Oleh Nordin Saad
15 Februari 2022, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nordin Saad memberikan reaksinya terhadap isu penulis memasarkan karyanya sendiri setelah membaca tulisan Mansor Puteh dalam Dewan Sastera Bil.02/2022.

Kepakaran seseorang tidak dinafikan ada hadnya. Seorang pengurus pastinya tidak mampu menjadi pencuci lantai terbaik syarikat miliknya, sebagaimana dilakukan oleh pekerjanya di bahagian tersebut.

Apabila membaca tulisan Mansor Puteh dalam halaman Orasi Dewan Sastera Bil.02/2022 bertajuk “Meminta Penulis Bekerja untuk Mempromosikan Karya Mereka Sendiri ialah Perbuatan yang Absurd”, bagaikan memberi suatu harapan baharu yang harus difikirkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dalam dunia pengkaryaan tanah air.

Malah, tulisan Mansor bagaikan suatu saingan sihat terhadap momokan yang mahukan penulis atau pengkarya berusaha untuk menjual hasil karya sendiri. Dalam hal ini, seharusnya difikirkan betapa seorang petani yang berusaha membersih, membajak atau menggemburkan tanah, menyemai benih, menanam pokok, dan merawat tanamannya, sehinggalah berjaya dikutip hasil, belum lagi selesai tugasnya. Sebaliknya, petani tersebut perlu pula ke tapak pasar tani atau berkeliaran di taman perumahan untuk menjual hasil tanamannya.

Kepakaran seseorang tidak dinafikan ada hadnya. Seorang pengurus pastinya tidak mampu menjadi pencuci lantai terbaik syarikat miliknya, sebagaimana dilakukan oleh pekerjanya di bahagian tersebut.

Dalam hal pengkarya yang perlu menjual sendiri karyanya, walaupun kita tahu, kekuatan daya saing dan motivasi ke arah berdikari (untuk mempromosi sendiri) bagi seseorang pengkarya itu tidak dinafikan sepenuhnya, namun masih ada ruang kosong yang masih boleh diisi, seperti yang disarankan oleh Mansor Puteh dalam tulisannya itu. Lebih-lebih lagi, Mansor berhujah berlandaskan bukti-bukti kukuh daripada pemerhatian dan penelitiannya sendiri.

Kebiasaannya, pengkarya yang berjaya dan hebat mempunyai kekuatan luar biasa dari segi mental dan fizikal. Kelebihan atau keistimewaan yang dimiliki oleh pengkarya atas kurniaan Allah SWT ini tidak harus dibazirkan dengan melakukan kerja-kerja sampingan yang bukan pun dalam bidang kepakarannya.

Hujah-hujah bahawa betapa dunia sudah berubah dan pengkarya seharusnya tidak boleh lagi bergantung pada rumah penerbitan untuk menerbitkan dan memasarkan karya sememangnya indah, malah sukar dipertikaikan kebenaran dan kekuatannya. Namun begitu, sebalik keindahan dan kekuatan itu, terdapat pelbagai halangan yang perlu diharungi oleh seseorang pengkarya yang pastinya akan membazirkan tenaga dan masanya untuk melaksanakan kerja utamanya, iaitu menulis.

Pastinya, pembaziran masa yang berlaku itu mungkin akan menjadi lebih banyak atau berganda daripada jangkaan awal kerana pengkarya sudah tentu memerlukan lebih banyak masa tambahan pula untuk berehat bagi mengumpul kembali tenaga yang digunakan, kesan daripada kerja-kerja di luar bidang penulisan yang telah dilakukannya itu.

Tugas berkarya sememangnya diketahui memerlukan segala macam ramuan, seperti membaca, meneliti karya, mencari maklumat, dan sebagainya. Bukan hanya sekadar duduk di hadapan komputer dan menekan papan kekuncinya. Idea-idea bernas bukannya datang dengan sendiri apabila merenung skrin komputer. Zaman menulis dengan cara “berkhayal” untuk mendapatkan idea sudah lama ditinggalkan oleh kita. Malah, Abdullah Munsyi yang berkarya beratus tahun dahulu juga menulis berdasarkan pengalaman-pengalaman sebenar daripada aktiviti pengembaraannya.

Sebenarnya, kita amat berbangga dengan kegigihan pengkarya yang berjaya menulis, menerbitkan dan memasarkan karyanya sendiri. Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tanpa halangan dan pelbagai cabaran yang ditempuhi.

Tidak ramai pengkarya yang mampu melakukannya. Pengkarya-pengkarya besar dan hebat pun belum tentu mampu melakukan kerja berganda itu. Pastinya, kepuasan sebagai pengkarya amat dirasai, sebaik menatap karyanya yang berjaya diterbitkan sendiri. Malah, kepuasannya akan lebih berganda lagi apabila karyanya itu berjaya dipasarkan dan laku keras pula.

Lebih menyeronokkan lagi apabila pengkarya swaterbit ini tidak akan mengalami ‘pengalaman ngeri’ akibat penolakan karya setelah lama menanti proses penilaiannya.

Walau bagaimanapun dalam hal ini, kualiti karya swaterbit juga tidak harus diabaikan. Berbeza daripada karya-karya yang diterbitkan oleh rumah penerbitan dengan pelbagai peringkat tapisan sebelum berjaya menemui khalayak pembaca, karya swaterbit tidak perlu melalui tapisan-tapisan tertentu. Sebaliknya, karya-karya ini akan diterbitkan sekiranya pihak pengkarya mampu memenuhi kehendak pencetak, terutamanya dari segi kos percetakannya. Pengkarya tidak menghadapi banyak rintangan atau tapisan, jauh sekali menghadapi birokrasi atau kerenah rumah penerbitan, seperti proses penambahbaikan karya yang meletihkan serta tempoh proses penerbitan yang panjang.

Lebih menyeronokkan lagi apabila pengkarya swaterbit ini tidak akan mengalami “pengalaman ngeri” akibat penolakan karya setelah lama menanti proses penilaiannya, sebagaimana yang dialami oleh sebahagian besar pengkarya yang menerbitkan karyanya menerusi rumah penerbitan. Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada karya-karya swaterbit ini mampu dipasarkan oleh penulisnya sendiri.

Perlu diingatkan juga, masyarakat kita khususnya kalangan pembaca masih lagi terikat dengan jenama sesebuah rumah penerbitan dalam memastikan mutu atau kualiti bahan bacaan atau karya yang akan dipilih untuk dimiliki, selain nama pengkaryanya. Karya-karya swaterbit masih lagi dianggap sebagai karya yang belum terjamin mutu karya dan penerbitannya.

Tidak dinafikan faktor ini menyebabkan karya-karya swaterbit ini agak sukar untuk pergi lebih jauh. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa karya-karya ini hanya berlegar dalam kalangan rakan-rakan penulisnya sahaja, walaupun usaha penerbitan begini merupakan suatu usaha yang baik untuk menambah koleksi bahan bacaan dan seterusnya memberi peluang pembaca untuk membuat pemilihan bahan bacaannya sendiri.

Pengkarya yang menerbitkan karyanya secara swaterbit juga mungkin menghadapi kesulitan untuk mengetengahkan karyanya dalam anugerah-anugerah tertentu atau pemilihan teks sastera KOMSAS atau Kesusasteraan Melayu.

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, jelaslah betapa sebahagian besar pengkarya akan menghadapi pelbagai halangan untuk memasarkan karya sendiri, terutamanya pengkarya swaterbit.

Dalam hal ini, pastinya para pengkarya terdahulu mungkin tidak pernah mengalami situasi sebegini. Malah, ramai pengkarya terdahulu pernah pula menikmati bayaran royalti sepenuhnya mengikut jumlah buku yang dicetak dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) misalnya, tanpa perlu menunggu hasil jualan buku-buku tersebut. Jauh sekali untuk memasarkan sendiri kecuali dengan kehendak atau kerelaan mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, sistem bayaran penuh royalti selepas karya diterbitkan yang diamalkan sebelum ini dan berjaya membantu golongan pengkarya, sudah tidak diamalkan lagi. Sebenarnya, inilah salah satu sistem yang boleh dianggap terbaik untuk membantu golongan penulis dan DBP seharusnya mengkaji semula sistem ini

Malah, sistem bayaran royalti penuh setelah karya diterbitkan ini perlu dilebarkan lagi kepada para pengkarya swaterbit dengan cara DBP atau pihak berkuasa lain membeli karya-karya tersebut (untuk dicetak semula) yang berjaya melepasi penilaian tertentu, terutama dari segi kualiti karya, bahasa dan mutu penerbitan. Hal ini penting difikirkan kerana pengkarya swaterbit ini juga merupakan penyumbang karya untuk khazanah bangsa dan negara.

Penerbitan karya secara dalam talian, sama ada karya yang diterbitkan oleh rumah penerbitan atau swaterbit juga harus diberi peluang untuk berkembang dengan memberikan ganjaran kepada pengkarya.

Usaha-usaha penterjemahan karya juga harus dilakukan secara menyeluruh, sama ada penterjemahan karya terpilih daripada rumah penerbitan atau swaterbit, terutamanya karya-karya bermutu dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Sistem ini seharusnya difikirkan dengan teliti dalam usaha untuk membantu pengkarya yang menerbitkan karya melalui rumah penerbitan atau swaterbit untuk terus menghasilkan karya, tanpa membebankan otak untuk memikirkan soal pemasarannya.

Pastinya, golongan pengkarya yang boleh dianggap sebagai pemikir bangsa ini harus dihargai sumbangannya dalam perkembangan intelektual, warisan dan budaya bangsa.

_________________________

Nordin Saad yang menetap di Beseri, Perlis menulis pelbagai genre, seperti rencana, sajak, cerpen, novel kanak-kanak, drama radio, dan cerita rakyat. Karyanya tersiar dalam pelbagai penerbitan tanah air. Bekas guru subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu yang kini merupakan penulis sepenuh masa ini pernah memenangi Hadiah Ketiga Pertandingan Menulis Cerpen Perpaduan 1994, Hadiah Sagu Hati Peraduan Formula Malaysia Peringkat Umum kategori cerpen 2000, Johan Pertandingan Menulis Cerita Kanak-kanak Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2005, dan Johan Pertandingan Menulis Pantun Negeri Perlis 2007. Beliau turut memenangi Hadiah Kedua Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja (kategori novel kanak-kanak) 2013 anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dan memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2013 dan Hadiah Penghargaan HSKU 2015 kategori cerpen remaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!