26 Mei 2023, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Fadzil Yusof menggambarkan riuh-rendah bercampur nikmat apabila melangkah ke dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023.

Setiap kali PBAKL berlangsung, pelajaran yang kita temui ialah suara-suara kemeriahan yang simplisitik dan adakala tersimpan rasa geram atau kesal sana sini disebabkan oleh pelbagai hal. Barangkali hal ini juga sebahagian daripada lumrahnya sebuah kehidupan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kembali menyinggah. Saya antara yang hampir tidak pernah ketinggalan berada dalam upacara ini saban tahun, sekitar hampir dua dekad. Apa yang menarik dalam sebuah pesta buku yang diadakan di tengah-tengah bandar raya sebenarnya?

Hampir setiap pembaca sudah lazim dan maklum, PBAKL adalah tentang buku dan ragam pengunjungnya, kemungkinan secara timbal balik. Terkadang, tersaring di sana sini senario “budaya dan sikap” pengunjungnya yang berbagai-bagai tujuan itu. Justeru, hampir tiap tahun tidak mudah untuk menelusuri PBAKL sebenarnya, kerana bilangan manusia yang tidak mudah untuk dijangka.

Bilangan yang ramai dan terkadang padat sana sini, membuatkan beberapa kali fikiran saya terkepung di udara kelelahan. Sekurang-kurangnya, ada maksud sebuah “pesta” yang dikatakan dalam keadaan masyarakat kita masih tegar dengan pesta-pesta lain di luar sana.

Dalam hampir dua dekad itu, banyak perkara yang saya pelajari daripada PBAKL, selaku pencari buku dan pembaca, dan saya bukanlah seorang yang benar-benar terlibat dalam PBAKL. Saya dapati, ada pelbagai reaksi dan ragam manusia terhadap buku yang hadir. Jangan fikirkan soal-soal luarannya, tetapi perkara dalaman semasa berlangsungnya. Sukar benar untuk kita sebenarnya mengenali makna budaya membaca itu sendiri.

Semakin tahun mendatangi, persoalan budaya membaca semakin menjadi enigma. Saya tidak mengatakan budaya yang kita miliki, amat rendah peratusannya atau tidak dapat dibuat ukuran yang sesuai dengan garis yang diperlukan. Setiap kali PBAKL berlangsung, pelajaran yang kita temui ialah suara-suara kemeriahan yang simplisitik dan adakala tersimpan rasa geram atau kesal sana sini disebabkan oleh pelbagai hal. Barangkali hal ini juga sebahagian daripada lumrahnya sebuah kehidupan.

Hakikatnya, kita sedia maklumi tiada kaitan yang jelas antara PBAKL dengan budaya membaca itu secara eksklusif. Budaya ialah kebiasaan dan norma yang sudah diterima sedari lama dan harus berdarah daging dalam kehidupan rutin individu. Sekiranya PBAKL menjadi tonggak atau ukuran budaya membaca semata-mata, banyak perkara yang perlu diperhatikan.

Namun begitu, ada juga benarnya. Melalui PBAKL, kita menemui tanda atau angka yang mungkin dapat diambil kira. Kejujuran angka itu juga sukar untuk dipertikai signifikannya. Bilangan pengunjung, judul-judul yang terlaris dan bilangan anggaran buku yang laris. Namun hal ini masih dalam perbincangan, khususnya bagaimana PBAKL menjadi gambaran budaya membaca yang wujud dalam masyarakat.

Pencarian di PBAKL sangat menggelisahkan dan bukan suatu usaha yang mudah. Ramainya pengunjung menjadi salah satu faktor pengganggu, selain kemeriahannya yang melingkari di setiap ruangnya. Mungkin kita perlu suatu struktur yang lebih baik untuk PBAKL yang akan datang, sekadar terlintas saja.

Boleh dikatakan, PBAKL yang kita miliki ini cenderung pada gaya masyarakat yang sangat menyenangi sifat kemeriahan, semacam kenduri-kendara atau aktiviti rewang. Hal ini memang sangat dekat dan sebati dengan masyarakat kita, yang pastinya menyelitkan sana sini elemen hiburan dan daya penarik yang lain. Warna-warni sebegini sangat mencorakkan pemikiran kita jua, selain perasaan atau peribadi secara tidak langsung.

Justeru, barangkali PBAKL membentuk acuan corak peribadi masyarakat kita yang sebenarnya. Sebab itu, kita memerlukan lebih ramai bilangan peminat buku dan pencinta buku yang tidak saja membaca dalam satu musim tertentu atau apabila PBAKL menjelma.

Masyarakat yang berbudaya membaca hidup dalam kesedaran yang cukup matang. Mereka mempunyai gaya hidup atau semangat yang amat akrab dan serius. Mereka tidak sekadar berkumpul dan berbual-bual tentang buku di suatu kafe. Hal yang lebih penting ialah mereka mempunyai keinginan untuk mengetahui pemikiran yang terselindung dalam buku dan mengangkatnya kepada tahap penghayatan yang tinggi. Nilai seperti ini tampaknya belum begitu diterima atau dihayati oleh orang biasa, kerana proses mengenal budaya membaca ini juga masih janggal untuk orang kebanyakan.

Amat sedikit sebenarnya dalam kalangan orang kita yang minat membaca atau menjadikan kerja membaca sebagai suatu keutamaan dalam kehidupan seharian. Ada yang hanya membaca buku untuk tujuan yang terbatas dan terikat pada musim tertentu. Cabaran ini semakin rumit, apabila teknologi gajet yang makin menonjol daripada buku.

Sekali lagi, kita akan singgah dan berhenti di mana-mana ruang PBAKL, demi kemeriahan yang datang secara bermusim. Betapa perlunya kita menurut aliran keriangan ini, yang mungkin sangat membantu untuk kita menghargai waktu yang ada. Kalau tidak sekadar membelek dan mencari bahan bacaan atau sekadar bertemu dengan teman, semua itu sudah pasti semacam niat yang sangat sederhana atau biasa-biasa saja. Tapi harus diingat, buku bukan sekadar objek kaku, hakikatnya, buku memberikan rangsangan penghayatan yang berterusan, walaupun hanya menyimpan sejumlah huruf dan perkataan-perkataan dalam halaman buku.

Meskipun buku semakin bergaya luar dan dalamnya, cukup stail, malah diterbitkan dalam pelbagai wajah dan bentuk, namun sebuah buku harus kembali ditimbang berdasarkan isi dan makna yang terpadat di dalamnya. Buku bukanlah sebuah buku apabila dibeli dalam keadaan tergesa-gesa. Sesebuah buku membawa cita rasa yang berbeza-beza.

Apa-apa pun, semua harus pastikan yang tiada sebarang insiden negatif yang akan berlaku pada PBAKL kali ini. PBAKL sangat penting untuk menjadi pendorong para pembaca yang muda atau sudah berusia untuk terus berada dalam wilayah buku yang sangat luas. Bak kata pepatah, sebuah perpustakaan merupakan dunia infiniti. Dan, buku tidak pernah mengecewakan pembacanya!

Salam membaca dan meladeni buku. Salam berpesta buku!

_________________________

Mohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.