Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buku kumpulan puisi terbaharu karya Raja Ahmad Aminullah bertajuk Continuum telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan sekarang sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Majlis peluncuran buku tersebut diadakan di The Grey Box GMBB, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada pagi tadi.
Dalam majlis tersebut, Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh turut memberikan komentar berkaitan karya terbaharu Raja Ahmad Aminullah. Beliau menyatakan bahawa karya tersebut merupakan hasil pemikiran seorang penyair yang berbeza daripada penyair yang lain.
Penyair Malaysia ini kebanyakannya romantik. Mereka bercakap tentang rindu dan dendam, tetapi karya ini tidak begitu. Sajak-sajaknya tidak romantis, tetapi penuh dengan pelbagai kemungkinan dan makna yang baik.
Selanjutnya, beliau juga turut membicarakan tentang stamina dan kecergasan Raja Ahmad Aminullah dalam dunia penulisan. Ujarnya, “ beliau masih menulis kerana baginya puisi ialah alat merenung, mengimbang, menilai, dan menunjuk jalan supaya kita dapat menjadi manusia yang mulia dan mempunyai harga diri.“
Selain itu, beliau juga turut menyentuh secara ringkas berkenaan gaya dan landskap dunia persajakan tanah air. Menurutnya, dalam masyarakat tradisional, puisi hidup di tengah-tengah kehidupan. Katanya lagi,
Puisi bukan sahaja membawa suara yang merdu, tetapi juga puisi mempersoalkan teras kehidupan. Puisi merenung manusia dan lagak lakunya. Puisi menyatakan hasrat sesebuah negara untuk berdiri sendiri sebagai negara yang bebas dan mulia.
Dalam majlis itu, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain merakamkan penghargaan terima kasih kepada penganjur kerana menjemput beliau, turut membaca salah sebuah puisi dalam buku tersebut yang bertajuk “against forgetting“.