Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Penganjuran Bengkel Kreatif dan Kritis Bersama-sama Editor Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi sebuah platform signifikan yang berperanan menggilap bakat penulisan serta menyemai daya kreativiti penulis tempatan, khususnya di Sabah. Bengkel ini diadakan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun DBP ke-69.
Program yang berlangsung selama satu hari di Bilik Seminar Laron, DBP Cawangan Sabah pada hari ini, telah berjaya menghimpunkan sebanyak 27 orang peserta.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh tentang proses penerbitan karya kreatif iaitu cerpen, novel, drama, esei dan puisi dalam bentuk buku sastera dewasa, penulisan bertemakan kearifan tempatan dan pelancongan, serta aspek hak cipta dan perlindungan karya.
Pada masa yang sama, wartawan JendelaDBP turut berkesempatan menemu bual seorang peserta, Encik Albert Ulana, guru Bahasa Melayu di sekolah rendah yang meluahkan rasa bertuah kerana bengkel ini mengubah cara beliau menilai dan mendekati penulisan kesusasteraan.
“Antara ilmu baharu yang saya peroleh dalam bengkel ini termasuklah kearifan tempatan kerana sesuatu yang kelihatan biasa di kampung saya, rupa-rupanya perkara tersebut luar biasa seperti perubatan tradisional.” Jelasnya lagi,
Bengkel ini mengajar saya tentang kaedah untuk mengolah kearifan tempatan menjadi unsur yang boleh digunakan dalam penulisan karya dan digabungkan dengan elemen kemodenan, selain penggunaan gaya bahasa yang menjadi kelaziman seperti metafora dan personifikasi.
Menurut beliau lagi, bengkel ini turut memberikan pemahaman tentang kriteria penulisan manuskrip bagi penerbitan buku sastera yang menepati piawaian DBP melalui penulisan yang teratur, tidak menyentuh perkara yang sensitif, serta jalan penceritaan yang baik dan jelas.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Puan Saindah Kanalam yang merupakan penulis novel turut berkongsi pandangan bahawa bengkel ini telah memberikan pengetahuan yang sangat berguna, terutama dalam penghasilan novel sastera pelancongan serta karya kreatif yang berunsur sindiran.
“Benarlah, kita mempunyai banyak tempat menarik di negeri Sabah, tetapi kita tidak meneroka dan menjadikannya sebagai latar atau tema dalam naskhah novel atau kumpulan cerpen”. Katanya lagi,
Sebenarnya kita juga kaya dengan pelbagai khazanah budaya, cuma kadang kala kita tidak sedar atau terlepas pandang bahawa segala yang berada di sekeliling kita sangat berharga dan bernilai kepada orang lain.
Bengkel ini turut menampilkan barisan pembimbing yang berpengalaman, iaitu Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Encik Ja’afar Hamdan; Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Puan Hasnah Ahmad Nadzar dan pegawai daripada Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Mazfarina Marzuki.
