Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Seramai 18 orang guru perpustakaan di sekolah rendah dan menengah mengikuti Bengkel Bimbingan Pemurnian Manuskrip Antologi Cerpen Digital bagi Guru Daerah Baling 2025 yang berlangsung di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Kuala Pegang, Baling.

Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan (USTP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) menganjurkan bengkel itu baru-baru ini.

Semasa berada dalam bengkel itu, peserta mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, YBrs. Dr. Husairi Hussein yang lebih dikenali sebagai Putraery Ussin dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Husairi juga ialah Ketua 1 Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) 2025 hingga 2027.

Urus setia bengkel itu, YBrs. Encik Mohammad Tajuddin berkata, usaha yang dilakukan ini boleh memantapkan penulisan cerpen bagi menghasilkan antologi yang berkualiti.

Menurutnya, peserta perlu menghayati tunjuk ajar yang disampaikan oleh penceramah dari segi penulisan naratif, tatabahasa dan tanda baca.

Katanya, “Bengkel seperti ini boleh mencungkil bakat guru untuk mempertengahkan hasil penulisan guru daerah Baling kepada pihak DBP.”

Pegawai Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Zainal Abidin Mohd Zin berkata, apabila ada bakat, guru juga boleh menghasilkan karya yang lebih baik, terutamanya dalam bidang cerpen.

Katanya, “DBP ada banyak cara untuk memajukan kalangan guru untuk menjadi penulis yang baik, termasuk bidang cerpen.”

Seorang peserta bengkel itu, Puan. Azah Afnan Shamsudin, 43, dari Sekolah Kebangsaan Seri Inas, Kuala Ketil berkata, ramai peserta merupakan guru perpustakaan di sekolah rendah dan menengah di daerah Baling.

Menurutnya, bengkel ini dapat menambah ilmu dalam kalangan peserta dalam penulisan cerpen.

Katanya, “Sebelum ini, saya sendiri pernah menyumbang dalam WadahDBP, lalu dengan hasil penyiaran dalam portal itu menambah minat untuk saya menghasilkan karya yang lain.”

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi