Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 19:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan melancarkan buku Bibliografi Sasterawan Negara Rahman Shaari dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, pagi tadi.

Majlis gimik pelancaran buku ini disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga  Pengelola DBP YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Dalam pengisian bibliografi yang disusun oleh Pusat Dokumentasi Melayu DBP ini, menampilkan senarai lengkap karya kreatif perseorangan Rahman Shaari, karya beliau dengan pengarang lain, termasuklah hasil karya yang disusun serta disunting oleh beliau.

Bibliografi turut disusun mengikut jenis bahan dan genre, seperti cerpen, antologi cerpen, drama, novel, puisi, buku, artikel akhbar, artikel majalah, artikel jurnal, dan artikel dalam talian.

Bibliografi ini juga mengikut penyusunan entri bibliografi yang berpandukan format Gaya Dewan Edisi Keempat.

Tujuan DBP menerbitkan Bibliografi Sasterawan Negara Rahman Shaari adalah untuk menghargai sumbangan SN ini serta karya yang pernah dihasilkannya sepanjang berjuang dalam dunia sastera dan penulisan.

Bibliografi ini juga sesuai sebagai sumber rujukan para pengkaji dan penyelidik sastera, pelajar, aktivis, serta peminat kesusasteraan kontemporari.

Bibliografi Sasterawan Negara Rahman Shaari boleh didapatkan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi