22 November 2022, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulisan warga Institut Pendidikan Guru dan guru sekolah berjaya diterbitkan dalam sebuah buku yang berjudul Freedom: A Collection of Poem, Personal Reflections and Quotes. Penerbitan buku tersebut dinyatakan dalam program “Bicarawara Buku Siri 3 / 2022”, anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. Program itu dikendali oleh Puan Nurulhana Hussain sebagai moderator.

Datin Thusha Rani sebagai salah seorang penulis dan penyelaras penghasilan buku itu menyatakan bahawa kejayaan penerbitan buku tersebut mempamerkan kemahiran menguasai dua bahasa dalam kalangan warga pendidik. Dalam konteks ini, kemahiran itu diangkat melalui penghasilan karya kreatif. Ujarnya,

Saya sangat bangga dengan pencapaian tersebut kerana hal ini menunjukkan kebolehan kita untuk menulis dalam bahasa lain selain bahasa Melayu. Menguasai bahasa lain merupakan suatu kelebihan dan saya amat terharu dengan penglibatan rakan-rakan yang menyumbang.

Beliau juga menyatakan bahawa sebahagian daripada penulis antologi itu merupakan mereka yang berada dalam bidang bahasa Melayu.

Buku Freedom: A Collection of Poem, Personal Reflections and Quotes sebenarnya merupakan penambahbaikan daripada buku yang asal, Of Hope and Faith: An Anthology of Poetry. Buku pertama itu hanya mempunyai koleksi puisi sahaja daripada kalangan pelajar, pensyarah, masyarakat luar dan guru, manakala buku versi penambahbaikan itu pula menambah tulisan refleksi diri oleh penulis.

Menurut Dr. Thusha Rani lagi, buku kedua ini muncul untuk memberi ruang buat penulis warga IPG dan guru untuk menulis kata-kata hikmah mereka dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu koleksi tulisan puisi, tiga buah tulisan refleksi dan 10 kata-kata hikmah.

Selanjutnya, penerbitan buku ini amat relevan dalam menyokong program HIP (High Immersion Program), sebuah program yang diperkenalkan di bawah dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu, Mengukuhkan Bahasa Inggeris”.

Mereka yang terlibat dalam buku ini meliputi dari Kampus Bahasa Antarabangsa, Kampus Batu Lintang Sarawak, dan daripada cikgu-cikgu di sekolah lainnya.

Pemartabatan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula dipergiat dengan kerja penterjemahan yang dilaksanakan secara kolaborasi antara penulis dengan Dr. Thusha Rani sendiri.

Sesetengah penulis menghantar karya dalam bahasa Melayu, lalu saya bersama-sama penulis akan menterjemahkan karya itu dan saya sendiri membantu daripada segi tatabahasa dan pemilihan diksi yang sesuai.

Beliau sendiri terkesan dengan gaya penulisan penulis tempatan seperti Raymond Rashid, Adibah Amin dan Amir Muhammad. Beberapa karya beliau dalam Freedom: A Collection of Poem, Personal Reflections and Quotes memaparkan insiden yang berlaku di sekeliling beliau, dan ada juga yang bertujuan untuk mencerminkan semula pandangan peribadi. Manakala perihal gaya penulisan mereka yang menyumbang karya, beliau menyatakan bahawa mereka cenderung untuk menulis dengan bentuk dan gaya yang bebas.

Menerusi program ini, beliau mengangkat Anis Faizal yang merupakan salah seorang penulis yang terlibat dalam buku antologi tersebut. Beliau menyifatkan Anis sebagai penulis yang cemerlang dalam dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), mempunyai kelebihan dalam menulis puisi, menggunakan kata-kata yang bagus dan pengucapannya yang menarik secara semula jadi.

Kenyataan berikut dirakam daripada program Bicarawara Buku Siri 3 / 2022, anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. Program itu dikendali oleh Puan Nurulhana binti Hussain sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.