Oleh Ghazali Lateh
1 Ogos 2023, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Ghazali Lateh meneliti fenomena swaterbit karya sastera yang makin rancak berlangsung di setiap negeri.

Fenomena swaterbit kini semakin menular. Kita lihat iklan-iklan disiarkan di media sosial mempelawa golongan penulis untuk turut serta dalam projek-projek swaterbit, sama ada dalam genre prosa atau puisi.

Perkembangan dalam dunia penulisan dan penerbitan khususnya dalam bidang kesusasteraan sangat menggalakkan. Setiap hari di media sosial dapat kita lihat usaha-usaha untuk menerbitkan sendiri karya penulisan sastera, sama ada dalam genre prosa ataupun puisi. Pelbagai persatuan mahupun individu telah tampil dengan swadaya untuk menerbitkan sendiri karya tanpa bergantung pada penerbit-penerbit mapan dan penerbit-penerbit kecil yang ada. Hal ini demikian barangkali disebabkan oleh bilangan penerbit yang semakin berkurangan, sedangkan bilangan penulis tumbuh secara mendadak, terutama ketika tercetusnya pandemik tempoh hari.

Fenomena swaterbit kini semakin menular. Kita lihat iklan-iklan disiarkan di media sosial mempelawa golongan penulis untuk turut serta dalam projek-projek swaterbit, sama ada dalam genre prosa atau puisi. Penulis hanya perlu membayar sejumlah wang sebagai bayaran komitmen untuk menjadi seorang penulis yang tersenarai nama dan karya mereka. Perkara ini sudah tentu diterima dengan baik kerana cara ini merupakan jalan mudah untuk menerbitkan karya.

Sesiapa sahaja boleh menulis dan menerbitkan karya, tanpa melalui proses penerbitan yang panjang. Sebenarnya, tiada sebarang kesalahan dengan fenomena ini selagi karya yang diterbitkan terjamin kualiti dan absah ketulenannya. Perkara yang dibimbangi ialah, ada penulis yang tidak jujur. Oleh sebab keghairahan untuk bergelar penulis, ada kemungkinan penulis memplagiat karya orang lain untuk diterbitkan atas namanya.

Tidak kira sama ada karya prosa mahupun puisi, aktiviti memplagiat sukar dikesan kerana ada antaranya diciplak daripada karya mancanegara yang menggunakan bahasa Melayu mahupun bahasa lain. Barangkali ada karya dalam bahasa lain dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai karya sendiri tanpa menyatakan kredit kepada penulis asal.

Dalam kecanggihan teknologi masa kini, kerja-kerja penterjemahan juga menjadi terlalu mudah walaupun hasilnya ada kalanya kurang menyenangkan. Akhir-akhir ini, isu plagiarisme kembali menghiasi dunia sastera tanah air. Walaupun isu ini mendapat respons suam-suam kuku, namun hal ciplak-menciplak ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Umum mengetahui bahawa isu plagiarisme di negara kita tidak pernah selesai, dan akan berulang-ulang kembali apabila semua pihak melupainya.

Satu lagi implikasi komitmen swaterbit ialah, ada pihak yang mengambil kesempatan sebagai penganjur. Dalam hubungan ini, penganjur menjadikan keghairahan ini sebagai satu sumber pendapatan bagi mereka dengan mengenakan bayaran kepada penulis-penulis pemula yang sedang ghairah untuk menerbitkan karya. Bagi kelompok penulis pemula ini, mereka sanggup mengeluarkan biaya dengan syarat karya dan nama mereka tercatat dalam buku yang diterbitkan. Apabila hasrat ini menjadi keutamaan, maka penganjur akan mengambil kesempatan untuk mengenakan bayaran yang tinggi dan mengaut keuntungan atas angin daripada kelompok penulis pemula. Tidak hairanlah ada beberapa individu yang menjadi penyelaras berpuluh-puluh antologi secara serentak, yang pada hakikatnya bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Namun, demi keuntungan, mereka sanggup bertindak sebagai penganjur dan penyelaras penerbitan.

