Oleh Jack Malik
19 Julai 2024, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik mengulas biografi tulisan anak sulung penyajak penting yang dipinggirkan masa, Salleh Ben Joned.

Penyajak besar yang dipinggirkan pun masih ada yang julang.

Dalam hidup, kita semua ada bahagian masing-masing. Ada yang kita pilih, ada juga yang kita tidak miliki apa-apa kata putus. Waktu adalah antara perkara yang kita tidak punya kuasa untuk mengawalnya, selain membiarkannya mengalir lesu dengan harapan kita akan dibawa ke tempat yang sepatutnya kita dibawa. Hayat pula sesuatu yang singkat, namun betapa panjangnya kehidupan sebenarnya. Segala arus perenungan, kenikmatan, kemarahan, dan keberadaan mengekori sebuah kewujudan.

Deras atau perlahan, waktulah penentu hakiki.

Salleh Ben Joned: Truth, Beauty, Amok and Belonging (2023) merupakan buku biografi yang dihimpunkan oleh—tak lain dan tak bukan—anak perempuan sulung Allahyarham sendiri, Anna Salleh. Naskhah ini boleh diibaratkan sebagai sebuah pembukuan—juga, pelanjutan—audio siar Anna sebelum ini, dengan judul Salleh Ben Joned: An Unlikely Malay.

“Permata jatuh di rumput pun gilang,” kata Kit Leee (kini dikenali sebagai Antares Maitreya) dalam bukunya, Keli Dua Selubang. Bagi Omar Musa, seorang penyajak Australia-Malaysia, “sesuatu perkara kelak akan nampak nilainya”. Dalam jarak setahun sahaja, penerbitan semula Sajak-Sajak Saleh telah disuakan oleh Fixi Retro, kemudian disusuli dengan “pengembaraan bersama” kumpulan puisi tersebut oleh Maya Press.

Penyajak besar yang dipinggirkan pun masih ada yang julang.

Sarat dengan foto, keratan akhbar dan surat-surat peribadi, naskhah ini membenarkan kita mengintai kehidupan seorang sasterawan “outsider” secara intim. Pertama kalinya, kita bukan sekadar membaca ledak lahar sajaknya yang berapi, tetapi kita membaca bentuk muka bumi yang menjadikan anak jati Bukit Rambai ini sebagai Salleh Ben Joned yang kita kenali. Melalui buku ini, kita bukan sahaja membaca ceritanya, tetapi kita membaca Salleh.

Lebih tepat, kita membaca Salleh “melalui” Anna.

Benarkah Meursault yang Gilakan Matahari?

Buku dengan 244 halaman ini mengikuti naratif Anna, serta memetik pelbagai wawancara dan ingatan mesra mereka yang mengenali bapanya. Terhimpun juga dalam naskhah ini beberapa karya utama Salleh Ben Joned bersama-sama dengan ringkasan sejarah dan konteksnya. Contengan nota peribadi Salleh turut mengiringi pembacaan untuk suasana yang lebih mengharukan, manakala suara generasi baharu yang terkesan—secara langsung mahupun tidak langsung—oleh kehadiran “Hang Jebat” moden ini memperlihatkan kesan yang telah beliau bawakan ke dalam ranah seni dan sastera tanah air.

Anna menyatakan bahawa buku ini ditulis demi “meraikan kepengarangan Salleh dan merayakan penerokaan dunia yang penuh sikap ingin bersuka-suka dan bermain-main.” Anna juga mendedikasikannya kepada “mereka yang pernah tersentuh oleh kata-kata Salleh; oleh kebebasan akal dan roh yang membara dalam sanubari semua.”

Bersama-sama dengan Anna Salleh meraikan “surat cinta”nya di CULT Gallery, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

“Surat Cinta” ini dilancarkan julung-julung kalinya di Pesta Sastera George Town (GTLF), Pulau Pinang pada penghujung November tahun lalu, kemudian selang beberapa hari pula di CULT Gallery, Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada awal Disember 2023. Malam itu (di Bukit Tunku), kami semua ketawa mengingati Salleh. Kami semua menangis mengingati Salleh. Kami dapat bertemu kawan lama dan kawan baharu, kerana Salleh.

Dan Anna dendangkan Semalam di Malaya. Inilah kisah Salleh.

Kota yang Lebih Indah Akan Kutemui

“Kita bukan sahaja nampak bunganya (seorang Salleh Ben Joned), tetapi juga daun dan akarnya,” ulas Fatimah Abu Bakar tentang Sajak-Sajak Saleh. Rencananya, “Book ‘Madness’ on a Wet Sunday” tersiar dalam New Straits Times pada 29 September 1987.

Apabila melihat puisi, kita bukan sahaja melihat perkataan terbaik daripada susunan terbaik semata-mata. Malah, kita bukannya “melihat” pada keindahan mulus sahaja, lalu tidak mempedulikan hal lain. Dalam usaha kita melihat—puisi, sastera dan hidup secara umumnya—kita sepatutnya turut nampak hal-hal lain: baik kelopak, ranting dan pucuknya. Apatah lagi akarnya. Kita juga harus nampak sela-sela di antara rimbunan pohon—daun dan bunga, cahaya dan bayang, bentuk dan warna yang tercipta daripada gubahan semula jadi mahupun buatan. Angin yang meniup, tidaklah kita nampak, tetapi kita tahu ia wujud kerana apabila hela udara bergeseran, pohon pasti meliuk.

Barangkali, untuk nampak dan dengar, kita perlukan “halilintar ini (untuk) membelah bumi” sastera kita. Melalui buku Salleh Ben Joned: Truth, Beauty, Amok and Belonging, Anna menjadi halilintar tersebut dengan “mendedahkan akar” bapanya dengan harapan ia mampu “menjalar ke hati” mereka yang belum benar-benar kenal akan susuk seorang Salleh Ben Joned. Paling kurang, Anna membuka peluang untuk jagat kerdil sastera Salleh—berbekalkan hanya satu sahaja kumpulan puisi dalam lidah ibundanya—mencari tempat di semesta persuratan Melayu Malaysia.

Naskhah ini terbahagi kepada lima bab utama. Untuk bab pertama—31 tahun terawal riwayat bapanya—Anna menceritakan latar belakang Salleh: sejarah hidup keluarga mereka dan permulaan bapanya memasuki dunia persuratan. Bab kedua dan ketiga pula memaparkan 14 tahun perjalanan hidup penuh naik turun: tragedi yang menimpa keluarga kecil mereka; pertemuan takdir bersama-sama Tongkat Warrant; aksi “Seni Kencing” Salleh yang terus mengangkat dirinya ke status “kultus” dalam kalangan anak-anak muda dunia seni. Kemuncaknya disaksikan sewaktu penghasilan “pengalaman paling traumatik” sastera Malaysia.

Seterusnya, 12 tahun mendatang menyaksikan kekecewaan Salleh sekitar dunia persuratan bahasa Melayu yang jauh berbeza daripada sambutan hangat oleh kalangan penulis dan pembaca persuratan bahasa Inggeris Malaysia. Tahun-tahun pasca 2000-an memaparkan kemerosotan perlahan kesihatan Salleh (akibat menjalani Terapi Elektrokonvulsif [ECT] yang memberikan kesan terhadap upayanya bertutur, menulis dan membaca). Beliau kembali ke pangkuan Ilahi pada 29 Oktober 2020.

Namun begitu, cerita sang penyajak outsider ini tidak berakhir begitu sahaja.

Semestinya, waktu sudah lama menentukan nasib (karya) Salleh. Pada penghujung buku ini, Anna membuktikan seorang Salleh Ben Joned, jiwanya lebih besar daripada ketidakpedulian zamannya. Anna berkongsi dengan kita pada bab akhir bukunya apakah sumbangan Salleh terhadap ranah sastera Malaysia, bahkan merentas ke pelosok dunia seni tanah air yang lain, seperti muzik, seni visual dan seni persembahan.

Rentak Amuknya Rentak Purba

Dalam dunia persuratan, madah paling benar tetapi paling saya tidak suka ialah “waktu penentu sebuah karya”. Saya percaya dengan sebulat hati bahawa waktu di antaranyalah yang menjadi penentu mutu sesuatu karya—sama ada ia menua elok seperti anggur di dalam tahang atau usianya tak ubah bak susu sebelanga ditinggalkan di luar terlalu lama. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, saya tidak suka kita seakan-akan “berlepas tangan”. Saya tidak suka mengambil sikap seolah-olah kita menyerah bulat-bulat dan pasrah buta-buta pada arus masa, menjadikannya alasan untuk berdiam diri.

Mungkin saya salah. Mungkin masa tidak peduli pun apa pandangan kita. Masa memiliki kata akhir. Apa-apa sekalipun hakikatnya, pendekatan ini begitu fatalistik jika diambil secara nilai muka.

Kritikan dan kutukan tidak mematikan seseorang. Sepertimana saya sering perkatakan, kebungkaman sebenarnya ialah pembunuh utama manusia kreatif. Ketidakpedulian—melainkan dirinya sendiri lebih tidak peduli—merupakan nasib yang tidak saya doakan tertimpa ke atas sesiapa pun.

Demikian, lupakan tentang “tugas” sastera mahupun sasterawan seketika. Tepuk dada dan tanyakan dahulu hal berikut: apakah pembaca, pengkritik dan pengkaji sudah menjalankan “tugas” masing-masing; apakah kita sudah melunaskan “hak” pengkarya; apakah kita—sebelum membiarkan waktu menentukan apa-apa yang perlu ditentukan—sudah dahulu selesai meneliti sesuatu karya?

Tanpa penilaian, perhubungan atau perbahasan, tiada bezalah anggur di dalam tahang mahupun susu di dalam belanga: kita tidak akan tahu apakah nasib pengakhiran kedua-duanya jika kita tidak peduli untuk ambil tahu.

Ya, waktu sudah pun menentukan apa-apa yang perlu ditentukan. Kini, bukankah giliran kita semua pula? Apakah amuk seorang Salleh terlalu berlebihan untuk budaya persuratan Malaysia?

Barangkali ada kebenarannya ketika Muhammad Haji Salleh menyebut bahawa “budaya Salleh” sukar untuk diterima oleh audiens Bumiputera kala zamannya. Bagi khalayak umum, boleh jadi Salleh melampau. Tetapi mereka seperti Latiff Mohidin, Baha Zain, Johan Jaaffar, Adibah Amin—malah Usman Awang sendiri—dapat menerima kehadiran seorang penulis Melayu yang tidak disangka-sangka itu. Justeru, pengalaman yang telah menggoncang reban persajakan Malaysia itu agaknya tidaklah seteruk yang disangka-sangkakan. Dan adakah hal itu benar-benar traumatik sehingga diam bisu terpaku ranah sastera Melayu Malaysia dek “sajak penuh rentak dari seorang penyair tulen lagi jantan” ini?

Hanya sejarah dan masa yang mampu menjawab.

“Ketika ramai yang menuduh beliau sebagai seorang pelampau,” Jo Kukathas menceritakan pengalaman beliau kepada Anna, “(saya Cuma) melihat (Salleh) hanya ingin ‘membetulkan ketidakseimbangan.’” Ketidakseimbangan ini—jika kita menelusuri sejarah sastera tempatan—boleh diperhatikan dengan kewujudan segelintir orang seni, budaya, sastera, dan politik yang bersikap cauvinis, bigot, juga jumud. Kemudian, penyakit paling berbahaya yang melanda ramai penulis ialah penyakit “mengambil diri mereka terlampau serius”—baik pada zaman Salleh dahulu mahupun pada zaman sekarang. Semua ini ditentang oleh Salleh, sama ada melalui satira lucu ataupun kritikan tajamnya. Sajaknya seperti “Rentak Haram Jadah”, “Aku”, “Dendang Si Tegang Pulang”, “Mauizah Hasanah”, “Senimanmu, Senimanku”, dan “Sajak Berjela untuk Sesiapa Saja” merupakan antara karyanya yang memerli mereka yang layak diperli dan diejek—termasuklah dirinya sendiri.

Ketersisihan Bersama yang Kita Rasa

Sudah pasti “ada soalan lain yang lebih penting, lebih bermakna”. Ada juga cerita lain yang lebih menarik, lebih asyik. Akan tetapi, mungkin, hal itu untuk kemudian hari. Barangkali, cerita itu akan datang daripada mereka yang tidak berada terlampau dekat dengan objek dan subjek buku ini. Dan cerita tersebut akan ditayang oleh sekalian isi alam dan dipampangkan di bawah renungan mataharistiwa yang tiada sesiapa pun berdaya untuk hentikan.

Di Goodreads, terdapat satu ulasan ringkas menyatakan bahawa usaha untuk merumuskan kisah hidup Salleh Ben Joned barangkali mustahil. Masakan mampu, bilamana hidup Salleh bukan sahaja dipagari oleh sejarah keluarga dan teman-temannya, tetapi juga dengan legenda, mitos dan dongeng moden daripada buah mulut jelata. Semestinya, dalam ratusan sumber yang disisir, kita tidak melihat naratif buku ini dari kaca mata Salleh sendiri mahupun sejarawan sastera yang merakamkan segala yang sensasi, setiap yang tertinggal atau semua yang menanti timbul pada permukaan hari. Sebaliknya, buku ini membenarkan kita untuk melihat dari kaca mata seorang anak perempuan yang cuba memastikan bapanya terus dibaca; buku ini mengajak kita untuk menyaksikan bagaimana seorang penulis mampu merentas sela-sela zaman, kemudian diraikan oleh mereka yang sudi juga mengerti—walaupun tidak diketahui oleh sang penulis itu semasa hayatnya masih dikandung badan.

Saya tidak pasti sejauh mana hidup atau matinya genre biografi dalam tradisi persuratan Malaysia. Bahkan, saya juga tidak pasti berapa banyak naskhah sebegini sudah terhiasi dengan bunga emosi keluarga, sahabat, peminat—malah, diri saya sendiri ketika menulis rencana ini—hinggakan terlemas dalam nostalgia, menenggelamkan cerita Salleh. Apa yang saya percaya, buku ini merupakan antara buku biografi yang molek (dari segi penerbitan dan produk akhirnya) yang pernah saya baca dan miliki tentang penulis Malaysia. Harapnya, naskhah ini menjadi asbab untuk buku lanjutan tentang Allahyarham diterbitkan, serta buku biografi para penulis Malaysia yang lain.

Kehadiran buku Anna Salleh ini mengubat hati saya dengan mengingatkan bahawa bapanya akan sentiasa disebut-sebut dan mempunyai tempat dalam kalangan “sukunya”. Dan, hal ini mengingatkan saya, suka atau tidak, masa ialah penentu yang jujur. Masa terus mengingatkan saya, banyak lagi kerja yang menanti untuk kita selesaikan.

Anna sudah siapkan bahagiannya. Sekarang, bahagian kita pula.

Tali air yang mengairi kewujudanku kehidupanku, mimpi-mimpiku, kepengaranganku begitu banyak dan bercabang. Namun, arus utamanya tanpa khuatir ialah kemelayuanku. Aku seorang manusia, sepertimana aku seorang Melayu Malaysia; negaraku ialah Malaysia dan pada masa yang sama dunia ini. Sebenarnya, pertiwi hakikiku bukanlah dunia, tetapi sastera dunia.

……………………………………………………………—Salleh Ben Joned

Kredit Foto/Gambar: Jack Malik

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.