Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah memperkenalkan sebuah pameran zaman dan sejarah yang mengasyikkan dan informatif tentang perjalanan kesusasteraan dan perbukuan kita serta jejak masa depannya.
Inilah peluang untuk anak-anak muda mengenali semula pantun, syair dan hikayat yang bukan sebagai teks sekolah semata-mata, tetapi sebagai khazanah yang mengangkat martabat bangsa.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menyaksikan satu pencapaian monumental dalam dunia perbukuan dan kesusasteraan negara melalui pengenalan TEROKA: Galeri Digital Imersif dan Eksploratif. Galeri istimewa ini bukan sekadar ruang pameran visual, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang mengangkat warisan buku, seni dan sejarah persuratan Malaysia ke satu dimensi baharu. Inisiatif ini diilhamkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan digerakkan dengan semangat kolaboratif yang luar biasa, menjadikan TEROKA sebagai kemuncak kreativiti, keilmuan dan inovasi budaya dalam landskap sastera serantau.
Usaha ini mencerminkan kekuatan kolaborasi yang luar biasa, apabila galeri berskala besar ini berjaya direalisasikan dalam tempoh hanya empat minggu hasil semangat dan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat. Ninot Aziz selaku kurator galeri dan juga Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara (PERSALINA), memainkan peranan penting dalam merangka naratif keseluruhan TEROKA, disokong oleh MBKM selaku penganjur utama bersama-sama agensi penting seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Kota Buku.

Tenaga kreatif yang diketuai oleh Jamalee Bashah dan Darwisy, bersama-sama ilustrator Walid Muhammad serta editor Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah yang terlibat dalam suntingan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris, turut menyumbang secara signifikan dalam menghidupkan pengalaman visual dan kandungan TEROKA dengan semangat kolektif dan kolaboratif yang mengagumkan.
Keistimewaan TEROKA terletak pada pendekatannya yang moden dan interaktif. Daripada visual tiga dimensi hingga teknologi realiti maya, setiap elemen dipilih untuk memberikan pengalaman yang mempesona dan sangat informatif.


Pengunjung bukan sekadar melihat artifak atau membaca label – mereka merasai sejarah. Manuskrip seperti Sulalat al-Salatin, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu bukan sekadar dirakam sebagai bahan arkib, tetapi diberi nafas baharu sebagai bukti kehebatan pemikiran dan estetika zaman silam yang kekal relevan hingga ke hari ini. Inilah peluang untuk anak-anak muda mengenali semula pantun, syair dan hikayat yang bukan sebagai teks sekolah semata-mata, tetapi sebagai khazanah yang mengangkat martabat bangsa.
Antara segmen paling menarik dalam TEROKA ialah pameran berkaitan Lunar Codex, satu projek global yang melibatkan penghantaran lebih 250,000 karya seni dan sastera dari seluruh dunia ke permukaan bulan. Malaysia tidak ketinggalan dalam pencapaian bersejarah ini apabila lebih 50,000 karya dari Asia Tenggara merupakan sumbangan yang termasuk dari Malaysia, dimuatkan dalam kapsul masa angkasa tersebut. Pencapaian ini merupakan manifestasi nyata bahawa pengkarya dari rantau Asia Tenggara kini bukan lagi sekadar penonton dalam naratif budaya global, tetapi pemain utama yang menyumbang suara dan estetika mereka ke pentas dunia.
Pengalaman yang ditawarkan oleh TEROKA turut memperlihatkan bagaimana tradisi kesusasteraan tidak pernah statik. Sastera berkembang seiring perubahan zaman, daripada batu bersurat, kepada manuskrip bertulis tangan, kepada cetakan litograf, dan kini ke dalam dunia digital serta realiti maya. Para pengarang terdahulu, seperti Tun Sri Lanang, Hamzah Fansuri, kemudian Munsyi Abdullah, Ahmad Rashid Talu, A. Kadir Adabi, Pendeta Za’ba, A. Samad Said, dan Usman Awang, membina asas tradisi penulisan yang kukuh, manakala generasi baharu sasterawan terus menyalakan obor semangat ini ke arah masa depan. Seiring itu, Malaysia terus mengukuhkan peranannya di pentas global melalui penyertaan aktif dalam pelbagai pameran dan pesta buku antarabangsa.

TEROKA juga membayangkan masa depan industri buku yang semakin inklusif dan inovatif. Paparan tentang penerbitan digital, buku realiti maya dan penggunaan kecerdasan buatan dalam penghasilan kandungan membuktikan bahawa dunia kesusasteraan bersedia untuk melangkah ke era baharu. Dalam dunia yang semakin kompleks, karya sastera Malaysia berpotensi besar untuk memainkan peranan bukan sahaja sebagai cerminan budaya, tetapi juga sebagai jambatan dialog antara bangsa dan pemangkin perubahan sosial.

PBAKL 2025 yang bertemakan “Buku: Membaca, Memimpin” turut mencipta sejarah sebagai penganjuran terbesar dalam sejarah pesta buku ini, melibatkan lebih 1,100 buah reruai termasuk 28 pempamer antarabangsa. Dengan Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, segmen khas tentang kerjasama perbukuan serantau menjadikan TEROKA sebagai simbol kebangkitan kesusasteraan Asia Tenggara. Nama-nama besar dalam dunia penulisan rantau ini dipaparkan melalui peta interaktif ASEAN yang turut menampilkan profil penulis dan pencipta seni dari Vietnam, Singapura, Thailand, dan Indonesia, menggambarkan semangat kolektif yang melangkaui sempadan negara.
TEROKA bukan sekadar sebuah galeri, tetapi manifestasi sebuah impian untuk melihat sejarah sastera bukan sebagai sesuatu yang telah berlalu, tetapi sebagai warisan hidup yang terus berkembang, menginspirasi dan memimpin. Hal ini membuktikan bahawa dengan visi yang jelas, kerjasama erat dan semangat budaya yang menyala, kita mampu membawa manuskrip dari lembaran tanah ke permukaan bulan. Kini, impian itu dizahirkan dalam bentuk pengalaman imersif yang boleh dinikmati secara langsung oleh orang ramai sempena PBAKL 2025, yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun, setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Bilik Labuan, Aras 5, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan kemasukan percuma. Dalam proses menyusuri galeri ini, kita membina jati diri yang lebih kukuh: sebagai bangsa pembaca, penulis dan pemimpin masa depan.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.