16 Februari 2022, 08:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bagi membuka ruang dan peluang buat penulis, khususnya yang berpayung di bawah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), sama ada penulis yang buku mereka diterbitkan di bawah nama institut itu mahupun buku mereka disunting oleh pihak institut, program Bicarawara Buku dianjurkan.

“Program ini akan memberi peluang kepada penulis warga IPGKBM, mahupun mereka yang berpayung di bawah IPGKBM untuk membicarakan dan mempromosikan buku mereka agar lebih ramai peminat buku dapat mengenali karya mereka,” ujar Sarimah Hj. Awang selaku moderator Bicarawara Buku Siri 1, pada 14 Februari (Isnin) lalu. Di samping itu, program ini dapat memeriahkan suasana polemik karya penulis guru Bahasa Melayu tempatan.

Struktur program disusun dengan penulis jemputan berkongsi tentang karya mereka. Seterusnya, disusuli dengan sesi ulasan penuh rinci oleh panel pengulas.

Siri pertama program ini dihadiri oleh Dr. Mohd Haidi, pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan di Jabatan Persuratan Melayu di IPGKBM dan Badrul Hisham Ghazali, pensyarah di Jabatan Kecemerlangan Akademik IPG sebagai panel penulis jemputan. Manakala Ketua Jabatan Sains Kemanusiaan merangkap Pengurus Penerbit IPGKBM yang juga seorang penulis, Dr. Mahdi Shuid pula ditampilkan sebagai pengulas bagi dua buku yang dibicarakan, iaitu Citra Puisi Melayu Merentas Nilai Universal (Dr. Mohd Haidi) dan Kumpulan 101 Puisi Muka Buku (Badrul Hisham Ghazali)

Citra Puisi Melayu Merentas Nilai Universal telah diangkat sebagai 30 Karya Terpilih Guru Malaysia bagi tahun 2020 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Menurut Mohd Haidi, buku ini merupakan sebuah buku analisis kajian sosial dan puisi. Usahanya sebenarnya dijelmakan atas dasar perkongsian dan laporan hasil kajian sarjana doktor falsafah beliau.

“Tujuannya adalah untuk melihat unsur-unsur nilai sejagat dalam setiap penghasilan puisi yang dinukil oleh para penyair berbilang bangsa tempatan” ujar Mohd Haidi.

Pemikiran dan analisis yang menghasilkan buku ini didatangkan melalui sebuah soalan utama, iaitu “Bagaimana untuk melihat nilai-nilai sejagat ini diterapkan melalui puisi-puisi Melayu?”

Hal yang menarik dalam buku ini ialah, Mohd Haidi menyuarakan garapan sosial dalam puisi melalui disiplin ilmu sosiologi sendiri. Sebelum pembaca dapat melihat secara mendalam berkenaan kandungan dalam puisi dan penyair, khalayak akan dikongsikan dengan beberapa disiplin ilmu sosiologi terlebih dahulu.

Dr. Mohd Haidi

Menurut beliau, “Tujuan diperlihatkan kepada khalayak berkenaan disiplin sosiologi adalah kerana persoalan tercetusnya nilai (nilai universal/nilai sejagat) itu sendiri yang merupakan sebuah perkara abstrak.” Melalui buku Citra Puisi Melayu Merentas Nilai Universal, Mohd Haidi juga menyentuh konsep nilai dalam masyarakat serta perspektif nilai melalui lensa agama dan budaya.

Dr. Mohd Haidi telah menulis selama 15 tahun, dan walaupun beliau masih mengakui diri sebagai “penulis pemula di lanjut usia”, karya kajian sasteranya ini dilihat sebagai karya penting dalam negara yang mengutarakan pemikiran dan kajian tentang puisi Melayu. Pemikiran dan gagasan yang dibawanya menonjolkan citra kesarjanaannya, juga kredibilitinya sebagai seorang penyelidik, penulis dan penganalisis.

Buku Kumpulan 101 Puisi Muka Buku karya Badrul Hisham Ghazali pula jelas sebuah kumpulan puisi yang telah disiarkan di laman Facebook peribadinya. Dimulakan sejak tahun 2012, puisinya berkisarkan dunia realiti dan pengalaman kehidupannya dalam sehari-hari. “Pengalaman memanglah merupakan guru yang paling berharga buat kita,” ujar Badrul Hisham Ghazali.

Hasil berhadapan dengan suasana, keadaan serta situasi, malah pelbagai pengalaman, dijadikan sumber pengamatan yang melahirkan kumpulan puisi ini. Puisinya menyentuh isu sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat masa kini. “Saya ketengahkan isu-isu marhaen yang berada di sekitar kehidupan kita. Buku ini juga berperanan sebagai satu dokumentasi dalam perjalanan kehidupan saya sendiri, kumpulan puisi marhaen oleh seorang marhaen.”

Badrul Hisham juga menyifatkan puisi beliau sebagai suatu karya untuk “berhibur dalam bahasa figuratif dan indah” dan “mampu difahami dan dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat”.

Yakin dengan posisi puisinya yang akan dapat difahami masyarakat awam, beliau mengharapkan puisinya mampu memberi impak kepada pembaca. Beliau dengan jelas mengharapkan agar pembaca yang membaca kumpulan puisinya ini dapat menjentik minda, berfikir dengan kritis dan membuka pandangan mereka.

Dr. Mahdi Shuid sebagai pengulas buku Citra Puisi Melayu Merentas Nilai Universal dan Kumpulan 101 Puisi Muka Buku meletakkan Dr. Mohd Haidi sebagai penganalis, pengkaji dan penyelidik yang mahir, manakala Badrul Hisham sebagai “penulis yang konsisten dan mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi”. Beliau juga sempat mengulas dengan rinci berkenaan kedua-dua karya ini, di samping memberikan sedikit pandangan dan analisis terhadap pemikiran dua orang penulis daripada institut perguruan itu.

Buku Kumpulan 101 Puisi Muka Buku boleh dibeli di sini.

Tonton bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.