapa sahabat masih ada menyimpannya.

Pada zaman muda, kami mempunyai rutin biasa berkumpul di salah sebuah warung di seberang jalan berhampiran Gelanggang Seni. Biasanya pada setiap petang Khamis–Sabtu, namun lebih lazimnya pada hari Sabtulah kami berkumpul. Hal ini, berlangsung setiap minggu, sepanjang beberapa tahun. Seingat saya, hampir empat tahun. Sambil minum kami berjenaka, namun lebih banyak pada sembang sastera, karya dan aktiviti sastera.

Mereka yang selalu berkumpul ialah Wadi Leta S.A., Mustapha Jusoh (Allahyarham), Awi Ucuk Tara, Rahimidin Zahari (Allahyarham), Abdul Ghani Abdullah, Salmie Said (Allahyarham), selain Ilmin dan saya. Sesekali, hadir juga para penulis Kelantan yang lain. Juga penulis dari Terengganu dan Kuala Lumpur yang ingin turut merasai pengalaman berkumpul itu.

Ilminlah yang paling sering membelanjai minum, sesekali makan itu ini. Hatinya pemurah. Bayangkanlah, jika sepanjang empat tahun.

Meskipun Rahimidin Zahari merupakan murid saya, namun beliau rapat sekali dengan Ilmin; sebagaimana saya akrab dengan Ilmin. Beliau banyak membantu Rahimidin, termasuk sekali-sekala hal wang kerana Rahimidin belum bekerja ketika itu. Semasa Rahimidin berjaya menjawat Pegawai Kebudayaan, memulakan tugas di Kuantan, beliaulah yang menghantar Rahimidin ke sana dengan keretanya. Pulangnya pula bersendirian kerana saya tidak mendapat cuti untuk ikut menemani.

Cuma Ilmin tidak pernah mengajar puisi kepada Rahimidin. Padahal, beliau mahir dan puisinya ada yang bagus-bagus, walaupun kebanyakannya agak pendek. “Sajak aku pun, Rosli caing. Nak ajarmu lagu mano (bagaimana)?” getus Ilmin. Kami gelak. Caing itu dimaksudkannya sebagai kritik atau baiki.

Salah sebuah kumpulan puisi Rahimidin Zahari pada zaman awal kreativitinya, Ilminlah yang menyumbangkan wang bagi biaya terbit. Asalnya bukanlah untuk diterbitkan. Selepas saya menyemak kerana membimbing, Rahimidin menaipnya dengan rapi. Ilminlah yang mencadangkan agar himpunan itu diterbitkan. Bukan saya. Oleh itu, Ilminlah yang membiayai. Begitu sekali, budinya. Beliau turut menyimpan impian ingin melihat Rahimidin berjaya menjadi penyair besar.

Saya tidak ingat lagi judul kumpulan itu. Ilustrasi kulit depan ialah sketsa sebatang lilin menyala. Mengapa harus lilin? Itu pun dicadangkan oleh Ilmin. Rahimidin patuh sahaja. Oleh itu, disiapkan sktesa lilin tersebut. Saya tidak ingat, siapa yang diminta oleh Rahimidin untuk melukiskannya.

Namun, saya tetap ingat kata-kata Ilmin, “Lilin ini kau (Rahimidin). Baru hendak menyala.” Rahimidin menukas berjenaka, “Kalau lilin, dua tiga kali kerlip, padam.” Kami gelak.

Ilmin Abdullah

Kumpulan itu nipis, beberapa buah puisi sahaja. Salah satunya termuat sebuah puisi panjang. Asalnya, beberapa buah puisi, tetapi dicantumkan oleh Rahimidin kerana ingin memperagakan kebolehannya mencipta puisi panjang. Ghairah penyair muda. Terbit secara berfotostat. Kulit daripada kertas manila kad. Stensilan. Pada masa itu, istilah zine belum popular seperti sekarang.

Rahimidin hanya mahukan sekadar 50 naskhah sahaja untuk berbahagi kepada sahabat dan kawan, tetapi dilebihkan oleh Ilmin kepada 71 naskhah. Baik hati dan budinya. Saya tidak tahu, mengapa harus dilebihkan lagi pada satu naskhah itu? Saya sendiri tidak bertanya kerana sedia mengetahui sifat budi baiknya.

Sungguhpun naskhah itu tidak banyak, Ilmin berhabis wang kira-kira RM100 juga. Walaupun jumlah wang itu tidak besar, tetapi nilai budinya amat besar. Saya tidak memilikinya lagi, sudah dimakan anai-anai, tetapi beberapa sahabat masih ada menyimpannya.

Penyair wanita terkenal generasi baharu waktu itu, Teratai Abadi (Allahyarhamah) ialah anak murid Ilmin, semasa di Sekolah Menengah Kubang Kerian II. Ilmin mengajar subjek Kesusasteraan di situ. Teratai diasuh agar minat pada sastera, puisi dan teater oleh beliau. Dibimbing awal dalam penulisan puisi.

Apabila Teratai sudah bekerja di Kuala Lumpur, hubungan baik mereka tidak putus dan minat kreativiti Teratai pada puisi berterusan. Kemudian barulah Ilmin menyarankan Teratai mendapat bimbingan daripada saya. Dua tahun lamanya saya membimbing kreativiti puisinya, tanpa pernah kenal bertemu wajah ketika itu, hanya melalui e-mel.

Khalayak sastera mungkin menyangka Kekasih Hujan (ITBM, 2015) merupakan kumpulan puisi pertama Teratai Abadi. Sebenarnya, tidak. Ada kumpulan lain yang lebih awal diterbikan di Kota Bharu. Sayangnya, saya tidak ingat lagi tajuknya, namun pernah saya catatkan dalam esei belasungkawa Allahyarhamah yang ditulis dalam Dewan Sastera masa lalu.

Kumpulan ini pun diusahakan oleh Ilmin, di luar pengetahuan awal Teratai. Berdasarkan puisi yang dibimbing oleh saya, Ilmin memilih dan mengumpulkan, lalu dicetakkannya di Kota Bharu. Ilmin ingin melihat Teratai dapat bermandiri dalam dunia puisi tanah air.

Apabila terbit, lImin menghubungi Teratai supaya segera pulang. “Ada benda mustahak,” kata Ilmin. Teratai pulang. Terkejut bukan main, gembira tidak terkata. Bagai hendak diciumnya akan Ilmin dan saya. Ilmin menolak wang kos cetak yang ingin dibayar kembali oleh Teratai. Lebih RM1000. Begitu besar kemurnian hati, budi dan pengorbanan Ilmin kepada anak muridnya.

Meski dekad berlalu, kemurnian nurani Ilmin membantu penulis muda ke arah menjadi lebih berjaya, tidak pernah terhenti sekerat jalan. Sekali-sekali, beliau berusaha menerbitkan antologi puisi yang menghimpunkan karya kalangan penyair pelapis Kelantan.

Sesetengahnya pula, berdasarkan kepekaan isu atau peristiwa semasa global. Sesetengah antologi ini pula, membuka peluang luas kepada penyair muda dan pelapis di tanah air. Namun dalam konteks ini, beliau mengenakan bayaran bagi tampungan kos. Sungguhpun demikian, saya tahu benar, akhirnya beliaulah yang akan menambah tanggungan kos.

Hal demikian kerana hati baiknya. Hal ini terjadi kerana sesetengah peminat puisi atau pelapis tidak menyertakan bersama kiriman kos. Sekadar mengirimkan puisi dengan pertanyaan: “Tuan tolong semak dahulu, sesuai atau tidak?” Karya itu tetap akan diterimanya ke dalam antologi. Demikian baik hatinya, tanpa memaksa pada soal kos lagi.

Terbaharu, sebagai contoh, beliaulah yang mengusahakan percetakan kumpulan cerpen dan puisi Tidak Terkalahkan (2022) bagi karya penulis muda yang kini sedang meningkat, Sujata Wee. Beliau penulis wanita peranakan Cina-Kelantan. Menurut Sujata, beliau menghulurkan biaya untuk membayarnya, tetapi Ilmin hanya mengambil separuh sahaja kos itu. Hal ini menjadi budi dan kenangan yang tidak dilupakan oleh Sujata.

