Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIsmail Hashim memberi sedikit peringatan terhadap para tukang rumah sastera, iaitu para editor dan pengawal pintu ranah sastera.
Tukang-tukang yang menjaga rumah sastera ini perlulah memberikan ruang yang mencukupi, termasuk adil dan saksama kepada penulis muda dan penulis yang lebih berusia.
Apabila rumah siap dan pahat berbunyi walaupun hanya sekadar kiasan, tapi kiasan ini memberi tamparan yang hebat kepada tukang rumah itu sendiri. Mungkin keupayaan galas (bearing capacity) menanggung beban rumah tidak seimbang, apabila rumah siap pahat berbunyi.
Tukang rumah perlulah mencari kekurangan yang masih ada bagi memperbaiki keadaan dan mendatangkan keselesaan kepada penghuni rumah agar selesa tinggal di dalamnya.
Semoga tukang tadi jangan melatah kerana semua tanggungjawab terletak di pundaknya. Dari jauh lagi, penghuni rumah mengharapkan rumah didiami dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
Ranah sastera mempunyai ramai penghuninya. Bukan sahaja ramai penghuninya tetapi ramai juga peminatnya. Hal ini termasuklah dalam kalangan tua dan muda. Akan tetapi, apabila ada penghuni berusia mendapati terdapat pembahagian ruang karya yang tidak seimbang daripada penghuni muda, kedengaranlah suara sumbangnya.
Adakah tukang tadi mengambil sikap berlapang dada atau melepas tangan begitu sahaja? Ataupun kaedah healingnya akan sembuh dengan sendirinya?
Tukang-tukang ini mempunyai kemahiran yang spesifik yang sudah tentunya dapat memelihara rumah tersebut menjadi khazanah yang berharga pada masa depan. Sekiranya terdapat perselisihan faham yang berlaku dalam kalangan penghuninya, tukang-tukang ini tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu mengambil tindakan yang seimbang, iaitu situasi menang-menang.
Tukang-tukang ini perlulah bersikap adil dalam memperbaiki suasana yang lebih harmonis. Para penghuninya pula perlulah ada tolak ansur bagi meredakan keadaan.
Malah sekarang, tukang-tukang ini sudah dapat membezakan kelebihan karya penulis yang berusia, berdasarkan daripada pengalaman hidupnya sendiri, terutamanya liku-liku kehidupan yang dialaminya bertahun-tahun.
Sudut karya yang dihasilkan oleh penulis berusia mampu menyumbangkan nilai-nilai kehidupan sekali gus memberikan teladan kepada pembacannya. Sementara itu, karya penulis muda lebih berkebolehan untuk mengenengahkan keterbukaan dan keberanian dalam menghasikan idea-idea baharu dalam kalangan pembaca.
Penulis muda mampu menghasilkan tulisan yang lebih segar dan tidak klise dalam kalangan pembacanya. Kita tidak mahu ada penulis tua yang merasakan karya mereka diperlekehkan atau idea yang dibawa dalam karyanya sudah lapuk dan basi lalu dimatikan minat dan bakatnya (dikambus dan supaya tidak kelihatan lagi), meskipun penulis tersebut telah melalui proses penulisan bertahun-tahun lamanya.
Saya mencadangkan agar penulis yang berusia lebih konsisten dalam menulis bagi sama-sama memayungi ranah sastera. Saya percaya, penulis muda lebih konsisten dalam menulis sekarang. Inspirasinya timbul setelah membaca karya orang lain, terutamanya yang dihasilkan oleh para penulis tua.
Dengan konsisten menulis, kita mampu mendukung kesetiaan pembaca terhadap karya yang dihasilkan.
Tukang-tukang yang menjaga rumah sastera ini perlulah memberikan ruang yang mencukupi, termasuk adil dan saksama kepada penulis muda dan penulis yang lebih berusia. Jangan sesekali diwujudkan jurang pemisah apabila menyiarkan hasil tulisan. Memanglah tidak dinafikan, jurang ini kian terserlah dalam mana-mana persatuan penulis itu sendiri.
Rata-ratanya, penulis yang hadir dalam satu majlis bicara karya kebanyakannya penulis yang berusia dan hal ini dikatakan bermain nostalgia dengan kemenangan yang pernah diraihnya sebelum ini.
Bagaimana pula dengan para penulis muda? Adakah mereka juga perlu melalui landasan yang sama kelak dalam karya seperti para penulis yang berusia? Adakah mereka boleh ke puncak tanpa didukung oleh para penulis yang berusia?
Mungkin perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka, asalkan diberikan peluang dan penempatan karya, selain honorarium sebagai pulangan kewangan yang memberansangkan minat dan kesungguhan untuk lebih giat menulis.
Setiap penulis seharusnya mengikut langkah atlet yang telah berjaya. Mereka menjalani latihan dengan konsisten supaya prestasinya dapat dikekalkan dengan berkesan.
Setiap penulis mempunyai sikap yang tidak mudah mengalah ketika menghasilkan karya. Baik penulis muda atau penulis berusia, kedua-duanya melalui jalan yang sama. Sikap terus menulis secara konsisten mampu mengukuh diri mereka sebagai penulis. Dari sinilah pintu gerbang penulisan itu terbuka dengan luas kepada kedua-dua golongan tadi.
Setiap penulis seharusnya mengikut langkah atlet yang telah berjaya. Mereka menjalani latihan dengan konsisten supaya prestasinya dapat dikekalkan dengan berkesan. Mereka juga mendapatkan rehat yang mencukupi bagi mendapatkan tenaga fizikal yang lebih segar.
Saya mencadangkan agar tukang-tukang ini bersikap lebih prihatin kepada kedua-dua golongan ini yang berada di dalam rumah yang sama. Kesungguhan perlu ada pada diri tukang-tukang ini bagi melahirkan penulis pelapis yang berketrampilan demi menggantikan tempat Sasterawan Negara seperti A. Samad Said, Rahman Shaari, Abdullah Hussain, Keris Mas, Usman Awang, S. Othman Kelantan, Zurinah Hassan, dan senarai penerima SEA Write Award yang lebih panjang.
Apa yang saya lihat, ruang memberikan peluang kepada penulis muda untuk berkarya sentiasa terbuka, namun acuan untuk pembinaan wibawa yang lebih mantap, setara dengan Sasterawan Negara masih belum terbentuk lagi acuannya dengan jelas.
Tidak salah jika banyak ruang dan peluang diberikan kepada para penulis muda menempatkan karya mereka. Bukankah langkah tersebut semacam berulang sepertimana para penulis tua lalui sebelum ini? Hanya janganlah sampai “mengambus” minat dan bakat para penulis berusia yang masih “bernyawa” itu.
Saya percaya, di tangan tukang-tukang yang terlibat dengan rumah sastera kita begitu arif sifatnya. Sekali lagi, saya mengharapkan tidaklah tukang-tukang ini mengambus para penulis berusia apabila minat dan bakatnya masih lagi bernyawa!
Kredit Gambar: Firus Fansuri
______________________________
Ismail Hashim ialah penulis bebas. Beliau menulis novel, cerpen dan puisi.