Oleh Fadli al-Akiti
14 Mac 2024, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Namanya Izzat Amir, penggerak rumah penerbitan indie, Rabak-Lit. Anak muda ini merupakan pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia. Izzat juga tidaklah asing dengan bidang penerbitan buku apabila beliau bekerja di bawah penerbitan PTS hampir 10 tahun, malah pernah menjawat Ketua Pemasaran PTS dan juga Puteh Press.

Izzat juga cukup aktif melibatkan diri dalam pelbagai acara seni dan sastera alternatif, seperti Layar Tancap, BOCO dan MASKARA. Ikuti wawancara Dewan Sastera (DS) bersama-sama dengan Izzat, meneliti pengalaman beliau mewujudkan RabakLit.FM, antara program siaran radio dan audio siar tentang dunia buku dan sastera alternatif. Beliau bersama-sama dengan Atoi berbincang pelbagai isu dan persoalan di siaran radio Rakita (107.9).

RabakLit.FM memang fokus pada kesusasteraan, cenderung kepada kesusasteraan alternatif, tetapi pada masa yang sama, tidaklah mengetepikan kesusasteraan yang lain. Ada juga penulis dan buku daripada arus perdana yang kami bincangkan.

DS: Bagaimanakah RabakLit.FM dimulakan? 

Izzat: RabakLit.FM dimulakan pada bulan Ogos tahun lepas, dicetuskan oleh Naib Presiden Operasi dan Pembangunan Rakita, iaitu Sdr. Loy Ekzan. Loy menjemput saya hadir ke pejabat Rakita yang berada di Puchong, yang kemudian mencadangkan kami mewujudkan program RabakLit.FM. Loy Ekzan memilih Rabak-Lit kerana kami menerbitkan buku ikon muzik dan filem berunsurkan counter culture, bersesuaian dengan konsep radio Rakita.

DS: Untuk apa sebenarnya RabakLit.FM diadakan?

Izzat: RabakLit.FM menyasarkan peminat muzik, filem, fesyen, art and design (seni lukisan dan reka bentuk) dan sesiapa sahaja yang meminati budaya pop. Bagi saya, buku bukan sahaja untuk mencari ilmu dan inspirasi, tapi boleh mendokumentasikan kerja seni mereka. Rakita dan Rabak-Lit ingin membuktikan yang muzik yang baik ialah muzik yang membawakan unsur perjuangan, pelajaran dan pegangan prinsip.

Untuk menulis lirik yang hebat, pastinya datang daripada mereka yang banyak membaca, disulami dengan menonton filem yang baik dan hadir ke acara-acara, juga pameran seni. Alhamdulillah negara kita ada, cuma tidak diketengahkan nama atau band mereka secara perdana.

DS: Sudah berapa lama diadakan?

Izzat: Kalau dikira tahun lepas sahaja, sudah memasuki 12 episod program ini. Permulaan awal yang baik walau ada naik turun jumlah pendengarnya. Apabila masuk Episod Keenam, momentum RabakLit.FM sudah menjadi lebih baik, statistik program semakin berkembang. Kami peroleh pendengar baharu setiap kali episod baru ke udara. Satu jam siaran khas hanya membincangkan buku alternatif, membuktikan bahawa memang benar, orang muda masih sukakan buku sekali gus radio masih relevan menjadi medium penjenamaan penulis atau buku yang efektif.

DS: Dalam bidang buku, Rabak-Lit juga ada memberikan ruang dalam kesusasteraan?

Izzat: RabakLit.FM memang fokus pada kesusasteraan, cenderung kepada kesusasteraan alternatif, tetapi pada masa yang sama, tidaklah mengetepikan kesusasteraan yang lain. Ada juga penulis dan buku daripada arus perdana yang kami bincangkan.

Pada awal tahun lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan program Rakan Muda. Salah satu program yang KBS ingin fokuskan dalam Rakan Muda ialah penulisan kreatif. Untuk memastikan minat anak muda berterusan untuk tertarik dengan buku, elemen budaya pop harus ditekankan. Kami faham dan benar, sudah ramai anak muda sudah mendekatkan buku. Sudah ramai membaca buku yang berat dan berfalsafah, tetapi pendekatan yang kami buat ini mahu menarik lagi minat anak muda yang belum didedahkan dengan sastera. Seperti kata-kata dalam Punk Marketing yang saya jadikan sebagai rujukan perniagaan saya, “Branding is an ongoing process and not a ‘do it once, it’ll be fine’ exercise.”

Setakat ini, kami telah menjemput Mosyuki Borhan, Wani Ardy, Hafizul Faiz, Mohd Jayzuan, Ein (Dr. Khai Aziz), Fazleena Hishamuddin, Brolee Comel, Akmal Arsat, Lan Sinaganaga, dan YB Adam Adli. YB Adam ditemu ramah atas posisinya sebagai seorang penulis buku indie. Setakat ini juga, belum ada Sasterawan Negara atau penulis sastera yang mapan yang ditemu ramah, kerana kami hanya memfokuskan penulisan alternatif. RabakLit.FM boleh diikuti di Onmy.fm.

DS: Bolehkah dikatakan sastera indie sudah berubah, atau masih dalam lingkungan bentuknya yang sama?  

Izzat: Sastera indie memang sudah berubah daripada segala segi. Permulaan awal, penulisan indie mahukan perbezaan daripada penulisan buku arus perdana. Penulis menulis perkara tabu. Cara penulisannya santai, kasar, malah mengkritik keras. Mungkin penulisan tabu ketika itu tidaklah menjadi perkara haram, cuma agak segan untuk dibincangkan oleh masyarakat. Oleh sebab buku indie menjadi sinonim dengan gaya penulisan seperti ini, selang beberapa tahun mula lahirlah penulis baharu (yang terikut trend ketika itu) yang mengambil peluang gaya penulisan bebas ini dengan penulisan mereka yang cenderung ke arah lucah, mencarut dan maki hamun tanpa batasan. Akhirnya, buku indie dilabelkan oleh media dan rakan penerbit daripada arus perdana sebagai “buku lucah”, “buku celopar”.

Walaupun penulis buku indie pada awalnya sudah menulis dengan gaya penulisan falsafah atau bermain dengan perkataan puitis dan metafora, kini penulisan gaya ini sudah kembali semula. Ada yang ditulis dengan gaya santai tetapi tidaklah sehingga merosakkan bahasa. Masih ada buku yang ditulis dengan gaya bahasa rojak, ini pilihan penulis atau rumah penerbitan yang mahu penulisan mereka sampai kepada pembaca sasaran mereka sendiri. Adakah ini gaya urban, perubahan generasi atau kool (pop)? Hal ini tidak dapat dihapuskan. Pasti ada penulisan seperti ini dalam setiap generasi.

Mungkin dengan cara penulisan ini, akan menjadi langkah pertama bagi pembaca remaja untuk membaca dan akhirnya menjadi kebiasaan untuk membaca, yang akhirnya mencari pula bahan-bahan bacaan yang lebih berat dan bermanfaat. Ada nama-nama dalam sastera indie, yang akhirnya bergerak ke platform sastera perdana, adakah hal ini dialu-alukan? Inilah seharusnya!

Selepas menelusuri cabaran pasaran secara indie, apabila sebuah rumah penerbitan itu sudah naik maqam, seharusnya berkembang menjadi sastera perdana. Ini pendapat saya, maksud indie ini bukanlah genre sesebuah buku tetapi platform dan kedudukan pasaran sesebuah rumah penerbitan tersebut. Jika sebuah penerbit indie ini sudah menjadi besar, semakin mendapat tempat dalam pasaran, adalah merugikan jika mereka tidak bergerak ke pasaran yang lebih luas. Bergerak ke platform sastera perdana tidaklah bermaksud mereka akan menukar genre dan ideologi buku mereka menjadi seperti penerbit-penerbit arus perdana yang sedia ada.

Kredit Foto: Izzat Amir

_________________________

Rabak-Lit boleh dihubungi di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.