Dalam whatsApp kumpulan Pemuisi Nasional Malaysia pula, saya menemui catatan penulis, Abdul Aziz Ali mengenai budi Ilmin: “Arwah yang selenggara kumpulan puisi saya tanpa apa-apa bayaran, dalam masa PKP 2021. Tersentuh di sudut hati, orang yang baik budi bahasa. Semoga Allah menempatkan bersama-sama orang yang salih.”

Sebagai analogi, sebesar-besar lautan adalah datangnya dari sungai. Sungai itu pula kerana adanya sekian banyak anak sungai. Demikian juga pada kesusasteraan tanah air. Allahyarham Ilmin Abdullah adalah salah satu anak sungai itu.

Pada kerjaya, Imin ialah pendidik yang berjaya mencecah gred gaji yang tinggi. Meski menjawat Penolong Kanan Pentadbiran, pada kebanyakan sekolah tempat beliau mengajar, gajinya jauh lebih tinggi daripada Pengetua.

Apabila beliau akan bertukar sekolah, pelajar sedih dan guru berlinang air mata. Saya tidak berasa hairan, apabila seorang guru pernah memberitahu saya secara berjenaka, “Usahkan orang, kambing pun suka masuk dalam kawasan sekolah kalau ada Cikgu Ilmin.” Kata-kata itu tidak bermaksud menghina, sebaliknya menggambarkan betapa baik hati dan mudah pemaafnya sifat Ilmin. Nuraninya lembut.

Ilmin turut aktif dalam aktiviti politik. Beliau dikenali oleh hampir semua tokoh politik penting di Kelantan. Paling disukainya ialah, kesempatan membahagikan barangan dan derma wang kepada golongan miskin, yang disalurkan oleh parti atau tokoh politik.

Tidak hairan, melalui kuasa politik, beliau pernah berpeluang ditawarkan menjawat Pengarah Pendidikan Negeri. Namun, beliau menolak. Malah, tidak pula menggunakan pengaruh atau kuasa politik untuk mengekalkan dirinya di mana-mana sekolah. Beliau pernah berpeluang dicadangkan menjadi calon pilihan raya umum bagi kawasan parlimen. Namun, juga ditolaknya.

Pada pengamatan saya, kesibukan ialah faktor yang menyebabkan beliau jarang-jarang sekali menulis. Beliau sebagai pendidik dan Penolong Kanan, aktivis sastera, aktivis politik, malah aktivis sosial bagi beberapa persatuan.

Dalam gerakan sastera, selain pernah menjadi setiausaha PPK, beliau kemudian sebagai Ketua Satu bagi Persatuan Angkatan Seniman Muda Wan Kembang Darul Naim (ASWADA), ahli jawatankuasa Persatuan Wartawan Malaysia cawangan negeri Kelantan, dan terakhir ialah Pengerusi bagi Persatuan Penyair Malaysia cawangan negeri Kelantan.

Ilmin sebenarnya cukup berkebolehan menulis puisi dengan baik dan bermutu, namun beliau kurang prolifik. Kebanyakan puisinya agak pendek. Kreativiti puisi tidak panjang ini, bagai suatu psikologi yang dipengaruhi oleh kesibukannya. Puisinya tersiar dalam beberapa majalah, akhbar dan jurnal. Suatu masa lalu, beliau pernah mengagumkan kami. Sebuah artikelnya yng mengupas senario politik Kelantan tersiar satu halaman penuh dalam sebuah akhbar.

Menjelang penghujung tahun persaraannya, beliau menghidap diabetes. Pernah dirawat di wad hospital, manakala kali kedua pula, pada awal Mei baru lalu, kira-kira seminggu Ilmin terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Namun amat mengejutkan, beliau dikesan pula menghidap barah paru-paru, malah sudah pun pada tahap empat. Beliau segera dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi Hibrid. Ketua Satu GEMA, Zainal Abidin Muhamad dan saya mengunjunginya.

Tiga hari terakhir, pada hari Isnin, beliau tidur keletihan. Bernafas menggunakan oksigen. Maka, kami tidak mengganggu. Keesokannya, Selasa, saya berasa harus menegurnya. Beliau membuka mata, tetapi tidak dapat bercakap kerana memakai alat oksigen.

Saya memeluk, mengusap dahi, rambut, dan mencium pipinya berulang-ulang kali. “Maaf, ya, Min,” ujar saya menahan sebak. Beliau mengangguk, air mata bercucuran. Saya mengesat cucuran air matanya dengan kain selimutnya. Ketika itu, sebelah kaki kanannya sudah sejuk dingin. “Pakaikan stoking,” saya memberitahu kepada anak sulung lelakinya, Izdihar.

Petang Rabu, Zainal dan saya datang lagi. Kami tidak mengganggu, menegurnya. Sejenak, beliau membuka matanya. Tampak oleh saya, matanya sudah berubah kelabu, kabur. Tubuhnya sudah sejuk dingin sepenuhnya. Tahulah saya, pada agakan dan pengalaman, beliau sudah bersedia untuk berpulang ke rahmatullah.

Oleh sebab di wad itu tidak dibenarkan menunggu, walau oleh keluarga, maka kami harus pulang. Saya berasa, dapat menduga, perpisahan dengannya buat selama-lamanya. Berasa, sebagai petang, bertemu buat kali terakhir. Saya memeluk erat dan menciumnya buat kali terakhir, dengan linangan air mata. Tiadalah dapat saya gambarkan rawan jiwa saat itu.

“Mungkin malam, atau subuh nanti,” saya memberitahu, agakan, kepada Zainal. Zainal mengangguk, memahami maksud saya, ketika kami melangkah pulang.

Kira-kira jam 10.00 malam, saya menerima whatsApp daripada Izdihar, menyatakan tahap pernafasan oksigen ayahanda tercintanya sudah menurun kepada tahap 70 (yang diperlukan ialah tahap 90). Tiadalah saya dapat berbuat-apa-apa, selain mendoakan, sebagai kasih kepada sahabat. Allah SWT Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Penyayang, lagi Maha Menghendaki dan Maha Mengetahui.

Khamis, 18 Mei. Jam 10.50 pagi, saya menerima whatsApp Izdihar lagi. Tahulah saya, sahabat terkasih sudah berpulang ke rahmatullah, selama-lamanya. Penghujung usianya ialah 66 tahun. Beliau dilahirkan pada tahun 1957.

Antara sahabat yang hadir pada solat jenazah beliau, pada petang asar di masjid yang terletak di Kampung Huda, Kota Bharu ialah penyair terkenal, Darma Mohamad, Moechtar Awang, juga penyair veteran, Khalid Ibrahim, selain Zainal dan saya. Penuh masjid itu dengan ahli jemaah asar dan kaum kerabatnya.

Pusara Allahyarham, tidaklah jauh dari masjid dan rumah kediaman semasa hayat beliau. Malah, sebenarnya, tidaklah jauh sangat dari kediaman Zainal dan saya di Kubang Kerian. Kira-kira 15 minit sahaja, berkenderaan.

Penulis (kiri) di pusara Allahyarham Ilmin Abdullah.

Seisi keluarga tercintanya ialah: isteri – Siti Hizmani Abdul Rahman, 64 dan lapan putera puteri – Muhammad Izdihar (39), Muhammad Izzat (38), Siti Syazwani (36), Muhammad Ifwat (35), Siti Nor Adilah (29), Siti Noriman (27), dan Siti Syafinaz (23).

Di luar pengetahuan keluarga tersayangnya, sesekali, Zainal dan saya tetap mengunjungi pusara Allahyarham. Moga-moga Allah SWT melimpahi rahmat dan kasih sayang-Nya ke atas roh Allahyarham. Amin.

Sebagai analogi, sebesar-besar lautan adalah datangnya dari sungai. Sungai itu pula kerana adanya sekian banyak anak sungai. Demikian juga pada kesusasteraan tanah air. Allahyarham Ilmin Abdullah adalah salah satu anak sungai itu.

Beliau bukanlah penulis penting atau masyhur. Juga, bukan aktivis sastera ternama di tanah air.

Akan tetapi, di sebalik beliau, terselindung sekian banyak jasa, budi, pengorbanan, dan cintanya pada kesusasteraan tanah air yang dapat disumbangkannya melalui nadi dan perkembangan kesusasteraan Kelantan. Malah, keluhuran budi dan pengorbanan baktinya kepada generasi penulis muda Kelantanlah yang paling mengagumkan, sekali gus mengharukan.

Al-Fatihah.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

Terselindung di Sebalik Ilmin Abdullah (Bhg. 1)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) menerima Hadiah Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.