Oleh Salman Sulaiman
16 Disember 2024, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gua Musang – “Kehadiran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) ke sekolah ini memberi impak dan menjadi pemangkin kepada minat pelajar terhadap subjek kesusasteraan.”

Hal itu diakui oleh Encik Abdul Razak Rezeki Othman, guru subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 (SMK TIP 1), Gua Musang.

Baginya, tahun 2024 memperlihatkan adanya sinar untuk subjek Kesusasteraan Melayu kerana minat pelajar kian tumbuh ekoran anjuran pelbagai aktiviti sastera, khususnya pertandingan pantomin antara kelas yang diadakan pada bulan Ogos lepas.

Abdul Razak yang juga merupakan Setiausaha 2 PPK mengalu-alukan kehadiran PPK mengadakan Program Ziarah sastera ke SMK TIP 1 pada 8 dan 9 Disember lalu.

Program yang berlangsung selama dua hari itu dimulakan dengan Bengkel Deklamasi Puisi dan Asas Teater pada sebelah malam hari pertama, yang dibimbing oleh Encik Abdul Hadi Yusoff dan Encik Aziz Mohd Nor (Bendahari PPK).

Encik Abdul Hadi Yusoff memberikan bimbingan kepada para pelajar SMK TIP 1.

Acara kemuncak pada hari kedua diteruskan dengan Bengkel Penulisan Puisi, sekali lagi dibimbing oleh penyair yang juga Setiausaha 1 PPK, Abdul Hadi Yusoff bersama-sama salah seorang Ahli Jawatankuasa PPK, Encik Chu E Liang.

Peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan enam SMK TIP 1 selain mengikut bengkel, juga turut menghasilkan karya. Mereka dibantu oleh para pembimbing pada akhir sesi.

Turut diadakan semasa program tersebut ialah sesi Bicara Karya yang memperkatakan kumpulan sajak terbaharu Abdul Razak Rezeki Othman berjudul Mengeja Sesudah Membaca (PPK, 2024) yang dibicarakan oleh Wan A. Rafar (Ketua 1 PPK) dan Salman Sulaiman.

Ziarah Sastera menjadi salah satu program penutup bagi kalendar acara PPK tahun 2024.

Majlis penutupnya disempurnakan oleh Tuan Haji Hamdan Abdul Kadir selaku Ketua Penolong Pengarah (Bahasa), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Tuan Haji Hamdan menyampaikan ucapan agar ingin melihat subjek sastera terus maju dan subur di SMK TIP 1 serta sangat berharap agar subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif untuk pelajar tingkatan empat dan lima turut diadakan di sekolah berkenaan.

Buku Cikgu Abdul Razak, Mengeja Sesudah Membaca dan buku himpunan karya para pelajar bertajuk Rindu Anak Bongsu turut dilancarkan dalam majlis tersebut.

Dua buah buku dilancarkan sempena majlis penutup, hasil buah tangan guru, Mengeja Sesudah Membaca, dan anak muridnya, Rindu Anak Bongsu.

Turut hadir dalam acara penutup tengah hari itu ialah YBrs. Encik Hashim Ali (kini Pengetua SMK Sultan Yahya Petra 2) yang merupakan mantan pengetua di SMK Tengku Indra Petra 1 dan YBrs. Puan Dayang Asmah Abd. Hamid, iaitu Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tengku Indra Petra 1 serta para pentadbir sekolah.

Kredit Foto: Salman Sulaiman
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.