Diterbitkan pada 9 Februari 2026, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zaidin Abadi mengenang pemergian penyair penting dari Kedah yang juga Tokoh Penyair Kebangsaan 2024, Puzi Hadi.

Beliau akan ‘merayap’ dari satu reruai ke satu reruai, membelek pelbagai jenis buku, membaca blurb demi blurb, seolah-olah mencari buku-buku yang benar-benar dikehendakinya. Istimewanya beliau tahu judul dan pengarang buku yang dicarinya.

Lebih kurang pukul 6.45 petang, saya terima panggilan telefon daripada Fairuz.

“Pak cik, abah tenat.” Kedengaran suara Fairuz tersekat-sekat dalam nada yang hampir menangis.

Saya melihat jam sambil berbisik ke hati kecil, ‘Lepas solat Maghrib,’ dengan doa agar Allah memberikan kesembuhan kepada abah Fairuz.

Suara azan dari Masjid As-Solihin berkumandang. Serentak telefon berdering. Fairuz sekali lagi.

“Pak cik …. abah dah tak ada …” Sebak suaranya. Pecah ban air mata saya, mengalir tanpa sedar. Saya hanya sempat melafazkan, “innalillahi wainna ilaihiro ji’un”. Makin laju air mata saya berderaian. Terus saya telefon seorang sahabat, Hasan Baseri Budiman.

Puzi Hadi mendeklamasikan puisi dalam majlis Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2025 di Rumah PUSTAKA Kedah, Simpang Kuala, Alor Setar pada 25 Ogos 2025. Majlis anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dan Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA). Inilah acara deklamasi puisi terakhir yang beliau sertai sebelum meninggal dunia.

“Hasan, Puzi dah tak ada …” saya sebak. Kedengaran suara Hasan pecah di hujung telefon. Esakannya jelas ke telinga saya. “Aku nak pi hospital ’ni,” sambung saya terus mematikan talian.

Bergegas saya dan isteri ke hospital sebaik selesai solat maghrib. Sudah pukul 7.50 malam. Jarak di antara rumah saya dengan hospital lebih kurang 2.5 kilometer sahaja. Jika memandu dengan kelajuan sederhana, saya boleh tiba di hospital dalam masa kurang lapan minit. Saya tekan pedal kereta lebih kuat daripada biasa. Dada saya semakin bergetar kencang. Mujur ketiga-tiga lampu isyarat semuanya berwarna hijau. Pemanduan saya jadi lancar.

Sebaik tiba di wad L1L2 Hospital Alor Setar, kelihatan Shauqiah, suaminya Najib, Iqbal, Fairuz dan Norma berada di tepi katil. Sekujur tubuh terbaring kaku bertutup dengan kain di atas katil. Saya pandang wajah-wajah yang saya kenali itu satu per satu. Mereka membalas dengan pandangan penuh kesedihan. Air mata saya berderai sekali lagi. Saya beredar ke tepi katil, merenung tubuh kaku yang kelihatan terlalu kurus. Membaca doa mohon dipelihara perjalanan sabahat saya itu di bawah Rahman dan Rahim Yang Maha Berkuasa. Mohon diampunkan segala dosa dan kesalahannya, dan saya sendiri memaafkan sebarang kesalahannya terhadap saya, yang amat saya yakini tiada sebarang kesalahan apa-apa pun.

Beberapa minit kemudian, tiga orang petugas hospital tiba dengan van jenazah. Jenazah dipindahkan ke dalam van dan selepas itu van tersebut bertolak keluar dari kawasan wad.

“Jenazah abah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah. Malam ini diletakkan di dalam Bilik Jenazah. Pagi esok urusan mandi dan kapan akan dilakukan. Selepas itu, jenazah akan dibawa balik ke rumah sebelum disolatkan di Masjid As-Solihin. Pengkebumian dijangka pukul 11.00 pagi di Tanah Perkuburan Taman Uda.” Fairuz menjelaskan secara terperinci kepada saya.