Keghairahan swaterbit tanpa batas ini juga akan menjejaskan mutu karya sastera tanah air. Oleh sebab terlalu ramai yang ingin karya mereka diterbitkan dan sanggup membayar untuknya, maka kualiti karya swaterbit ini tidak dapat dijamin. Hal ini demikian kerana tidak ada unsur penilaian karya yang jelas seperti yang dipraktikkan oleh penerbit-penerbit mapan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah ada antara karya swaterbit langsung tidak mencapai tahap mutu yang sewajarnya.

Contoh yang paling mudah, dalam sebuah antologi pantun, konsep asas pantun itu sendiri tidak dapat diaplikasikan, maka terbitlah pantun cacamarba yang sekali gus menjejaskan puisi tradisional kita dalam jangka panjang. Harus diingat bahawa biarpun pantun nampaknya mudah dikarang, namun hakikatnya tidaklah semudah yang disangkakan.

Keghairahan untuk menjadi penulis sastera semakin hari semakin memuncak. Sesiapa sahaja boleh menjadi penulis, asalkan mempunyai idea, tatacara, prinsip, dan kepatuhan terhadap norma penulisan. Kita tidak mahu keghairahan ini mencetuskan unsur-unsur yang tidak sihat seperti wujudnya penulisan-penulisan bernuansa negatif, seperti pornografi, subversif, liberalisme yang keterlaluan, dan juga politik yang boleh mendatangkan mudarat. Malahan, fenomena swaterbit juga perlu ada falsafah dan pemikiran yang membina, di samping atas kepentingan mencipta nama dan keuntungan material.

Sudah tiba masanya, satu mekanisme swaterbit perlu diperkenalkan. Paling tidak, kita perlu ada sebuah badan yang menilai dan menapis karya-karya yang mahu diterbitkan secara swaterbit.

Barangkali, pihak Perpustakaan Negara yang bertanggungjawab memberikan izin terbit seperti kod ISBN dapat memainkan peranan yang lebih luas untuk menangani perkara ini. Sebelum sesebuah karya mendapat ISBN, karya tersebut perlu dinilai oleh sebuah panel yang dilantik untuk menentukan kelayakan karya tersebut diterbitkan. Antara perkara yang perlu diambil kira termasuklah manuskrip yang diterbitkan, kualiti penerbitan termasuk jenis kertas dan ilustrasi (sekiranya ada), serta bentuk fizikal buku yang bakal diterbitkan. Satu penanda aras yang relatif minimum hendaklah diterapkan agar karya-karya yang diterbitkan tidak menjadi karya sampah atau karya “syok sendiri” yang mencemarkan dunia penerbitan, khususnya karya sastera negara kita.

Kesimpulannya, penulisan dan sastera mempunyai prosedur pengkaryaan dan penerbitannya yang khusus. Sastera bukanlah entiti tangkap muat yang boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja. Pihak yang bertanggungjawab terhadap sastera perlu mengorak langkah untuk merangka garis panduan penerbitan yang boleh dirujuk oleh mana-mana pihak yang ingin menjadi penerbit.

Kebebasan tanpa had dalam fenomena swaterbit dibimbangi akan menjejaskan sastera secara makro dan mikro. Dalam aspek makro, lambakan penerbitan yang tidak terjual di pasaran memberikan indikasi kemalapan dunia sastera itu sendiri. Dalam aspek mikro pula, fenomena swaterbit menghidangkan karya-karya eceran yang tidak bermutu untuk tatapan khalayak dalam jangka masa panjang. Dalam ungkapan sinis, swaterbit jangan sampai menjadi “sua terbit”, apa-apa yang disuakan semua diterbitkan.

Kredit Foto: Lennert Naessens

_________________________

Ghazali Lateh (Dr.) dilahirkan di Kampung Bukit Nibong, Bukit Jenun, Kedah. Beliau mula menulis sejak tahun 1993 dan pernah memenangi pertandingan penulisan cerpen, puisi dan novel. Novel beliau, Dari Lembah ke Puncak dijadikan teks Kesusasteraan Melayu Elektif 2010–2015, selain beberapa cerpennya terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau kini tinggal di Banting, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.