Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O merefleksi diri dalam hal kematangan usia dan inti penulisan yang sepatutnya dihasilkan mengikut pengalaman yang dilalui.
Kita akan mula sedar bahawa setiap pilihan yang dibuat akan memberi kesan kepada diri sendiri dan juga orang lain.
Setiap manusia yang lahir ke dunia ini secara umumnya akan melalui perjalanan hidup yang panjang. Dalam perjalanan itulah, manusia akan meningkat dari segi umur atau usia yang difahami sebagai jumlah tahun seseorang hidup sejak dia dilahirkan.
Walaupun peningkatan usia hanya kelihatan sebagai peralihan angka, namun hal ini membawa maksud yang lebih mendalam terhadap kehidupan seorang manusia. Semakin bertambah usia seseorang, semakin banyak pengalaman yang dikumpul, dan semakin berubah juga cara dia berfikir.
Apabila seseorang semakin berusia, dia akan mengalami pelbagai peristiwa dalam hidup seperti belajar, bersahabat, menghadapi kegagalan, dan membuat pilihan.
Pengalaman-pengalaman ini mengajar dirinya tentang erti kehidupan. Contohnya, apabila kita pernah gagal dalam peperiksaan, kita akan belajar untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang. Pengalaman seperti ini menjadikan kita lebih matang dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
Selain itu, dengan pertambahan usia dan pengalaman, sikap hidup seseorang juga akan berubah. Jika semasa kecil kita sering bertindak mengikut emosi, semakin dewasa kita akan belajar untuk lebih sabar dan berfikir sebelum bertindak. Kita mula memikirkan akibat sesuatu perbuatan dan belajar untuk menghormati pendapat orang lain. Sikap ini penting agar kita dapat hidup dengan lebih tenang dan bijak dalam menghadapi cabaran.
Cara berfikir seseorang juga akan berubah apabila usia meningkat. Seorang kanak-kanak mungkin hanya berfikir tentang keseronokan, tetapi apabila meningkat remaja dan dewasa, seseorang akan mula berfikir tentang masa depan, tanggungjawab dan nilai hidup. Kita akan mula sedar bahawa setiap pilihan yang dibuat akan memberi kesan kepada diri sendiri dan juga orang lain.
Apabila seseorang itu masih muda atau kanak-kanak, fikirannya masih belum matang. Mereka lebih suka bermain, mudah percaya dan terpedaya kepada orang lain dan sering membuat keputusan berdasarkan emosi.
Namun begitu, apabila usia meningkat dan pengalaman bertambah, seseorang akan mula belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan. Misalnya, jika seseorang pernah ditipu oleh orang lain, dia akan menjadi lebih berhati-hati pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa pengalaman boleh mengajar kita untuk berfikir dengan lebih teliti dan bijak.
Selain itu, pertambahan usia juga membantu seseorang untuk menjadi lebih tenang dalam menghadapi masalah. Jika ketika muda kita mudah marah atau kecewa, apabila sudah dewasa, kita lebih tahu cara mengawal emosi dan berfikir sebelum bertindak. Contohnya, seorang remaja mungkin akan cuba menyelesaikan masalah melalui perbualan yang baik, bukannya bergaduh atau menjerit.
Tambahan pula, semakin meningkat usia, semakin seseorang memahami makna kehidupan. Mereka mula memikirkan soal tanggungjawab, masa depan dan hubungan dengan orang lain. Cara berfikir mereka juga menjadi lebih mendalam. Mereka tidak lagi melihat sesuatu hanya pada permukaannya, tetapi turut memikirkan kesan dan akibat jangka panjang.
Hakikatnya, pertambahan usia merupakan sesuatu yang pasti berlaku kepada setiap manusia. Setiap tahun, umur kita akan meningkat sedikit demi sedikit.
Namun begitu, peningkatan usia bukan sekadar menunjukkan berapa tahun kita telah hidup atau sekadar peningkatan dan perubahan angka, tetapi turut membawa perubahan dalam diri seseorang, terutamanya dari segi pengalaman, sikap hidup dan cara berfikir. Hal ini mencerminkan betapa banyak pengalaman yang telah kita lalui dan sejauh mana kematangan cara kita berfikir.
Oleh itu, setiap pertambahan usia harus dijadikan peluang untuk menjadi insan yang lebih bijak dan bertanggungjawab dalam kehidupan.
Si penulis perlu tahu membezakan perkara yang betul dan salah serta pandai menyusun kata-kata …
Demikian juga dengan diri seorang penulis.
Tanpa peduli apakah dirinya seseorang yang menghasilkan karya bertulis, seperti cerpen, puisi, novel, drama, atau rencana, sama ada dirinya popular atau tidak, yang penting, setiap karya yang dihidangkan kepada pembaca hendaklah mempunyai sesuatu yang bersifat pemikiran yang luas dan bermutu untuk direnungkan dan dimanfaatkan oleh pembaca.
Dengan daya sensitiviti yang dimilikinya dan perasaan yang halus, dengan penuh kejujuran serta kesungguhan, dia akan berusaha menyampaikan sesuatu mesej melalui karyanya kepada masyarakat.
Tentu sahaja sebagai penulis, untuk menyampaikan sesuatu mesej yang bermanfaat kepada masyarakat pembacanya, dia boleh menulis tentang pelbagai perkara yang menyentuh kehidupan, alam semula jadi, kasih sayang, perjuangan, ilmu, nilai murni, malah yang bertitik tolak daripada dirinya sendiri.
Untuk memenuhi tanggungjawab berat ini, tentu sahajalah seseorang yang ingin menjadi penulis yang baik (sekadar pengulangan) mestilah memiliki beberapa ciri dan sifat diri yang istimewa.
Pertama, dia perlu rajin membaca, kerana, melalui pembacaan, minda akan sentiasa terbuka dan memberi banyak idea baharu.
Kedua, perlu peka terhadap apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia harus prihatin terhadap masalah masyarakat dan dunia.
Ketiga, perlu bersikap jujur dalam penulisannya. Dia tidak boleh menipu atau menulis perkara yang mengelirukan.
Selain itu, penulis yang berjaya perlu bersabar dan tidak mudah berputus asa. Kadang-kadang, karyanya ditolak atau tidak dihargai, tetapi dia harus terus menulis dengan semangat.
Dari segi intelektual pula, seorang penulis perlu berfikiran kritis dan kreatif. Dia perlu tahu membezakan perkara yang betul dan salah serta pandai menyusun kata-kata supaya pembaca mudah memahami apa-apa yang ingin disampaikan. Penulis juga perlu berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang, termasuk sejarah, budaya, sains, dan agama, supaya tulisannya lebih mantap dan berilmu.
Apabila usia seorang penulis meningkat dan dia semakin banyak pengalaman hidup, maka karya yang ditulisnya juga perlu menunjukkan kematangan. Penulis yang semakin tua sepatutnya menghasilkan karya yang lebih mendalam dari segi makna, lebih bernas dari segi idea, dan lebih halus dari segi bahasa.
Penulis yang matang tidak lagi menulis perkara remeh-temeh, tetapi dia akan menulis tentang isu kemanusiaan, nilai kehidupan, perjuangan insan, dan perkara-perkara yang boleh memberikan kesan pada pemikiran pembaca secara lebih sungguh-sungguh, teliti dan mendalam.
Hakikatnya, seorang penulis bukan hanya sekadar minat, pandai dan rajin menulis, tetapi dia juga harus mempunyai ilmu, sikap yang baik, dan pemikiran yang matang. Dengan usia dan pengalaman yang bertambah, penulis perlu menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan bermakna untuk manfaat semua.
Namun begitu, semua ini tergantung pilihan peribadi setiap penulis. Tulisan kecil ini, tanpa niat ingin melagakkan kecerdikan siapa yang menulisnya, sekadar suatu tulisan bersifat retrospektif yang ingin melihat kesilapan dan kegagalan masa lalu penulisnya sendiri.
Atas sebab itulah, sebahagian isu yang dianggap cengeng oleh penulis, seperti soal tidak dijemput membaca sajak, menjadi penulis upahan, sekadar melukut dalam sastera Melayu Malaysia kerana tidak memenangi hadiah sastera, seni untuk masyarakat atau seni untuk seni atau soal penulis tua dan muda; tidak ingin diambil peduli dan dibahas secara terbuka.
Hal ini kerana, persoalan sastera Melayu Malaysia yang bersifat inti, bukan cuma itu!
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian.