Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPetaling Jaya – Lebih 100 orang sasterawan dari 12 buah negara dijangka menyertai Festival Antarabangsa R.A – Penyair, Penulis dan Pencinta Buku – Malaysia (RAIPO) 2023 pada 8 hingga 13 Disember depan, di dua buah tempat berbeza.
Dianjurkan oleh R.A Arts Haven dengan sokongan Encorp Berhad dan Tourism Perak, RAIPO 2023 akan berlangsung dalam dua peringkat, iaitu pada 8 hingga 10 Disember 2023 di Kota Damansara (Pusat Membeli-belah Strand), dan 11 hingga 13 Disember 2023 di Ipoh (Hotel Casuarina@Meru), Perak.
RAIPO 2023 akan berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
Bercakap semasa majlis pengumuman dan sidang media RAIPO 2023 di R.A Arts Haven, pusat beli-belah Strand pada 21 November lalu, Pengerusinya, Yang Mulia Raja Ahmad Aminullah memberitahu bahawa negara tersebut ialah Vietnam, Singapura, Indonesia, Brunei, India, Bangladesh, Mesir, Rusia, Bulgaria, Sepanyol, Puerto Rico, dan Malaysia.
Antara penulis yang akan tampil mewakili negara masing-masing termasuklah Bundo Free, Dwi Ermayanthi dan Lily Siti Multatuliana dari Indonesia; Mehzabeen Hussain, Dr. Sudipto Chatterjee dan Dr. Reshma Ramesh (India); Remedios Alvarez dan Ana M. Galan (Sepanyol); Nguyen Bao Chan (Vietnam); Kirpal Singh (Singapura); Aminur Rahman (Bangladesh); Ahmed Al Shahawy (Mesir); Maja Panatova (Bulgaria); Maria De Los Angeles (Puerto Rico); dan Dr. Victor Pogadaev (Rusia).
“Empat orang Sasterawan Negara, iaitu Datuk A. Samad Said, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail antara penulis yang akan mewakili Malaysia,” kata Raja Ahmad sambil mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan kerjasama, rakan strategik, penaja, dan semua yang terlibat memastikan kejayaan RAIPO 2023.
Rakan kerjasama tersebut termasuklah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), MERCY Malaysia, dan Persatuan Murid Tua Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCOBA).
Tambah Raja Ahmad, dengan tema “Puisi, Kedamaian dan Kemanusiaan”, RAIPO 2023 bertujuan meraikan kegiatan sasterawan dari pelbagai negara agar hubungan antara mereka dapat dieratkan lagi.
“Tujuannya juga untuk mengharmonikan manusia, yang berbeza dengan sesetengah bidang lain yang memecahbelahkan sesuatu hubungan. Saya berharap program ini dapat memanusiakan manusia atau merumahkan kemanusiaan.
“Tema ‘Puisi, Kedamaian dan Kemanusiaan’ bertujuan untuk menggariskan potensi sastera sebagai pemangkin bagi diplomasi budaya, serta pendidikan yang progresif.
“Pertemuan ini berfungsi sebagai platform untuk perbincangan rencam mengenai isu sosial yang mendesak dalam landskap global yang semakin rumit dan terdedah,” tegas Raja Ahmad.
Turut menghadiri majlis pengumuman dan sidang media ialah Pengerusi Encorp Berhad, Encik Yusmadi Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Encorp, Encik Hazurin Harun; Pengerusi Tourism Perak, Dato’ Mohd. Kamil Dato’ Shafie; dan wakil FEM, Encik Zainul Md. Diyar.