Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka dan menyumbang ke arah memperkaya khazanah sastera bangsa.
Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, peluang itu yang dinamakan sebagai projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI.
“Projek Penerbitan PENA-MALAYSIA MADANI ini ialah ‘angin segar’ bagi kami penulis.
“PENA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Malaysia atas sokongan melalui bantuan peruntukan bagi melaksanakan projek ini.
“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana meyakini bahawa karya sastera merupakan kaedah terbaik ke arah pembentukan nilai kemanusiaan, memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial, dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang media petang semalam.
Mohamad Saleeh berkata, menerusi projek penerbitan berkenaan, PENA menyasarkan 100 judul buku untuk diterbitkan.
Katanya, projek ini membuka pintu bagi pelbagai genre penulisan, terutamanya karya sastera (novel, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen, dan puisi), buku umum, sehingga buku bergambar kanak-kanak.
“Manuskrip boleh mula dihantar mulai 1 Ogos hingga 15 November 2024. Penulis yang menyertai projek ini akan memperoleh beberapa manfaat.
“Royalti yang menguntungkan, iaitu menerima 10 peratus daripada harga jualan buku, proses penerbitan segera, selain PENA menyasarkan penerbitan buku dalam tempoh enam bulan selepas manuskrip dipilih.
“Edaran buku meluas, iaitu akan diedarkan secara meluas melalui pelbagai saluran, sama ada secara dalam talian, perpustakaan dan kedai buku, selain akan mendapat bimbingan editor profesional bagi meningkatkan kualiti karya,” katanya.
Tambah Mohamad Saleeh, melalui projek ini, PENA berharap agar dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
“Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum,” katanya.
Manuskrip karya boleh dikirimkan melalui e-mel [email protected] ataupun WhatsApp 019-5196316.
Kredit Foto: Anuar Manshor/PENA