Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Persatuan Penulis Kelantan (PPK) akan menerbitkan sebuah buku khusus sempena genapnya usia 77 tahun Ketua 1 PPK, Tuan Haji Wan A. Rafar pada penghujung 2024 ini.
Penghargaan berbentuk buku festschrift ini dijangka akan diterbitkan pada bulan Disember 2024 nanti sempena genapnya usia 77 tahun penyair veteran itu.
Wan A. Rafar yang mula menulis sejak tahun 70-an lagi telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada perkembangan dunia sastera tanah air, terutamanya dalam penghasilan karya sajak.
Selepas terbitnya sajak pertama berjudul “Jendela dan Kemeja” dalam majalah Dewan Masyarakat keluaran September 1966, karya-karya Wan A. Rafar juga turut memeriahkan dunia persuratan tanah air dengan memenangi hadiah sastera melalui sajak berjudul “Bahasa Kerbau” (1971), “Bagong” (1974) dan “Wukuf” (1982).
Atas kecekalan dan istiqamahnya dalam dunia kepenyairan, PPK mengambil inisiatif menerbitkan buku penghargaan khusus berupa penghormatan sekali seumur hidup ini untuk mengenang jasa beliau dalam kesusasteraan dan dunia berpersatuan.
Pihak PPK hanya menerima tulisan dalam bentuk esei; bukan sajak, pantun, syair, atau genre lain. Hanya esei, sekitar 20 hingga 30 tulisan untuk dimuatkan dalam buku khusus yang bakal diberi judul 77 Tahun Wan A. Rafar.
Pihak PPK juga menyatakan, sesiapa saja boleh menyumbang, baik pengarang, penyair, kawan, kenalan, ahli keluarga atau peminat karya Wan A. Rafar. Penyumbang boleh menulis riwayat hidupnya, sifat peribadinya, karyanya, analisis dan ulasan karya, atau apa-apa saja perihal penyair Wan A. Rafar.
Esei perlu dikarang sepanjang 800 hingga 3,000 perkataan. Tiada honorarium akan diberikan kepada penulis. Setiap penulis hanya akan mendapat sebuah buku percuma. Tarikh akhir pengiriman esei pada 17 November 2024 (Ahad) 11.59 malam. Esei tersebut boleh dikirim dalam bentuk Microsoft Word ke e-mel: [email protected].