Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri membaca sajak “Detik Tengah Musim” karya Taufiq Harith dalam Coretan Puisi Dewan Sastera dan menemui titik-titik kekuatan imej dan bahasanya.

Kita mahu menjadi lebih baik, lebih berjaya, lebih dihormati. Pada masa yang sama, kita dihantui rasa tidak cukup dan tidak sempurna.

Setiap kali tahun bertukar angka, manusia seakan-akan dipanggil untuk berhenti seketika, menoleh ke belakang, menilai apa yang tertinggal pada 12 bulan yang berlalu, dan mengintai pula apa yang bakal tiba. Tahun baharu tidak sekadar perubahan tarikh di kalendar, tetapi sebuah ritual emosi yang berulang saban tahun.

Kita mengucapkan “Selamat Tahun Baharu” dengan senyuman, walaupun dalam hati tersimpan pelbagai rasa yang tidak sempat disusun rapi dan segerak. Puisi “Detik Tengah Musim” mengingatkan bahawa tahun baharu tidak sentiasa hadir bersama-sama sinar ceria. Ada kalanya detik itu datang dalam keadaan beku, perlahan dan membingungkan. Dalam ruang inilah psikologi manusia bergerak, antara semangat dengan kekesalan, antara harapan dengan ketakutan, sementara alam terus berjalan tanpa menunggu kita.

Struktur Puisi Sejajar dengan Suasana Jiwa

Dari segi struktur, puisi penyair muda Taufiq Harith ini terdiri daripada tiga rangkap bebas tanpa rima tetap. Bentuk ini memberikan kebebasan kepada penyair untuk menyampaikan idea secara bebas dan reflektif, sesuai dengan tema perenungan yang dibawa.

Dari aspek bahasa, penyair banyak menggunakan imej alam termasuk “pokok-pokok fir”, “selimut salju”, ‘matari’, ‘solstis’, dan ‘ekuinoks’. Unsur-unsur ini berfungsi sebagai imejan visual yang membantu pembaca membayangkan suasana sejuk, sunyi dan perlahan serta laid back. Imejan ini menimbulkan perasaan hening dan sepi, selari dengan suasana jiwa (mood) dalam puisi.

Selain itu, penggunaan metafora seperti “selimut salju” dan kiasan “hibernasimu” memperkuatkan makna tersirat tentang keadaan emosi yang stagnasi dan pasif. Bahasa yang digunakan pula komunikatif, tetapi bersifat puitis dan simbolik. Baris-baris puisi disusun dengan kemas dan tidak terlalu panjang, menjadikannya selesa di mata penggemar puisi tipografi kemas.

Pengulangan unsur masa seperti “tahun baru” dan “kalendar” menegaskan tema masa dan perubahan. Melalui lensa formalisme, jelas bahawa kekuatan puisi ini terletak pada susunan bahasa, imejan dan simbol yang membina makna secara tersusun dan berkesan.

Dalam kehidupan moden, manusia memahami masa melalui sistem yang tersusun: kalendar, jadual, tarikh, dan tempoh akhir. Semua ini membentuk struktur makna tentang “permulaan” dan “pengakhiran”. Tahun baharu diterima secara budaya, diangkat sebagai simbol peluang kedua. Namun begitu, alam tidak sentiasa selari dengan ilusi ini. Ketika sebahagian dunia masih diselubungi salju, pokok-pokok masih “tidur”, dan bumi berada dalam fasa rehat, manusia pula dituntut untuk bangkit dengan segera.

Di sinilah berlakunya pertembungan antara realiti alam dengan tuntutan sosial. Kalendar yang “baru siap cetak di kilang” menjadi lambang bagaimana masa telah dikomersialkan dan diseragamkan. Kita belajar untuk bergerak mengikut angka, bukan mengikut denyut jiwa sendiri. Akibatnya, ramai yang menyambut tahun baharu dengan fizikal dan mental yang letih, serta hati yang belum pulih daripada penderaan 12 bulan lepas.

Di sebalik ucapan optimistik dan azam baharu, tersimpan konflik psikologi yang jarang-jarang dibicarakan secara terbuka. Manusia membawa bersama-sama memori kejayaan, kegagalan, penyesalan, dan impian (baca: azam) yang tertangguh. Dalam bahasa psikoanalisis, inilah pertembungan antara keinginan, tuntutan moral dengan realiti diri. Kita mahu menjadi lebih baik, lebih berjaya, lebih dihormati. Pada masa yang sama, kita dihantui rasa tidak cukup dan tidak sempurna.

Azam tahun baharu sering berfungsi sebagai pelindung emosi; usaha menenangkan rasa bersalah terhadap masa lalu. Namun begitu, tanpa kesedaran dan penerimaan diri, azam hanya menjadi ritual (baca: trend FOMO) tahunan yang cepat dilupakan. “Hibernasi” dalam puisi itu menggambarkan jiwa yang memilih untuk berdiam, kerana terlalu letih untuk berdepan dengan khilaf dan luka sendiri.

Alam sebagai Bahasa Perasaan

Semuanya menjadi cermin emosi manusia. Kita melihat diri kita dalam salju yang beku, dalam cahaya yang perlahan, dalam angin yang tidak pasti arahnya.

Apabila kata-kata gagal menjelaskan perasaan, manusia mencari perlindungan dalam kiasan. Alam menjadi bahasa kedua untuk jiwa. Matahari yang terus bergerak, ufuk yang luas dan musim yang berubah. Semuanya menjadi cermin emosi manusia. Kita melihat diri kita dalam salju yang beku, dalam cahaya yang perlahan, dalam angin yang tidak pasti arahnya.

Perasaan bercampur aduk antara syukur dengan kecewa yang sering tidak mampu diungkapkan secara langsung. Maka, kita berbicara melalui simbol. Alam mengajar bahawa tidak semua perubahan perlu berlaku secara mendadak. Ada yang perlahan, senyap dan hampir tidak disedari. Dalam gaya penulisan yang komunikatif tetapi reflektif, puisi ini menolak pseudomotivasi dan mengajak pembaca untuk menghormati proses dalaman sendiri.

Akhirnya, kedatangan tahun baharu bukan sekadar tentang bersedia menjadi versi diri yang “lebih baik” menurut ukuran luar. Kehadirannya menjadi ruang untuk memahami diri dengan lebih jujur. Dalam pertemuan antara struktur sosial, simbol alam dengan konflik bawah sedar, manusia belajar bahawa kegembiraan dan kesedihan boleh wujud serentak. Namanya juga manusia bukan? Sudah pasti perasaan kita jauh lebih kompleks daripada hitam dan putih.

Tidak semua kegagalan bermakna kekalahan, dan tidak semua kejayaan membawa ketenangan. Dalam “Detik Tengah Musim”, Taufiq Harith membuka jalan agar kita sedar bahawa kemanusiaan tidak lahir daripada kesempurnaan, tetapi daripada keberanian untuk menerima kekurangan. Tahun baharu, dalam erti sebenar, bukan tentang memadam masa lalu, bukan juga memendamkannya (tidak mengambil iktibar), tetapi tentang memaknainya dengan lebih matang, lebih berempati (kepada diri sendiri), dan lebih bererti.

_________________________

Ibnu Din Assingkiri merupakan nama pena Sanusi bin Din. Beliau lahir di Kedah dan menetap di Pulau Pinang. Ibnu Din aktif menulis sejak tahun 2010. Beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen serta menyumbang dalam berpuluh antologi pelbagai genre di Malaysia dan Indonesia. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit dalam pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Ibnu Din menerima empat hadiah sastera negeri, tiga di Pulau Pinang (2023, 2025) dan satu di Kedah (2022) dalam kategori buku puisi, puisi eceran dan cerpen eceran.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi