Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Kelab Kembara Sastera Kelantan (KS) telah berjaya menerbitkan lebih 100 buah buku merangkumi pelbagai genre dalam tempoh kira-kira enam tahun sejak penubuhannya pada tahun 2019.
Pengerusinya, Sdr. Mukhtar Mustapha memberitahu, buku-buku yang diterbitkan kebanyakannya membabitkan penulis daripada ahli kelab itu sendiri selain beberapa penulis lain yang berhasrat membukukan hasil karyanya melalui kelab berkenaan.
Beliau berkata, segala urusan berkaitan penerbitan sepenuhnya melibatkan kos sendiri tanpa bergantung pada mana-mana dana, geran atau bantuan luar.
“Untuk menerbitkan sesebuah buku bukan suatu kerja mudah. Semua orang faham, hal itu memerlukan masa, komitmen serta ketekunan tinggi. Tetapi penulis ini kadang-kadang ingin sangat karyanya dibukukan.
“Menyedari situasi itu, kami dalam Kembara Sastera mengambil inisiatif untuk cuba merealisasikan impian penulis-penulis, terutamanya penulis dari ahli kelab yang sanggup menggunakan kos sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran enam buah buku baharu terbitan KS yang berlangsung di Hotel Jewel, petang semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Penerbitan) Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Nur Anis Salwani Awang Mohammad sebagai mewakili pengarahnya.
Enam buku tersebut ialah, Panduan Haiku, Antologi Keindahan Masjid Iktikaf 1 dan 2, Antologi Sayembara Pantun Kembara Sastera Warisan Budaya, Antologi Cerpen Kembara Sastera Edisi ke-4, dan Antologi Anekdot.

Mengulas lanjut, Mukhtar berkata, KS kini sedang dalam proses penyusunan untuk menerbitkan beberapa buah buku baharu, termasuk buku direktori kedua, antologi cerpen dan Iktikaf 3 untuk bacaan umum.
“Buku direktori ini ialah buku yang mengandungi atau menghimpunkan maklumat seperti senarai nama, alamat serta nombor telefon, termasuklah senarai karya penulis dan beberapa elemen lain yang berkaitan, yang boleh memberi manfaat kepada semua.
“Kita akan berusaha sedaya upaya agar buku-buku ini nanti dapat diterbitkan dalam masa yang terdekat,” katanya.
KS dituwujudkan sebagai ruang bagi menggalakkan penulis dan aktivis sastera bergerak dengan lebih aktif dalam menjana kreativiti selain merancakkan industri perbukuan.
Keahlian kelab terbuka kepada penulis di seluruh negara termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand.