17 Januari 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Saipuddin Suliman menelaah Fikrah Sastera melalui rangka teori teksdealisme.

Shahrun Nizal Mohd Nor mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai penulis, pengkaji, pengkritik, malah sering ber‘taiso’ dengan ragam sastera dan bahasa berikutan tuntutan tugas beliau yang berkhidmat dalam pelbagai jabatan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku Fikrah Sastera menghimpunkan 17 buah esei dan kritikan sastera tulisan Shahrun Nizal Mohd Nor yang bermula dari tahun 1999 hingga 2018. Kesemua esei dalam buku ini telah diterbitkan dalam pelbagai medium media massa dan ada yang didiskusikan dalam seminar, konferensi dan prosiding yang berkaitan dengan wahana kesusasteraan Melayu.

Secara konstruktif, buku ini dibahagikan kepada dua segmen, iaitu Kajian/Kritikan Sastera dan Sudut Pandangan Sastera. Pada bahagian pertama, penulis menganalisis secara rinci beberapa teks karya sastera Melayu, meliputi pelbagai genre seperti puisi, cerpen dan novel.

Kesemua analisis tersebut bersandarkan jalinan teori sastera tempatan dan Barat, seperti teksdealisme, taabudiyyah, stilistik, dan intertekstualiti. Antara teks yang ditelusuri ialah Sukma Angin hasil tulisan Arena Wati, Bedar Sukma Bisu hasil buah tangan Faizal Tehrani dan Daerah Zeni garapan A. Samad Said.

Pada bahagian kedua pula, penulis berkongsi cakerawala minda dan pendapat berhubung segenap isu yang wujud dalam lapangan sastera, khususnya yang berkaitan dengan sastera remaja.

Kehadiran

Prinsip kehadiran dalam teori teksdealisme boleh dipecahkan kepada dua. Pertama, melibatkan dimensi pembentukan idea sehingga suatu penulisan itu dimurnikan. Kehadiran dalam diri penulis dapat dikesan berdasarkan cetusan dan rencam idea menerusi gawang pemikiran seseorang. Idea-idea tersebut disulam jalin bagi melorongkan jalan penceritaan dalam suatu penulisan. Kedua, mencakupi analisis kehadiran pengalaman yang bertunas secara sengaja mahupun tidak sengaja.

Menurut Mohd Saipuddin Suliman (2016), kehadiran secara tidak sengaja selalunya wujud pada peringkat sebelum menggagas idea atau proses penulisan artikel. Keadaan ini terhasil menerusi gerak jiwa yang hadir daripada pengalaman lampau yang pernah dilalui oleh penulis. Sementara itu, kehadiran secara sengaja pula berlaku setelah pembentukan idea dalam perbendaharaan minda penulis. Kehadiran ini pada kebiasaannya diperoleh daripada sumber-sumber yang dirujuk oleh penulis, di samping proses pengamatan penulis secara sedar bagi mendapatkan idea dalam proses penulisan mereka.

Shahrun Nizal Mohd Nor dalam hal ini mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai penulis, pengkaji, pengkritik, malah sering ber“taiso” dengan ragam sastera dan bahasa berikutan tuntutan tugas beliau yang berkhidmat dalam pelbagai jabatan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Berbekalkan deretan pengalaman yang memperkaya minat penulisan beliau, maka lahirnya buku Fikrah Sastera yang menonjolkan idea, renung fikir, luahan rasa, serta pandangan yang hadir dalam fakulti akalnya.

Pelanggaran

Mana Sikana (2013) berpendapat bahawa perlanggaran dalam teori teksdealisme ialah cara memperlihatkan nilai perimbangan, sama ada mengekalkan atau mengubah sesuatu dalam usaha bagi mencapai keunggulan teks. Perlanggaran dapat didefinisikan sebagai suatu proses penciptaan dinamik untuk mencari pembaharuan dalam berkarya.

Berdasarkan konteks penulisan Fikrah Sastera, segenap pelanggaran terkesan dan dicipta oleh penulis secara sedar. Umpamanya, terdapat penganalisisan gaya bahasa menerusi aspek fonologi, leksikal dan semantik dalam Bab 1. Analisis ini dijalankan pada sajak-sajak sebelum perang yang terhasil sekitar tahun 1933 hingga 1941. Umum sedia maklum bahawa kajian kebahasaan dan kesusasteraan merupakan dua disiplin berbeza dan kadangkala tercetus percanggahan pendapat serta “mazhab” yang dicetuskan oleh segelintir sarjana dan pemikir. Ada yang mempertahankan fahaman kebebasan penyair (poetic licence) dan ada pula yang menolak fahaman ini secara total. Namun begitu, penulis berjaya mencipta pelanggaran dan membuktikan bahawa beliau cukup kompeten dan bersedia memanfaatkan kedua-dua disiplin ini. Perkara ini merupakan usaha terpuji dan wajar dicontohi buat segenap penulis lain.

Sementara itu, didapati penulis turut mengangkat tokoh yang gemar membuat pelanggaran dan mencipta teknik penulisan dan persembahan tersendiri. Tokoh tersebut tidak lain tidak bukan ialah Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama samarannya, AGI. Hakikatnya, tidak semua penulis, pengkaji, editor mahupun pengkritik berani menekuni karya Tri-V (verbal-vokal-visual) AGI. Hal ini berikutan sifat puisi Tri-V tersebut yang unik, konkrit dan kadangkala sukar untuk ditanggapi, membuatkan tidak semua pengkritik berani mendekati karyanya. Namun begitu, penulis memberanikan diri dan cuba mengapresiasi penciptaan puisi Tri-V AGI. Akhirnya, beliau menemukan titik keunggulan AGI setelah menyelami segenap ranah hidup serta pengalaman kepenyairan AGI yang penuh dengan rona hitam putih dalam berkarya.

Berikutnya, tatkala menelusuri esei bertajuk “Konflik dan Pertentangan dalam Mandala Kehidupan”, terkesan satu titik perubahan dalam corak penulisan esei sastera beliau. Tidak keterlaluan jika esei ini boleh dikategorikan sebagai penulisan esei psikologi. Hal ini demikian kerana, segenap konflik dan polemik yang terjadi seawal pengisahan Legenda Mahsuri sehingga kompleksiti politik zaman kini disusun kemas, dan segenap konflik yang berlaku disisipkan nasihat berserta pendapat tokoh bidang psikologi dan pengurusan organisasi. Penulisan silang bidang ini menunjukkan penulis cuba meneroka sesuatu yang baharu dan melanggar kaedah konvensional penulisan esei sastera.

Dalam pada itu, didapati penulis terus-menerus mencipta pelanggaran dan mengeksplorasi pelbagai bidang lain bagi mencipta kelainan penulisan serta mempelbagaikan momentum idea yang unik dan dinamik. Perkara ini terkesan dalam esei “Sastera Siber, Sastera Generasi Baharu”. Esei ini sebenarnya telah menerobos ruang masa dan jika tidak dilihat tahun penulisannya, sudah pasti esei ini dianggap sebagai penulisan yang baru berusia lima tahun. Namun begitu, setelah ditelaah esei ini secara penuh, ternyata esei ini ditulis 21 tahun yang lalu! Esei ini telah melangkaui masa penciptaannya dan melanggar corak pemikiran penulisan sastera pada masa tersebut. Keunikan ini tidak akan hadir jika seseorang penulis hanya pegun dan tidak berani melanggar tembok sastera dan meneroka kemajuan ilmu dalam lapangan lain.

Pengukuhan

Berdasarkan konteks penulisan Fikrah Sastera, pengukuhan terkesan dalam penulisan esei seterusnya yang tekal mengangkat isu bahasa dan sastera agar dimartabatkan pada tempat yang selayaknya.

Prinsip pengukuhan merupakan prinsip ketiga dalam teori teksdealisme. Prinsip pengukuhan membawa maksud suatu pematangan atau pendewasaan seseorang pengarang dalam menghasilkan teks. Pengukuhan terhadap teks dilakukan kerana adanya hasrat, harapan, keinginan, dan cita-cita untuk melahirkan karya yang unik dan unggul. Menurut Mana Sikana (2005), karya tersebut semestinya jauh lebih baik dan berkesan daripada karya sendiri ataupun karya orang lain.

Berdasarkan konteks penulisan Fikrah Sastera, pengukuhan terkesan dalam penulisan esei seterusnya yang tekal mengangkat isu bahasa dan sastera agar dimartabatkan pada tempat yang selayaknya. Menerusi esei bertajuk “Penulis Muda dan Bahasa Melayu”, penulis mengutarakan kebimbangannya berhubung isu penulisan karya picisan yang menggunakan bahasa rojak dan slanga. Penulis mendapati karya picisan ini hanya berkiblatkan wang dan keuntungan.

Fenomena ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak agar isu ini tidak membarah dan mengancam bahasa ibunda. Penulis menambah, tanpa penguasaan bahasa, sukarlah sesuatu ilmu itu untuk disebarluaskan. Esei ini mengangkat kematangan penulis dan beliau terpanggil untuk menyuarakan kegusaran yang sekian lama bermain di gawang mindanya.

Sementara itu, penulis turut berkongsi renung fikir berkenaan peri pentingnya golongan muda menguasai dan mengapresiasi puisi tradisional. Dalam esei bertajuk “Prosa Tradisional untuk Remaja: Satu Tinjauan”, terkesan pematangan dan pendewasaan dalam penulisan penulis apabila esei tersebut diperincikan dengan susunan jadual, sokongan fakta berserta pandangan penulis kepada pihak berwajib berkenaan bagaimana ingin menyebarluaskan sastera tradisional di negara ini. Ternyata pengalaman beliau dalam urusan mengkaji dan menulis puluhan esei yang menjambatani segenap lapangan dan bidang berjaya mengukuhkan gaya penulisannya, lantas mengangkat jati diri dalam teks yang dihasilkannya.

Individualisme

Pembicaraan tentang prinsip individualisme penulis melibatkan penelitian berhubung kemuncak pencapaian yang mengangkat keperibadian penulis. Berdasarkan penelitian berkenaan subjektiviti penulisan penulis, terkesan variasi idea yang dinamik, rentas bidang dan informatif. Penulis memanfaatkan segenap pengalaman, pembacaan dan pemerhatian beliau bagi menukangi esei-esei yang matang, segar dan seiring dengan zaman malah melangkauinya.

Pada sisi lain, tatkala berhadapan dengan aspek bahasa, ternyata penulis berjaya memanfaatkan pelbagai perbendaharaan kata secara kreatif dan bijak. Umpamanya, terkesan perkataan-perkataan seperti ‘mandala’, ‘metanaratif’, ‘per se’, ‘meramu’, ‘deviasi’, ‘melankolik’, ‘introspeksi’, dan banyak lagi. Semestinya, kesemua perkataan tersebut merupakan rencah dan makanan bagi penulis mapan. Namun begitu, untuk penulis pemula, perkataan-perkataan ini barangkali jarang-jarang digunakan atau mungkin tidak pernah didengar sebelum ini.

Maka, di sinilah keunggulan penulis yang kaya dengan perbendaharaan kata, matang dalam mengulas sesuatu isu dan mempunyai keupayaan menulis esei rentas bidang ilmu. Segenap jati diri dan keunggulan penulis ini tidak akan hadir tanpa pengalaman, pembacaan dan pendedahan terhadap karya besar lain hasil tulisan Sasterawan Negara mahupun golongan cendekiawan.

Akhir sekali, tanpa penguasaan teori, suatu kritikan itu akan menjadi longgar, polos dan kurang berstruktur. Didapati, penulis menguasai segenap ilmu teori sastera tempatan mahupun teori sastera Barat. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan berikutan beliau pernah berguru dengan penteori terkenal tanah air, iaitu Mana Sikana. Maka, dapat dikatakan di sini bahawa beliau merupakan salah seorang anak murid yang berjaya memanfaatkan segenap ilmu yang dipelajarinya, lantas melahirkan buku bertajuk Fikrah Sastera ini dan menghadiahkan buku ini kepada gurunya itu sebagai tanda terima kasih dan penghargaan tertinggi!

Dalam usaha memartabatkan bidang kebahasaan dan kesusasteraan, seharusnya golongan pengkritik ini diapresiasi dan diraikan berikutan golongan inilah yang menguatkan tiang bahasa, mengukuhkan pasak sastera dan mewarnai jagat sastera dengan rona teori tempatan mahupun antarabangsa.

Sesungguhnya, buku ini amat sesuai dimiliki oleh semua golongan sama ada penulis pemula, mahasiswa, guru, pensyarah, mahupun penulis mapan. Hal ini demikian kerana esei-esei yang terhidang mencakupi segenap bidang ilmu, menerokai pelbagai sisi dan menyisipkan deretan pengalaman yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit mahupun kematangan umur.

RUJUKAN

Mana Sikana, 2013. Dari Barat ke Timur: Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana, 2005. Teori Sastera Kontemporari. Bangi: Pustaka Karya.

Mohd Saipuddin Suliman, 2016. “Penerapan Teori Stilistik dan Teksdealisme bagi Menganalisis Puisi Tri-V Abdul Ghafar Ibrahim”. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Shahrun Nizal Mohd Nor, 2021. Fikrah Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beli Buku Fikrah Sastera |

ESEI-ESEI SASTERA: FIKRAH SASTERA

Kredit Foto: Derek Torsani/Unsplash

_________________________

Dr. Mohd Saipuddin Suliman Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.