4 April 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin berpandangan bahawa tanpa karya sastera klasik, tidak akan ada karya sastera yang baharu selain menyatakan bahawa kedua-duanya penting untuk didokumentasikan.

Banyak karya sastera Melayu klasik kita masih berada di beberapa buah negara asing. Kita bukan pewarisnya jika tidak berasa kesal dan kecewa.

Karya sastera Melayu klasik dan moden perlu dipelihara, serta diangkat dengan wajar kerana kedua-duanya amat berharga. Generasi lama dan baharu merupakan pemilik, serta bertanggungjawab ke atasnya.

Banyak karya sastera Melayu klasik kita masih berada di beberapa buah negara asing. Kita bukan pewarisnya jika tidak berasa kesal dan kecewa. Sebagai pewarisnya, tentu kita amat berharap ia tidak turut berlaku pada karya sastera moden hari ini.

Walau bagaimanapun, kita masih bernasib baik. “Bermastautin”nya karya-karya tersebut di negara asing sedikit sebanyak memberikan sinar harapan kerana kita masih boleh berusaha mendapatkannya semula.

Tentulah hal ini tidak sama dengan kerugian yang terpaksa ditanggung apabila beribu-ribu naskhah manuskrip sastera Melayu klasik telah musnah terbakar bersama-sama kapal yang membawanya di Lautan Hindi kira-kira empat kurun lalu. Demikian juga halnya dengan kebakaran di pejabat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1986. Sungguhpun begitu, kita patut bersyukur kerana pihak-pihak atasan yang berkenaan telah sedar untuk mencari, serta mengkaji semula karya sastera klasik tersebut.

Seperkara yang dimaklumi ialah identiti penulis dan pencerita karya sastera Melayu klasik itu misteri, atau tidak dikenali. Keadaan tersebut berlaku antara lain kerana sikap mereka yang tidak individualistik, tidak suka menonjolkan diri sebagai penulis, dan menganggap tulisan atau cerita mereka milik masyarakat.

Tidak dinafikan sikap sedemikian murni, dan boleh diteladani. Walau bagaimanapun, dari segi lain (lebih besar dan penting), ia sebenarnya memakan diri sendiri dan merugikan (dalam jangka masa panjang). Disebabkan oleh sifat anti individual, secara tidak langsung mereka kurang ataupun enggan mempertahankan tulisan, atau cerita mereka. Para sarjana atau pengkaji Barat ketika itu telah mengambil kesempatan atas kelemahan tersebut dengan mudah. Akibatnya, segala hasil sastera dikumpulkan dan dibawa ke negara mereka.

Jadi, sekarang kita terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan kembali ribuan naskhah sastera klasik itu. Lebih sukar (malah mustahil?) ialah menulisnya semula!

Ada yang mencadangkan agar tugas menulis semula karya sastera Melayu klasik itu diserahkan kepada penulis sekarang, dengan mencungkil cerita atau rahsia daripada orang-orang tua yang masih hidup yang memiliki atau menyimpan khazanah tersebut.

Memang ini tugas sukar yang perlu dilakukan dengan tekun dan penuh minat. Banyak masalah yang terpaksa dihadapi, seperti untuk mengetahui, mencari dan menemui orang-orang tua yang berkenaan. Tambah menyukarkan, tidak ramai penulis sastera moden hari ini gemar melakukan kerja menyelidik dan menulis cerita lama. Hampir semua penulis muda keberatan untuk melakukan kerja sedemikian.

Seorang rakan penulis saya, Naharuddin Abdul Majid yang banyak menulis pantun dan syair turut memberikan pendapatnya mengenai perkara ini. Menurut beliau atau nama penanya, Pena Permai, ikhtiar mendapatkan semula khazanah sastera lama seperti syair, gurindam dan pantun memang sangat wajar.

Tegas Pena, sebuah pasukan tenaga kerja yang amat memahami karya puisi tradisional perlu ditubuhkan untuk mendapatkan kembali karya klasik tersebut. Tambahnya yang pernah memenangi sayembara menulis pantun dan gurindam, “kalau akar tunjangnya tidak ditemui, dahan atau ranting pun sudah memadai.”

Sayembara puisi klasik, tambah Pena, perlu kerap dianjurkan selain urusan penerbitan antologi puisi tersebut yang perlu dipermudahkan.

Ada juga yang mencadangkan agar semua cerita rakyat seperti makyung, wayang kulit, dan cerita asal usul dibukukan, atau disiarkan secara bersiri (bulanan atau mingguan) dalam akhbar dan majalah.

Sebahagian besar anggota masyarakat hari ini berminat mengetahui butir-butir sesebuah novel, cerpen, puisi, dan rencana dengan lebih mendalam. Usaha memelihara karya sastera moden boleh dianggap lengkap kerana tersedia maklumat seperti nama penulis, judul karya, tarikh diterbitkan, dan nama penerbitnya. Hal ini diyakini dan diperkuat lagi apabila ada pihak yang memberikan beberapa cadangan yang baik.

Pertama, perluaskan pasaran buku baharu, serta ulasannya untuk memberitahu masyarakat terlebih dahulu butir-butir buku yang akan diterbitkan. Kedua, penerbit memberi peluang kepada para penulis baharu yang dianggap berbakat untuk menerbitkan karya sastera dengan kos yang berpatutan.

Namun demikian, cadangan ini akan tinggal hanya cadangan jika tiada sambutan yang baik daripada pihak-pihak berkenaan.

Bahasa dan sastera berjalan seiring dan saling memerlukan. Dalam konteks ini, hasil sastera Melayu klasik kita dibangunkan oleh bahasa Melayu. Semasa hayatnya, Ketua Pengarah DBP yang kelima, Dato’ Haji Hassan Ahmad pernah menegaskan bahawa bahasa Melayu dengan ciri-ciri keterbukaannya telah berjaya menghasilkan karya sastera seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Menurutnya lagi, bahasa Melayu turut membangunkan hasil sastera moden hari ini.

Jika mantan Ketua Pengarah DBP yang merupakan pejuang bahasa dan budaya Melayu tegar semasa hayatnya telah berkata sedemikian, mengapa pula kita mahu menolak?

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.