Malam itu, saya dihujani panggilan dan mesej daripada rakan-rakan yang baru dapat tahu tentang berita pemergiaan saudara Puzi Hadi. Masing-masing bertanyakan sama ada berita itu sahih atau sebaliknya. Saya mengesahkan berita itu benar. Mereka bertanya pula tentang urusan solat dan pengkebumian. Saya maklumkan kepada mereka apa-apa yang diberitahu oleh Fairuz.

Semalaman di Facebook dan WhatsApp milik rakan-rakan dari seluruh negara mula memaparkan ucapan takziah atas kematian Puzi Hadi, penyair dan deklamator tersohor tanah air. Masing-masing menzahirkan rasa dukacita.

Mohamad Puzi bin A Hadi lahir pada 9 Mei 1951 di Bukit Awi, Kulim, Kedah, merupakan seorang yang baik, tinggi budi bahasa dan sangat bermurah hati. Saya mengenali arwah sejak tahun 1987 dan menjadi lebih akrab selepas sama-sama berada dalam barisan kepimpinan persatuan penulis di Kedah sejak tahun 1990 hingga hari-hari terakhirnya. Pada majlis Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah, tahun 1987, saya berentap dengan beliau di pentas akhir merebut kejuaraan. Puzi menjadi juara dan saya di tempat kedua. Beliau seterusnya menjuarai sayembara tersebut pada peringkat kebangsaan.

Tahun 1989, beliau menjadi Setiausaha Satu dan saya Setiausaha Dua. Kami bergandingan dalam persatuan, tetapi tahun berikutnya, beliau meletak jawatan oleh sebab menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Saya memangku tugasnya. Sekitar tahun 2008/2009, jika tidak salah ingatan saya, Puzi Hadi bersama-sama beberapa orang rakan penulis digugurkan keahlian daripada persatuan yang dianggotainya sejak tahun 1975. Puzi Hadi menyepi daripada kegiatan persatuan sehingga saya mengambil alih jawatan Ketua Dua persatuan tersebut dalam tahun 2013. Saya undang beliau untuk kembali aktif berpersatuan. Semasa saya menang jawatan Ketua Satu dalam tahun 2015, beliau dipilih sebagai Ketua Dua. Empat tahun berikutnya, kami bergandingan semula dalam saf kepimpinan. Mulai tahun 2019, beliau dipilih menjadi Ketua Satu dan saya pula menjadi Ketua Dua. Kami semakin akrab dan terus bergandingan mengemudi persatuan sehingga tahun 2021 apabila barisan kepimpinan bertukar kepada orang lain.

Puzi Hadi seorang yang baik hati, rendah diri serta menghormati setiap orang. Sikap tersebut menjadikan beliau senang didekati dan senang dibawa berbincang. Sepanjang perkenalan saya dengan beliau, saya tidak pernah melihat beliau marah atau menyergah sesiapa. Tapi jika orang tidak menghormatinya, malah menggunakan namanya untuk kepentingan diri, melentingnya lain macam sekali.

Satu perkara tentang Allahyarham Puzi Hadi, beliau terlalu suka akan ilmu pengetahuan. Beliau suka kepada buku dan beliau akan membeli buku-buku yang digemarinya setiap kali ke kedai buku atau ke pesta buku. Beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia, saya sering bersama-samanya ke pesta buku. Kami tidaklah ke Kuala Lumpur, hanya sekadar ke Sungai Petani, mengunjungi Pesta Buku Kedah. Di pesta tersebut sahaja sudah banyak buku yang dipamerkan di beberapa reruai yang disediakan oleh penganjur. Beliau akan “merayap” dari satu reruai ke satu reruai, membelek pelbagai jenis buku, membaca blurb demi blurb, seolah-olah mencari buku-buku yang benar-benar dikehendakinya. Istimewanya beliau tahu akan judul dan pengarang buku yang dicarinya.

“Banyak ke nak beli buku?” Saya menyoal.

“Ah, rasanya tak nak beli apa-apalah kali ini! Buku-buku di rumah masih banyak yang belum dibuka kulitnya,” balas Puzi sambil ketawa.

Akan tetapi akhirnya, sebelum kami beredar pulang dari pesta buku berkenaan, saya terpaksa menunggunya yang masih membelek buku-buku walaupun sudah selesai membayar harga buku-buku yang dibelinya. Hampir dua beg plastik besar berisi pelbagai judul buku yang dibimbitnya. Beliau ketawa sewaktu kami berjalan menuju ke kereta di tempat parkir.

Saya lihat di ruang tamu rumahnya, dipenuhi buku-buku yang tidak sempat disusun. Ada sebuah setor yang dibina khas di bahagian dapur semata-mata untuk menyimpan buku-buku koleksi beliau. Saya tidak pasti berapa banyak jumlah buku yang beliau miliki, tetapi ternyata di dalam setor tersebut dipenuhi dengan pelbagai jenis buku, majalah, akhbar-akhbar lama; semuanya disimpan dengan elok dan cermat. Hanya beliau seorang sahaja rasanya yang dapat mencari di mana buku atau bahan tertentu jika diperlukan.

Pernah saya bertanya kepada beliau tentang sebuah buku yang saya tulis dalam tahun 2000 dahulu. Saya mencari merata tempat dalam simpanan saya, tidak berjumpa. Dua hari selepas itu beliau datang ke rumah saya dan menunjukkan senaskhah buku tersebut. “Ambillah, saya ada sebuah lagi dalam koleksi saya,” ujar beliau.

Puzi Hadi sedang cuba menaip di papan kekunci semasa di wad L1L2, Hospital Alor Setar beberapa hari sebelum meninggal dunia.

Saya melawat beliau tiga hari kemudian. Keadaannya agak lemah. Suaranya makin tidak kedengaran walaupun beliau seperti kenal siapa saya. Kami berjabat tangan. Cengkamannya terasa masih kuat walaupun tidak seperti dahulu.

Pada 26 Disember 2025, saya menziarahi beliau di rumahnya (sebelum beliau dimasukkan semula ke wad pada 28 Disember 2025). Kebetulan saya mahu menyerahkan wang sumbangan daripada GAPENA yang disalurkan dalam akaun saya. Kami berbual agak lama walaupun keadaan beliau sudah agak uzur. Tetapi semangatnya tentang buku tetap berkobar-kobar. Kami berbincang secara kasar tentang program SWADAYA untuk tahun 2026 dan beliau berharap agar SWADAYA dapat melaksanakannya.

“Ramai lagi tokoh dari negeri Kedah yang tidak pernah diperkatakan,” ujarnya, walaupun dalam nada yang separuh berbisik. Saya pasang telinga dan rapat ke wajahnya. “Dato’ Dr. Yusof Hassan tak pernah dibicarakan. Dia banyak tulis dan bincang tentang karya Dato’ Shahnon. Karya-karya Dato’ Dr. Affifuddin pun kita tak pernah bincangkan,” sambungnya lagi. Saya masih terus memasang telinga, mendengar dengan sepenuh hati.

“Insya-Allah bila you sihat nanti, kita akan usahakan,” balas saya dengan sedikit rasa sedih memandangkan beliau masih begitu bersemangat. “Ada lagi tokoh macam Tan Sri Zahir Ismail,” sambung saya selanjutnya. Beliau mengangguk perlahan tanda bersetuju.

“Tapi buku biografi Dato’ Dr. Yusof Hassan tak ada lagi dalam koleksi,” tiba-tiba beliau bersuara seakan-akan teringat sesuatu tentang tokoh yang telah meninggal dunia itu. “Boleh tak you carikan buku tu? I nak simpan,” sambungnya lagi. “Mungkin Dr. Phat boleh tolong carikan di UUM.”

Sebelum saya beredar pulang oleh sebab sudah hampir waktu maghrib, beliau meminta sesuatu daripada saya. “Tolong spray air ke badan saya, boleh?”

Cepat-cepat saya capai botol penyembur air yang tersedia di tepi katilnya. Saya sembur ke tubuhnya. Beliau minta saya menyemburkannya ke kepala, muka, belakang, serta kakinya. Saya sembur dengan tertib walaupun di kelopak mata saya sudah membuak air jernih menunggu masa untuk tersembur keluar sahaja. Saya tahan rasa sedih dan sayu itu. Saya doakan semoga Allah berikan kesembuhan kepada beliau.

Malam itu, saya menghubungi Dr. Phat Awang Dheng di Universiti Utara Malaysia meminta dia tolong carikan buku yang disebutkan oleh Puzi itu. “Kalau ada Dr. tolong belikan dua naskhah. Nanti bagi bil dan nombor akaun Dr. kepada saya,” demikian saya tulis dalam WhatsApp kepada Dr. Phat.

Puzi Hadi sempat menaip dua baris puisi di skrin komputer riba semasa berada di hospital beberapa hari sebelum meninggal dunia. Inilah puisi terakhir yang sempat ditulisnya.

Dua hari kemudian Puzi dimasukkan ke wad semula, iaitu wad L1L2 di Hospital Alor Setar (Hospital Lama) di katil C4, katil yang sama beliau ditempatkan dua minggu sebelum itu. Pada 1 Januari 2026, saya terima dua naskhah buku Menongkah Gelombang Globalisasi: Memoir Yusof Hasan daripada Dr. Phat, senaskhah untuk simpanan saya dan senaskhah lagi untuk koleksi Puzi.

Pada 4 Januari 2026, Puzi menjalani kimoterapi untuk mengubati kanser paru-paru yang dihadapinya. Saya melawat beliau tiga hari kemudian. Keadaannya agak lemah. Suaranya makin tidak kedengaran walaupun beliau seperti kenal siapa saya. Kami berjabat tangan. Cengkamannya terasa masih kuat walaupun tidak seperti dahulu. Saya faham dengan keadaannya ketika itu. Saya tidak sampai hati untuk memaklumkan buku yang dikirimkan oleh Dr. Phat, seperti hajat beliau itu.

Kali terakhir saya menziarahi Puzi adalah pada hari Sabtu, 24 Januari 2026, bersama-sama Hasan Baseri Budiman dan Amelia Hashim. Beliau masih kenal Hasan dan Amelia dan sempat bertanya kepada Amelia tentang ibadah umrahnya. Amelia membawakan sebotol kecil air zam-zam. Puzi berterima kasih atas ingatan dan doa daripada Amelia. Begitu juga dengan Hasan, beliau sempat membisikkan sesuatu kepada Hasan. Setelah Puzi meninggal barulah Hasan memaklumkannya kepada saya.

“Kalau aku bagitahu kat hang dulu, hang tentu berasa amat-amat sedih,” ujar Hasan kepada saya selepas selesai urusan solat jenazah sahabat baik kami itu. Matanya bergenang. Saya sendiri menahan sebak.

Mohamad Puzi bin A Hadi telah kembali ke Rahmatullah pada 28 Januari 2026, pada pukul 7.20 malam ketika azan maghrib berkumandang. Isteri dan anak-anak serta cucu-cucunya kehilangan orang yang tersayang. Saya dan rakan-rakan SWADAYA kehilangan seorang sahabat yang baik dan pemimpin yang dihormati. Segala kenangan bersama-sama Allahyarham akan terpahat di dinding ingatan untuk selama-lamanya.

Semoga Allah terima segala amal baiknya dan mengampunkan segala dosanya serta ditempatkan bersama-sama roh orang-orang beriman di sisi Allah SWT.

Al-Fatihah …

_________________________

Zaidin Abadi ialah nama pena Saadin Abdullah, penulis dari Alor Setar, Kedah. Selain puisi, Zaidin turut menghasilkan cerpen, skrip drama radio, rencana sastera, dan novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank dan Hadiah Puisi Kuala Lumpur 100 Tahun.

Kredit Foto: Zaidin Abadi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi