Diterbitkan pada 29 November 2025, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ismail Hashim bercerita tentang tarikh luput sesebuah karya puisi yang dikarang, dan beberapa kemungkinan dinamisme baharu dalam karangan agar karya tetap segar dan relevan dengan zaman.

Selaku penulis mapan, anda perlu mengambil pendekatan yang baharu bagi mengelakkan karya anda terus tenggelam digalas oleh para penulis pemula yang berketerampilan karyanya dari segi pembaharuan isi kandungan dan pengucapan.

Saya pernah menulis dalam ruang Reaksi JendelaDBP Dewan Sastera bagi membawa suara rungutan segelintir penulis yang merasakan rasa “terpinggir” mereka setelah karya mereka (khususnya puisi eceran) tidak mendapat perhatian oleh editor akhbar perdana mingguan atau editor majalah bulanan.

Mereka menganggap bahawa para editor mengamalkan sikap pilih kasih kerana karya-karya daripada penulis mapan dianggap sebagai lemau, lesu dan kurang tarikan dalam kalangan pembaca.

Kalau dahulu, dibakulsampahkan, tetapi cara sekarang adalah dengan mengdelete pada skrin komputer karya tersebut. Akan tetapi, tahukah anda, setiap penulis yang menghasilkan karya mempunyai tarikh luputnya ketika menghantarkan karyanya kepada pihak editor penerbitan? Kata mudahnya: outdated.

Untuk memudahkan pemahaman, kita jadikan contoh seperti sebuah produk di pasar raya yang mempunyai tarikh luput. Setelah produk itu melepasi tarikh luput, sudah tentulah produk itu diketepikan: disebabkan boleh memudaratkan kesihatan kepada pengguna.

Begitu jugalah dengan penulis yang ligat menghasilkan karyanyanya. Setahun satu pun karyanya mahu diperlihatkan di dada ruangan sastera, baik akhbar mingguan ataupun majalah bulanan, namun begitu sukar ditembusi. Kenapa ya?

Dengan mengambil contoh produk tadi, karya anda disifatkan telah “luput” mengikut garis masa yang ditentukan penilaiannya. Selaku penulis mapan, anda perlu mengambil pendekatan yang baharu bagi mengelakkan karya anda terus tenggelam digalas oleh para penulis pemula yang berketerampilan karyanya dari segi pembaharuan isi kandungan dan pengucapan.

Saya tertarik dengan tulisan pengkritik tersohor Arbak Othman dalam Reaksi Dewan Sastera September 2012, “Struktur Puisi Melayu Perlu Berubah” yang menyentuh tentang budaya dinamik dalam pengkaryaan yang masih tetap memerlukan sesebuah karya wajar mempunyai nilai dan unsur tradisi bagi mempertahankan karya yang dihasilkan, seiring dengan gaya penciptaan yang tidak semestinya baharu tetapi berubah, terutamanya dari segi strukturnya.

Apakah perubahan yang dimaksudkan oleh Arbak Othman itu?

Bagi Arbak Othman, perubahan ini sebenarnya sesuai dengan perkembangan puisi dunia, perubahan yang diharapkan berlaku paling tidaknya dari segi rupa (bukannya bentuk). Manakala dari segi susunan kata yang dipilih dalam wacana puisi dapat dihidu/dirasakan perubahannya. Bahasa mudahnya: puisi yang sedap ketika dibaca!

Memang sukar untuk dimengertikan maksud perubahan tadi yang berpunca daripada bakat penyair itu sendiri yang memilihkan diksi-diksi yang mempunyai sentuhan emosi (sedap!).

Arbak Othman menyentuh puisi Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, “Apakah yang Kaunantikan?” yang mempunyai perubahan yang membawa nilai kebaharuan. Kata-kata yang digunakan berkuasa mengundang pentafsiran yang terbuka. Ini satu contohnya.

Penulis lain yang disentuh oleh Arbak ialah penyair SN Siti Zainon Ismail yang baginya sudah menunjukkan pembaharuan sejak tahun 1987 lagi dalam sajaknya yang berjudul “Lagu Laut Teduh”.

Arbak berpandangan bahawa pembaharuan yang berkesan tidak hanya berlaku pada struktur puisi tersebut, tetapi juga pada makna siratan yang terselindung di sebalik diksi-diksi dalam teks karangan. Katanya, beberapa puisi Siti Zainon Ismail telus ke jiwa dan menyentuh intelek.

Bakat ini tidak terdapat pada semua penyair. Bakat ini hanya wujud pada mereka yang sudah berjaya membuktikannya. Beberapa garis panduan yang diberikan oleh Arbak adalah seperti yang berikut:

  • Mutu seninya tidak dapat diukur mengikut makna yang mudah difahami maksud bahasanya;
  • Mempunyai konotasi pada aras semantik dan pragmatik;
  • Tidak mudah dipengaruhi oleh kecepatan memahami mesejnya pada aras pembacaan yang selapis; dan
  • Mempunyai rangkaian interaksi sosial yang mendefinisikan akal budi tentang pembangunan insani, kemanusiaan, keadilan, keagungan, dan keunggulan.

Selain itu, Arbak Othman juga menyifatkan pembaharuan pada aspek bunyi kata-kata dalam penyampaian falsafah yang mampu mencetuskan ketertiban emosi yang tersisip dengan kejiwaan yang halus.

Arbak Othman menyifatkan, antara penyair yang sudah menunjukkan pembaharuan tersebut ialah Zaen Kasturi dan Abizai. Wacana pengucapan Zaen telah berubah pada strukturnya, khususnya pada puisi “Kencan” yang dihasilkannya. Manakala pembaharuan yang ditunjukkan oleh Abizai terbukti dalam puisinya yang bertajuk “Kelahiran Sajak”.

Setelah menyusuri pembaharuan yang dimaksudkan oleh Arbak Othman ini, hal ini boleh dijadikan pedoman dan renungan yang baik dalam usaha membantu kita menangkis struktur karangan yang berunsur “rumah siap pahat berbunyi”. Wallahualam.

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi