Oleh Ismail Hashim
21 Jun 2024, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ismail Hashim menampilkan usaha penganugerahan, kegiatan penerbitan dan sesi apresiasi yang lebih pragmatik untuk jangka hayat sastera yang lebih baik.

Sudah tentunya ada suara-suara sumbang yang berketak. Ini Malaysia, kita bukan berada di Barat. Rakyat mereka suka membaca. Rakyat kita di sini sukakan medsos yang lebih banyak mendatangkan hiburan, terutamanya cerita-cerita yang sensasi.

Apabila seseorang penulis dianugerahi Sasterawan Negeri, ada dua persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Pertama, apakah hal itu dijadikannya sebagai puncak diri seorang penulis sewaktu menerima anugerah tersebut?

Kedua, adakah hal itu merupakan titik penamat, maksudnya bersara daripada menulis dan berehat panjang?

Saya sempat bertanya kepada rakan penulis dan menurutnya, setelah persatuan mengusahakan anugerah “Sasterawan Negeri” untuknya, wajarlah diri penulis itu berjalan sendiri.

Maksudnya, pandai-pandailah penulis itu menyusun langkahnya sendiri yang lebih agresif, terutamanya dalam usaha merancang strategi genre yang dipeloporinya dengan lebih berkesan. Kita kini ada ruang medsos (media sosial) yang boleh dipacu oleh penulis dalam menjayakan cita-citanya.

Pada masa yang sama, saya melihat fenomena ini seperti lantai yang jongkang-jongket, apabila berlakunya ketidakseimbangan pengkaryaan setelah penganugerahan. Sepatutnya, sasterawan (yang menerima Sasterawan Negeri) menghasilkan karya yang baharu dan lebih bertenaga untuk dicontohi oleh para penulis lain. Namanya pun sudah gah. Karya yang dihasilkannya tentulah gah juga, ’kan?

Susuk dirinya sebagai penulis sudah tentu berbeza dalam kalangan penulis yang belum menerima apa-apa anugerah. Mudah cakaplah, sasterawan ini menjadi “role model” kepada penulis-penulis yang mula bertapak dalam arena penulisan.

Sudah tentunya ada suara-suara sumbang yang berketak. Ini Malaysia, kita bukan berada di Barat. Rakyat mereka suka membaca. Rakyat kita di sini sukakan medsos yang lebih banyak mendatangkan hiburan, terutamanya cerita-cerita yang sensasi.

Dengan status yang disandang oleh sasterawan ini, sudah tentu taraf keyakinan pihak penerbit untuk mencetak manuskripnya jauh lebih tinggi lagi. Maksudnya, jualan buku yang diterbitkan tentu lebih laku keras daripada para penulis yang belum ada nama lagi.

Kalau bukan pun pihak penerbit swasta, sudah tentu pihak persatuan boleh mengusahakan hal ini dengan kaedah membantu sasterawan itu sendiri melakukan kolaborasi dengan pihak penyedia dana penulis seperti Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mendapatkan peruntukan untuk menerbitkan karyanya.

Kita maklum sekarang ini, untuk menerbitkan sesebuah manuskrip, ada rumah penerbitan yang mengenakan syarat tertentu, terutamanya dalam perkongsian kos penerbitan dengan penulis sendiri. Sebahagian kos penerbitan adalah ditanggung oleh pihak penerbit manakala sebahagian lagi ditanggung oleh penulis sendiri.

Kemungkinan, honorarium daripada penerbitan ialah bilangan buku yang bakal diperoleh penulis, manakala hasil daripada jualan buku penulis itulah merupakan honorariumnya.

Sudah sampai masanya persatuan penulis sendiri mengumpulkan dananya sendiri yang khusus bagi menerbitkan manuskrip daripada kalangan Sasterawan Negeri itu tadi.

Mungkin pihak persatuan penulis boleh mengundang Sasterawan Negeri tadi ke sekolah-sekolah menengah di negerinya dalam usaha mendedahkan dan menggalakkan para pelajar untuk berkarya dalam genre yang dikuasai oleh penulis tersebut.

Inilah caranya kita menarik para pelajar menyertai persatuan penulis. Tidaklah kita melihat dalam persatuan kalangan keahliannya hanyalah para penulis yang sudah berumur sahaja.

Langkah ini juga merupakan langkah yang proaktif demi menyuburkan minat para remaja dalam bidang kesusasteraan. Saya melihat pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah pun menyempurnakan tanggungjawab mereka dari segi pengisian, seperti mewujudkan saluran berkarya seperti Tunas Cipta, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar bagi memupuk generasi muda untuk menulis dan berkarya.

Saya juga melihat terdapat persatuan penulis yang ketuanya bergerak secara “silo” tanpa mempedulikan aktiviti-aktiviti penulisan dalam kalangan ahli persatuannya sendiri.

Kalau inilah yang berlaku, hal ini samalah seperti lantai jongkang-jongket tadi – ada sesuatu yang tidak kena pada persatuan itu sendiri. Tepuk dada tanyalah selera penerajunya!

Kredit Foto: Thom Masat/Unsplash

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas. Beliau menulis novel, cerpen dan puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.