Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik meneliti sekumpulan sajak yang merakam hal pemergian dan kematian yang cukup berkesan untuknya.
Apabila bercakap tentang kematian sebagai tajuk perbincangan, dalam menempuh ujian yang menggoncangkan seluruh kewujudan diri dan merasai kedukaan yang begitu dahsyat, terbit pelbagai baris puitis yang bukan sahaja menggambarkan keindahan dalam meredai ketentuan Ilahi, bahkan turut menyaksikan bukti kebesaran jiwa anak-anak Adam dalam perhitungannya untuk mencari kata-kata yang tepat bagi mengerti kejadian …
Ingatan awal saya mengenai puisi banyaknya daripada ibu saya. Permulaan saya sebagai penulis pula bukan daripada Minggu Penulis Remaja atau Persuratan Melayu dari Universiti Malaya mahupun Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain belajar sendiri—sebahagian besarnya—saya bernasib baik mempunyai ibu yang meminati sastera dan seni. Jadi, beruntung jugalah ada pendedahan daripada tiada langsung.
Salah satu puisi yang saya ingat ibu pernah kongsikan ialah “No Man Is an Island” oleh John Donne. Semasa di Sekolah Tun Fatimah, ibu mengambil kertas Kesusasteraan Inggeris untuk peperiksaan A Levelnya dan di Universiti Malaya pula ditawarkan masuk Fakulti Bahasa Inggeris sebagai subjek minor. Malah, pernah menghadiri kuliah Allahyarham Salleh Ben Joned sekitar lewat tahun 1970-an dahulu. Mungkin inilah sebabnya ibu mengenali sajak tersebut.
“No man is an island,/Entire of itself;/Every man is a piece of the continent,/A part of the main.” Itulah rangkap awal Donne yang mengingatkan kemanusiaan bukanlah gugusan kepulauan yang terpisah oleh selat ketidakpedulian, tetapi pengalaman setiap insan umpama sebahagian daripada tanah besar manusiawi yang terbina daripada pertalian—secara langsung dan tidak langsung—antara satu sama lain. Untuk menghadapi satu-satunya kepastian dalam sebuah kehidupan yang penuh ketidakpastian, kematian merupakan tajuk perbincangan yang berlangsung tanpa titik noktah.
“Setiap kematian menjejaskan daku,/Kerana keterlibatanku dalam kemanusiaan” sambung Donne.
Apabila bercakap tentang kematian sebagai tajuk perbincangan, dalam menempuh ujian yang menggoncangkan seluruh kewujudan diri dan merasai kedukaan yang begitu dahsyat, terbit pelbagai baris puitis yang bukan sahaja menggambarkan keindahan dalam meredai ketentuan Ilahi, bahkan turut menyaksikan bukti kebesaran jiwa anak-anak Adam dalam perhitungannya untuk mencari kata-kata yang tepat bagi mengerti kejadian yang ada kalanya menuntut penerimaan dan bukan pemahaman.
Terdapat beberapa Sajak Melayu yang begitu anggun mengarang tentang kematian. Oleh sebab keterbatasan ruang dan kekurangan saya sendiri, kali ini saya hanya akan memetik beberapa (baris) sajak berkaitan yang paling terkesan bagi saya dan diingati.
“Tuhan Lebih Pintar dari Ikhtiar Manusia”
Sajak “Sepi Pun Datang di Perjalanan yang Panjang” oleh Sasterawan (SN) Negara Baha Zain merupakan antara sajak kematian terbaik yang pernah saya baca dalam sejarah persajakan tanah air. Ketakjuban sajak ini terbit daripada empat baris terakhirnya:
……………ibu, aku telah mencuba
……………tapi Tuhan lebih pintar dari ikhtiar manusia
……………pada kebesarannya engkau kembali
……………dan kami tertegun sepi.
Pada rangkap awal, tengah dan akhir sajak ini, pengucapannya secara keseluruhan sederhana sahaja. Walau bagaimanapun, apabila sampai pada baris-baris akhir, sajak ini menjadi besar. Baris “senja itu kau diam pada lena yang panjang” dan “[kami] terlalu muda untuk menilai pedih yang terpendam” mempersiapkan pembaca untuk menuju sebuah pencerahan yang meluluhkan dan penerimaan tanpa sebarang gerak-geri mahupun bunyi.
Segala usaha di hadapan ketentuan Yang Maha Esa tertakluk pada kehendak-Nya. Siapakah yang lebih pintar daripada Pencipta kita? Di hadapan kebesaran itu juga, apakah yang boleh diungkapkan lagi?
Segala yang tiada daya untuk diungkap, ujar Ludwig Wittgenstein, perlu ditinggalkan dalam kebungkaman. Sebelum tiba di balai ketidakterungkapan, Baha menemui pintu bahasa paling jujur dan murni untuk disampaikan bahasa kedukaannya. Walaupun beliau “tertegun sepi” akhirnya, tetapi “[beliau juga] sempat bermaafan dan mengenal cinta yang luhur”, bukti yang cukup bahawa ada perkara yang tidak ditelan sunyi yang menanti.
Kematian ibu dan ayah boleh dikatakan perkara tabii dalam kehidupan kita. Sudah menjadi tanggungjawab si anak untuk menguruskan dan memberi penghormatan terakhir buat orang tuanya. Tetapi bagaimana pula dengan ibu dan ayah yang kematian anak?
“Kepastian Beku Berseri”
Diam juga bahasa yang membicarakan kehilangan dan pemergian …
Sajak “Endgame” merupakan sebuah sajak panjang oleh Allahyarham Salleh Ben Joned dalam kumpulan puisi persendiriannya, Sajak-sajak Saleh. Sajak ini terhasil daripada titik hitam dalam riwayat penyajak tersebut. Menurut audio siar Anna Salleh, bapanya terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang meragut nyawa adiknya, Maria Salleh, berusia empat atau lima tahun ketika itu.
Gambaran Salleh tentang kematian cukup mengagumkan: “Kata orang: sebelum tenggelam ke bawah/semuanya terpapar semula/di permukaan air./Kita dilemasi cahaya/sebelum kita dilemasi gelap.”
“Endgame” bukan sahaja ditulis untuk pemergian Maria. Sajak ini turut mengingati bapa Salleh yang nazak. “Bapak, apa yang sebenarnya terbayang/di saat kau menemui saatmu,/menemui gelap yang melewati gelap/dengan sumpah di luar pengertian?” tanya Salleh kerana kehilangan Maria memperlihatkan “[betapa] menyilaunya cahaya di tengah kegelapan/[dan betapa] hitamnya kegelapan di tengah cahaya” untuk Salleh pada detik-getik getir itu.
“[Ketika] kereta melanggar tiang lampu/apa yang terbayang di mata sucimu, anakku?” soal Salleh lagi. Ramai yang melihat sisi Salleh yang cabul, tidak serius dan kurang ajar. Akan tetapi berapa ramaikah yang menyaksikan sisinya yang halus ini?
Selain sajak SN Baha Zain, “Endgame” Salleh Ben Joned bagi saya ialah salah satu sajak terbaik yang menyentuh tentang tajuk perbincangan yang sama ini. Perasaan tulen tanpa tapis—kemuncak sajak ini dengan amarah yang tidak lagi terbendung—meletus seperti yang dirakam pada rangkap di bawah:.
……………Kepastian beku berseri
……………terlalu menyilaukan mata hati;
……………Ayat-ayat pusaka sudah lama luput,
……………ayat-ayat celaka terus meregut.
……………Aku yang melutut di sisinya
……………tak mengerti;
……………tapi aku teringat
……………sumpah yang kuwarisi
……………di permulaan hari.
……………Bladi bastat!
Kemudian, disusuli kehibaan tiada peri ketika Salleh mengakhiri sajaknya dengan sebuah pengakuan jujur:
……………Pertama kalinya sejak dewasa
……………aku menangis;
……………menitis ratap meresap cahaya,
……………jatuh bertakung di celah
……………matamu Ria
……………melinang seketika
……………hingga dikeringi
……………matahari
……………yang sentiasa
……………dahaga.
Di muka kepastian yang tidak berdaya kita hentikan kemaraannya, apa yang mampu kita lakukan lagi melainkan meratap dan terus meratap?
Selagi ada kehidupan, penyajak kita akan terus menulis tentang kehidupan. Selagi itu juga, pengakhiran akan menyusuli. Dan penyajak kita akan terus menulis tentangnya. Ada perkara yang melangkaui perpisahan.
Selain ketidakterungkapan dan kesedihan, ingatan bertahan.
“Senyumanmu Masih Terlalu Baru”
Buku Pyanhabib yang Kami Sayangi merupakan himpunan “elegi” daripada mereka yang mengenali susuk istimewa tersebut. Sejumlah esei, puisi, ilustrasi, dan foto telah dihimpunkan bagi meraikan kehidupan Allahyarham dan menyaksikan bagaimana susuk seorang Pyanhabib Rahman sedikit sebanyak menyentuh dan memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan para penyumbang. Bagaimana pula dengan susuk yang memberi kesan kepada penyair yang sama?
Ramai orang mengenali nama Zulkifli Dahlan sebagai tokoh legenda seni rupa tanah air. Bagi penyair seperti Latiff Mohidin, Pyanhabib Rahman dan kumpulan Anak Alam yang lain, mereka mengenali Allahyarham Zulkifli dengan nama timangan “Jo”.
Sajak “Tentangmu” merupakan “elegi buat Jo”. Sajak pendek ini hanyalah sepanjang lapan baris dan terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama, kita diperkenalkan oleh Pyanhabib sedang bersama “teman-teman[nya] masih bercerita/tentang…[Jo]/tentang burung merpalang/yang pulang”. Tidak ada sebarang bunga atau majaz yang rumit. Hanya kejujuran dan peluahan mudah. Pada bahagian kedua pula, Pyanhabib “mengenang… [sahabatnya itu]” tetapi seolah-olah “terasa senyuman… [Jo] masih/terlalu baru”.
Zulkifli Dahlan pulang ke rahmatullah pada tahun 1977 ketika usianya 25 tahun. Pyanhabib dijemput Ilahi pada tahun lalu ketika usianya 66 tahun. Betapa senyuman beliau juga masih terasa terlalu baru untuk kita semua.
Membelek semula Balada Pyanhabib, saya menemui kekuatan beliau, iaitu dalam sajak-sajak pendeknya. Ia bersahaja, ringkas tetapi menusuk terus ke sanubari. “Tentangmu”—dalam baris dan baitnya yang cukup sederhana—juga antara sajak bagus yang membicarakan tajuk perbincangan kematian.
Mungkin, dalam usaha untuk tidak membiarkan kebungkaman dan ketidakpedulian menang, ada kala ujaran ringkas dan tulus sudah memadai. Mungkin, tidak perlu sedu-sedan atau pengakuan angkuh. Cukup sekadar kita berbual antara satu sama lain, mengingati kenangan manakah yang paling kita suka.
Kasih Sayang yang Berlanjutan
Dalam bukunya, They Can’t Kill Us Until They Kill Us, Hanif Abdurraqib berpendapat bahawa hidup ini terlalu panjang. Terlalu banyak kedukaan dan kesedihan dirasai setiap dekad mendatang. Terlampau ramai insan tercinta yang kita dikebumikan atau hilang tanpa berita. Tidak lupa juga diri sendiri yang bakal dikebumikan oleh mereka yang kita kasihi.
Tetapi bagi saya—sambil teringatkan kepada Pablo Neruda—hidup ini yang terlalu singkat; sebaliknya, “kehidupan” kita yang panjang sebenarnya.
Dalam merenungi “kesementaraan” yang “lama” ini, saya bayangkan baik para penyajak mahupun orang ramai tidak akan pernah putus akal untuk menukilkan tentang janji Tuhan yang paling pasti—biarpun kita terduduk membisu.
Diam juga bahasa yang membicarakan kehilangan dan pemergian.
Selain rangkap awal Donne yang pertama kali saya dengar daripada ibu, rangkap akhirnya juga memberikan kesan: “Therefore, send not to know/For whom the bell tolls,/it tolls for thee.” Selain mengingati kematian ialah takdir hakiki setiap yang bernyawa, kematian juga mengingatkan kita akan rampai sari pengalaman manusiawi yang wujud itu turut berakar daripada hakikat takdir tersebut. Dan, saya juga teringat dengan kata-kata yang masyhur berlegar di alam maya (sanadnya daripada sebuah filem adiwira tersohor beberapa tahun lalu):
Apakah kehibaan kalau bukan kasih sayang yang berlanjutan?
Saya kira sama ada kita tertegun sepi atau beku berseri atau berasakan semua itu masih terlalu baharu—setiap kematian bukanlah titik noktah muktamad. Ia hanyalah sebuah tanda baca kecil yang memanggil kita untuk sedar bahawa terdapat perenggan seterusnya yang belum kita baca.
Dan suatu masa nanti, kita pasti akan kembali membacanya bersama sekali lagi.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.