Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Ranah kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh penyair apabila penerima Tokoh Penyair Kebangsaan 2024 dan Tokoh Seni Budaya Negeri Kedah 2016, Tuan Haji Mohamad Puzi bin Haji Abdul Hadi atau Puzi Hadi meninggal dunia pada usia 74 tahun kira-kira jam 7.20 malam di Hospital Alor Setar (Hospital Lama).
Memetik Facebook rasmi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan di Hospital Sultanah Bahiyah.
Selaku Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari menyifatkan pemergian beliau sebagai hilangnya sebutir cahaya yang mewarnai dunia kesusasteraan tanah air.
“Pak Puzi seorang pengkarya yang akrab dengan alam dan masyarakat sekeliling. Matanya tajam memerhati, penanya menari mentafsirkan kepeduliannya terhadap hal sekeliling dan ungkapan puisinya menggambarkan betapa kepeduliannya itu mengajak masyarakat untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan awam dan alam sejagat.
“Semoga arwah damai dalam alam yang abadi,” doa beliau.
YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara pula menganggap pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar untuk dunia sastera dan persuratan Malaysia, khususnya bagi negeri Kedah.
“Sepanjang tempoh Allahyarham memegang teraju sebagai Ketua 1 Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan seterusnya sebagai Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA), Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dalam usaha membantu DBP Wilayah Utara menggerakkan program sastera, terutamanya di negeri Kedah.
“Semoga karyanya terus dihayati dan mengingatkan kita bahawa dirinya masih ada bersama-sama dengan kita dalam memperjuangkan sastera.”
Puzi Hadi dilahirkan pada 9 Mei 1951 di Kulim. Beliau berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selama 36 tahun sebelum bersara sebagai Penolong Pegawai Perubatan pada tahun 2007.
Allahyarham merupakan seorang penyair yang disegani dan cukup terkenal sebagai peneroka dalam puisi eksperimental Malaysia. Beliau mula dikenali setelah puisi ecerannya, “Padang Kota Lama”, tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1972.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan sejumlah puisi eceran, termasuklah tujuh buah kumpulan puisi persendirian, termasuklah Bak Ombak (Teks Publishing, 1988), Lokomotif (DBP, 1991), dan paling mutakhir, Cerita atas Cerita (PENA, 2025).
Puisinya yang berjudul “Shauqiyah Hanim” telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia) 1984/1985.
Beliau juga cukup terkenal dalam pendeklamasian puisi di pentas sehingga melayakkan beliau menerima Johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan 1987. Beliau turut menerima pentauliahan Munsyi Dewan (Sastera) daripada DBP dan pernah menerima anugerah Sasterawan Alam Siber 2015 daripada E-Sastera.
Allahyarham juga pernah diangkat sebagai “Karyawan Bulan Ini” menerusi majalah Dewan Sastera Bil. 06/2015.
Pemergian Puzi Hadi merupakan kehilangan besar buat negara, namun karya dan jasanya tetap hidup dalam lipatan sejarah sastera Melayu.