Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAkmal Arsat berpandangan bahawa suara anak muda harus diberi pengiktirafan yang lebih besar dalam ruang sastera arus perdana.
Dalam konteks Malaysia era pascakolonial yang rencam, penulis muda hari ini bukan sekadar membawa bahasa baharu, tetapi juga wacana yang lahir daripada pengalaman tubuh, trauma sejarah, ketidaktentuan keimanan, dan realiti digital yang semakin kompleks.
Di manakah karya penyair muda diletakkan dalam landskap sastera negara? Adakah karya mereka sekadar perhiasan sementara di dinding media sosial, atau helaian yang dibuka sebentar lalu dilupakan?
Dalam kerangka sastera Malaysia hari ini, penyair muda kerap menjadi subjek polemik; bukan kerana kualiti karya mereka dipersoal, tetapi kerana keberanian mereka mencabar bentuk dan isi yang dianggap sebagai “tertib”. Kebimbangan ini sering kali datang daripada suara mapan, bergaung dalam ruang wacana rasmi dan meja bulat cendekiawan.
Namun sebelum perbincangan jujur sempat berlaku, sudah ada penilaian awal yang mengunci kemungkinan. Maka, generasi muda dipaksa bernaung dalam ruang tradisi yang sempit, diasuh dengan acuan lama agar tidak menyimpang daripada bentuk yang telah dimandatkan oleh sejarah.
Mengapa setiap kali hadir gaya baharu dan pemikiran segar, karya itu segera dicurigai? Adakah setiap perbezaan perlu ditanggapi sebagai pelanggaran etika? Sejak bila pula ekosistem budaya sastera menjadi ruang yang tertutup pada suara yang berlainan?
Persoalan-persoalan ini semakin menyerlah apabila melihat senarai pemenang hadiah sastera kebelakangan ini yang memaparkan kecenderungan terhadap gaya dan pendekatan yang lebih “selamat”—dari segi estetika, ideologi mahupun tema. Ketiadaan suara penulis muda yang membawa pendekatan eksperimental membuka semula pertanyaan mendasar: siapa yang mentakrifkan etika dalam sastera? Lebih penting lagi, siapa yang diberi hak untuk menentukan hal-hal ini?
Dalam konteks Malaysia era pascakolonial yang rencam, penulis muda hari ini bukan sekadar membawa bahasa baharu, tetapi juga wacana yang lahir daripada pengalaman tubuh, trauma sejarah, ketidaktentuan keimanan, dan realiti digital yang semakin kompleks. Suara-suara ini hadir dari pinggiran, maka karya mereka sering dianggap sebagai “cabaran” terhadap kefahaman sastera arus perdana.
Namun begitu, cabaran tidak semestinya ancaman. Malangnya, reaksi terhadap suara ini sering didorong oleh prejudis, seolah-olah sebarang karya yang tidak memuja nilai-nilai lampau perlu ditolak, atau lebih parah, dilabel sebagai “merosakkan sastera”. Maka, kebebasan berkarya yang dilaungkan itu kelihatan masih terikat pada selera dan sempadan tertentu.
Teguran terhadap karya penulis muda sering disandarkan atas nama “etika”, “adat”, atau “jiwa bangsa”. Namun hakikatnya, teguran tersebut kadangkala lebih cenderung mempertahankan fahaman estetika dan pemikiran yang telah digariskan sejak sekian lama. Maka, ke manakah harus dibawa gagasan bahawa penulis muda wajar “menggegarkan dunia sastera dengan ideologi dan kefahaman baharu”? Jika akhirnya, suara mereka terus dipandang sinis dan ditolak dalam diam.
Chairil Anwar pernah menyebut tentang “teriakan hati nurani”. Hati nurani zaman ini tidak semestinya tunduk pada bahasa dan bentuk semalam.
Kematangan penulis muda perlu dihargai sebagai suara yang sedang tumbuh, bukan direndahkan sebagai kegopohan idealisme.
Kalian menuntut perubahan daripada penulis muda—gaya yang matang, isi yang mendalam, bahasa yang halus. Tapi soalnya, adakah kalian sendiri bersedia? Bersedia untuk membaca tanpa prejudis? Bersedia untuk menyambut yang radikal dengan fikiran terbuka? Atau kalian cuma mahu kami menulis dalam acuan yang kalian sendiri tidak lagi percayai?
Penolakan terhadap suara muda jarang-jarang berlaku secara terang-terangan. Hal ini lazim hadir dalam bentuk yang lebih halus: pemilihan panel juri yang homogen, penerbitan yang terlalu berhati-hati, serta sistem penilaian yang lebih mementingkan kesesuaian nilai daripada keberanian artistik. Di sinilah sastera berisiko menjadi kegiatan yang statik, kehilangan denyut wacana yang kritis.
Harus diakui, penulis muda tidak menolak teguran mahupun nilai. Mereka hanya mahu menyoal. Dan, soalan yang tidak ditanya itulah yang menjadikan sesebuah budaya itu beku.
Jika kita benar-benar ingin membina ekosistem sastera yang matang, ruang pada suara yang tidak menyenangkan kita juga harus dibuka. Etika bukanlah alat untuk menutup mulut yang berbeza. Etika yang sejati ialah keberanian untuk mendengar, meskipun yang disuarakan itu mengganggu rasa selesa kita.
Seperti yang pernah ditulis oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, “Sastera bukanlah alat hiburan. Ia cermin masyarakat. Dan kadang-kadang, cermin itu retak, dan kita perlu melihatnya juga.” (2006).
Sudah tiba masanya kita berhenti takut pada pantulan yang tidak menyenangkan demi menciptakan sastera yang matang. Kita haruslah membuka wacana yang luas tanpa prejudis walaupun konteks yang dibawa tidak menyenangkan, kerana untuk menghidupkan penulis yang kritis pemikiran dan sudut pandangnya, akal pemeriannya harus dibuka dengan selapang dada.
______________________________
Akmal Arsat masih baru aktif dalam dunia penulisan. Sajaknya pernah tersiar dalam Tunas Cipta, SelangorKini, Berita Harian, Mingguan Malaysia, dan Tukang Puisi. Beliau telah menerbitkan dua buah buku puisi di bawah Penerbitan Jiwa.