Diterbitkan pada 22 Ogos 2025, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zaidin Abadi memperkenalkan kumpulan puisi terbaharu Puzi Hadi, Cerita atas Cerita.

Puzi Hadi tidak terlepas daripada mempersembahkan puisi-puisi yang memiliki tandatangannya, iaitu gaya puisi eksperimental.

Buku Cerita atas Cerita (PENA, 2025) ialah kumpulan puisi kesembilan karya Puzi Hadi, seorang penyair Kedah yang sudah diiktiraf sebagai penyair puisi eksperimental ala Malaysia sejak lima dekad yang lalu. Selain itu Puzi Hadi juga dikenali sebagai seorang deklamator yang memiliki gaya deklamasi yang tersendiri. Beliau ialah Tokoh Seni Budaya Negeri Kedah 2016 serta Tokoh Puisi Kebangsaan 2024.

Puzi Hadi

Sepanjang pelibatannya dalam arena perpuisian Malaysia, Puzi menempa nama buat pertama kalinya melalui puisi “Padang Kota Lama” yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera tahun 1972 dan seterusnya pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia (Puisi) tahun 1984/1985 melalui puisi “Shauqiah Hanim”.

Cerita atas Cerita mengandungi 72 buah puisi yang dihasilkan antara tahun 2022 hingga 2024 yang memaparkan pelbagai cerita. Ada puisi yang bercerita tentang pendoa dan doanya kepada Ilahi, cerita tentang sahabat alam sekitar – haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ada juga cerita tentang iklim yang berkait rapat dengan alam dan manusia. Selain itu, terdapat juga cerita tentang pengalaman peribadi, bahasa dan sastera, budaya, kembara, sejarah, dan kenegaraan. Kepelbagaian langgam cerita dalam buku ini memberi gambaran bahawa penyair Puzi Hadi memang memiliki keistimewaan menggarap pelbagai isu yang berlaku di sekitarnya, meskipun isu itu kecil dan remeh di mata orang lain.

Lihat sahaja puisi “Anjing-anjing” (hlm.42), “Kucing-kucing” (hlm.43), “Bokbok” (hlm.80), dan “Selamat Pamit Bokbok” (hlm.88) yang bercerita tentang haiwan peliharaan yang tampak seperti isu remeh, tetapi bagi Puzi, isu itu juga mempunyai cerita yang tersendiri untuk dihayati.

Selain cerita seremeh anjing dan kucing, Puzi juga mengajak pembaca membaca cerita tentang cuaca yang mempunyai pengaruh terhadap kehidupan manusia. Kebanyakan orang tidak mempedulikan cuaca, apatah lagi ramalan cuaca, tetapi akan berasa kecewa andai perancangan kehidupan seharian terganggu oleh cuaca yang tidak menentu.

Puzi bercerita tentang “Ramalan Cuaca” (hlm.45) dan “Hakikat Tabii Cuaca” (hlm.84) sehingga membawa kepada cerita “Kemarau Usah Meleret Mengering Empangan dan Tadahan Tanpa Air” (hlm.83), “Cuaca Angin Timur” (hlm.2), dan “Pu Ting Be Li Ung” (hlm.1).

Selain bercerita secara terus dan mudah ditebak oleh pembaca, Puzi Hadi tidak terlepas daripada mempersembahkan puisi-puisi yang memiliki tandatangannya, iaitu gaya puisi eksperimental. Memang tidak lengkap membaca puisi-puisinya jika tidak ada puisi eksperimental ala Malaysia yang ditandainya sejak era 1970-an dahulu lagi.

Dalam kumpulan puisi Cerita atas Cerita ini, Puzi menghidangkan “Pu Ting Be Li Ung”, “Generasi I”, “Kem Bali Ke Pa Da Dia”, “Dilema Logika Akal”, “Dari Awal Pagi Bawa ke Tengah Hari dan Bawa ke Tengah Malam”, dan “!H!U!J!A!N!”. Puisi-puisi ini memiliki kelainan yang tesendiri serta menuntut para pembaca untuk menghayati maksud cerita-cerita yang dipaparkan itu secara lebih mendalam serta luar dari kotak fikir konvensional.

Bukan itu sahaja, Puzi juga menggunakan beberapa emoji dalam beberapa puisinya bagi menambahkan lagi kekuatan penyampaian ceritanya, seperti dalam “Cuaca Angin Timur” (hlm.2), “Kucing-kucing” (hlm.43–44) dan “Dilema Logika Akal” (hlm.77).

Dari segi gaya bahasa, Puzi Hadi mengekalkan kelazimannya dengan tidak banyak menggunakan bahasa puitis seperti metafora, simile, personifikasi, aliterasi, dan rima. Puzi lebih gemar menggunakan gaya bahasa yang tidak terikat pada kelaziman gaya bahasa yang digunakan oleh penyair lain.

Sememangnya, Puzi tidak gemar menggunakan unsur rima dalam puisinya, namun hal itu tidak meruntun nilai puisinya ke tahap estetika yang rendah. Malah, puisi Puzi tetap segar, apatah lagi jika diangkat ke pentas. Jika Puzi mendeklamasikan puisinya di pentas, pasti para penonton dan pendegar akan terpukau dengan patah-patah kata yang dilontarkan. Cerita-cerita daripada puisi Puzi Hadi akan jadi lebih mudah difahami.

_________________________

Zaidin Abadi ialah nama pena Saadin Abdullah, penulis dari Alor Setar, Kedah. Selain puisi, Zaidin turut menghasilkan cerpen, skrip drama radio, rencana sastera, dan novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank dan Hadiah Puisi Kuala Lumpur 100 Tahun.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Puzi Hadi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi