Diterbitkan pada 7 April 2025, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nik Mohd Hafiz Abdullah menyedari bahawa kepala majalah Dewan Sastera telah berubah, kembali pada reka bentuk akhir 1970-an dan 1980-an. Penukarannya merupakan suatu penjenamaan semula yang ditunggu-tunggu.

Walau bagaimanapun, tanpa reka bentuk kepala majalah yang menawan, segala hantaran tersebut pasti gagal sampai kepada pembaca. Seperti kata pepatah, dari mata turun ke hati.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh C. Yoon et al. pada tahun 2006 mendapati, wujud perbezaan persepsi antara jenama produk dengan hubungan manusiawi. Kajian yang menggunakan teknologi fMRI itu mengesan bahagian otak yang aktif ketika didedahkan dengan kedua-dua rangsangan tersebut.

Ketika didedahkan kepada hubungan manusiawi, bahagian otak yang aktif adalah yang melibatkan emosi. Manakala apabila mendapat rangsangan daripada jenama produk, tindak balas yang diperhatikan cenderung ke arah analisis dan penghujahan.

Pendedahan ini membuka dimensi baharu pemasaran produk. Oleh sebab para pengguna didapati tidak memilih berdasarkan kehendak hati, maka syarikat mula menampilkan persoalan, “Mengapa produk kami lebih baik berbanding produk-produk lain?“

Maka perlumbaan jenama, penjenamaan dan penjenamaan semula menjadi semakin sengit. Hal yang disangka sudah mencapai kemuncak, rupa-rupanya hanya sebuah permulaan. Tiada konsep “sudah terlambat” dalam perniagaan.

Jika berbincang tentang isu jenama dan penjenamaan dalam kerangka sastera, kita pasti menyentuh isu Dewan Sastera. Sejak edisi pertama pada tahun 1971 hingga kini, majalah Dewan Sastera terlalu sinonim sebagai produk Dewan Bahasa dan Pustaka. Apatah lagi, setelah bertiup khabar angin mengatakan bahawa majalah Dewan Sastera bercetak akan dihentikan penerbitan beberapa tahun yang lalu, isu penjenamaan semula Dewan Sastera menjadi semakin panas.

Banyak usaha sudah dilakukan untuk memastikan Dewan Sastera kekal relevan di mata masyarakat. Sebagai contoh, selama beberapa tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Dewan Sastera sebagai naskhah ikhlas. Selain itu, kolum-kolum yang menampilkan penulis tersohor juga dipergiat. Isu lebih mesra masyarakat pula diketengahkan, di samping pendekatan lebih intelektual dan berfalsafah. Terbaharu, Dewan Sastera telah memperkenalkan ruangan Isihan Budiman bagi mendekati golongan profesional. Langkah-langkah ini dilihat boleh memperkembangkan pembacaan Dewan Sastera kepada golongan bukan penulis, sekali gus meluaskan penjualan. Setelah lebih lima abad, Dewan Sastera tidak boleh lagi dilihat sekadar majalah, tapi sebuah jenama.

Seiring usaha penjenamaan semula Dewan Sastera, perlu diingat tentang kesetiaan jenama bergerak seiringan dengan kepuasan jenama. Dewan Sastera mempunyai kekuatan dari segi isi, hasil sumbangan pejuang-pejuang sastera yang tidak kering idea. Pasti tuan editor tidak menang tangan untuk memilih sekian banyak hantaran.

Walau bagaimanapun, tanpa reka bentuk kepala majalah yang menawan, segala hantaran tersebut pasti gagal sampai kepada pembaca. Seperti kata pepatah, dari mata turun ke hati. Walaupun isi Dewan Sastera cukup menarik, kepala majalah tetap menjadi pintu gerbang kepada hati pembaca. Reka bentuk kepala majalah sudah tentu memberikan nilai tambah pada usaha penjenamaan semula Dewan Sastera.

Pengubahsuaian kepala majalah Dewan Sastera sentiasa mengundang kontroversi. Langkah meletakkan singkatan DS sebagai akronim Dewan Sastera merupakan antara yang paling kontroversi. Namun jika dilihat dari sudut iktibar, maka kita tahu langkah tersebut tidak menjadikan jenama Dewan Sastera semakin mendunia malah makin merudum.

Penulis memuji usaha pihak editorial Dewan Sastera yang bertungkus-lumus membuat kajian tentang kepala majalah Dewan Sastera. Ubah suai terbaharu kepala majalah boleh menyuntik kesegaran pada penampilan Dewan Sastera, manakala pengembalian reka bentuk yang memberi penekanan pada kata ‘sastera’, pastinya mengimbau nostalgia.

Kembali kepada kajian C. Yoon, kajian itu juga mendapati, walau pelanggan lebih analitikal dalam hal memilih produk, faktor emosi tidak diketepikan secara total. Penggunaan duta jenama dilihat sebagai kesan langsung kepada pemerhatian ini. Pelanggan lebih tertarik secara emosi untuk membeli kali pertama jika duta jenamanya seorang yang popular. Setelah itu, pengguna pandai menilai sendiri jika jenama itu berbaloi diteruskan.

Penulis berhemat, para karyawan boleh mengambil peranan sebagai duta produk bagi Dewan Sastera. Langkah mengembalikan ejaan lengkap “Dewan Sastera” sebagai kepala majalah boleh menjadi pemacu penjenamaan semula majalah tersebut. Sama-sama kita menyahut langkah ini dengan menjadikan Dewan Sastera sebagai ratib dan mantera. Semoga usaha kecil kita ini menjadi gelombang perubahan agar jenama Dewan Sastera terus menjadi dendangan segenap lapisan masyarakat.

_________________________

Nik Mohd Hafiz Abdullah yang bertugas di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu, Kelantan, merupakan seorang penulis puisi dan cerpen. Puisinya, “Bagaimana Sekiranya Epal Bertanya” muncul Johan dalam Sayembara Penulisan Puisi Sains dan Teknologi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi