Diterbitkan pada 6 Oktober 2025, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Baharu – Penulisan karya sastera perlu dibangunkan berasaskan pemikiran yang matang dan bersifat pencerahan agar mampu berperanan sebagai sumber ilmu kepada pembaca, bukan semata-mata hiburan.

Ketua Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Ja’afar Hamdan berkata, nilai intelektual yang terkandung dalam sesebuah karya merupakan kekuatan utama yang membezakan sastera bermutu tinggi dengan penulisan biasa.

“Tema yang menarik tidak hanya bergantung kepada jalan cerita, tetapi sejauh mana tema tersebut membawa pembaharuan dan pemikiran baharu kepada masyarakat.

“Penulis harus bijak memanipulasi idea secara kreatif melalui teknik penyampaian yang tersusun serta pemilihan diksi yang tepat,” katanya ketika membimbing 28 peserta Bengkel Penulisan Cerpen sempena Program Pemerolehan dan Pemurnian Naskhah Buku Sastera di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Kota Bharu, Kelantan.

Program anjuran DBP dan Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR) dengan kerjasama Kelab Kembara Sastera (KS) yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober 2025 itu telah menganalisis sebanyak 50 cerpen hasil penulis dari Kelantan, Terengganu, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Salah seorang peserta, Puan Nik Zainun Nik Abu Bakar yang pernah meraih Anugerah Buku Fiksyen Dewasa melalui cerpen “Menunggu Kudup Seroja Berkembang” pada Pesta Buku Darul Naim 2025, menyifatkan bimbingan yang diterima amat berharga untuk berinovasi dalam menulis cerpen.

“Satu ilmu penting yang saya pelajari ialah saranan agar memasukkan elemen pengetahuan dalam cerpen supaya cerpen itu bukan sahaja dibaca, tetapi dihayati dan diamalkan oleh pembaca.

“Sebenarnya pendekatan itu telah saya cuba terapkan dalam beberapa karya sebelum ini, dan bengkel ini mengukuhkan lagi keyakinan saya,” katanya.

Beliau juga melihat program tersebut sebagai antara usaha berterusan DBP dalam mengasah bakat penulis pelapis dan memperkasa kemahiran penulisan penulis mapan serta memastikan karya sastera terus relevan sebagai wadah pembinaan pemikiran bangsa.

Kredit Foto: Ediramlee Ismail
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi