Oleh Karmila Azmi
26 Mei 2023, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jenama kosmetik Aesop melancarkan perpustakaan mini dengan menampilkan buku-buku tulisan pengarang wanita tempatan di tiga buah cawangannya, masing-masing di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bermula akhir bulan ini.

Laman web The Smartlocal.my menyebut, Aesop mewujudkan perpustakaan itu berasaskan kepercayaan bahawa wanita tidak dinilai hanya pada kecantikan semata-mata.

Sebaliknya, di sebalik susuk seorang wanita, ada cerita, suara, impian, dan idea yang mengatasi harapan masyarakat terhadap mereka.

Justeru, rak buku yang disediakan akan dipenuhi dengan koleksi oleh pengarang wanita tempatan daripada enam syarikat penerbitan yang mengambil bahagian, iaitu Lit Books, Clarity Publishing, Cite Book Garden, Gerak Budaya Kuala Lumpur, Penwings Publishing, dan Buku Fixi.

Anda boleh menikmati hasil karya mereka di Aesop The Gardens Mall dan Pavilion Kuala Lumpur atau di Plaza Gurney Plaza di Pulau Pinang bermula hari ini hingga awal bulan Jun.

Buku-buku ini boleh diambil secara percuma dan tidak perlu membuat sebarang pembelian untuk mendapatkannya. Terhad sebuah buku bagi setiap seorang.

Lebih 20 judul naskhah sastera antara lain pengarang wanita Malaysia, termasuk Viji Krishnamoorthy, Leong Ching Foon, Hanna Alkaf, dan Alina Rastan. Selain itu, terdapat empat buku dalam bahasa Melayu yang terpilih, iaitu naskhah kumpulan puisi Momen tulisan Qurratul ‘Ain, novel Di Situ Langit di Junjung tulisan Hanna Alkaf, Kota tulisan Kamalia, dan Reputasi tulisan Nurin Insyirah.

Terdahulu, jenama ini berjaya membina konsep perpustakaan yang sama di Singapura dan kini meneruskan matlamatnya memperkasa wanita di rantau Asia Tenggara dengan membawa perpustakaan itu ke Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.