Oleh Adib MN
2 Januari 2025, 06:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Khabar baik buat penerbit Malaysia yang mencari-cari karya penting dalam bahasa Inggeris untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu secara “percuma”, sekali gus dipasarkan di negara ini tanpa sebarang implikasi undang-undang akibat hak cipta.

Pada tahun ini, novel sasterawan besar Amerika Syarikat (AS), Ernest Miller Hemingway, A Farewell to Arms, mendahului senarai yang melepasi tempoh undang-undang hak cipta di negara itu sebaik sahaja masuk ke tahun baharu.

Hal ini bermakna, selepas 95 tahun penerbitan dan kerja adaptasi, karya itu merentas pelbagai genre termasuk filem dan drama memerlukan keizinan waris atau wakilnya, novel A Farewell to Arms masuk ke fasa baharu, iaitu domain awam.

Oleh itu, sebarang penerbitan atau penterjemahan tidak lagi memerlukan keizinan itu, sebaliknya penerbit termasuk di negara ini boleh menerbitkannya semula atau menterjemahkannya.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna “lesen percuma” untuk mengambil terjemahan sedia ada, sebaliknya penerbit perlu mencari penterjemah sendiri untuk berbuat demikian.

Pada masa sama, novel Hemingway terkenal yang lain masih tertakluk pada undang-undang hak cipta, iaitu To Have And Have Not yang terpelihara hingga tahun 2033; For Whom the Bell Tolls (2036), dan paling terkenal tentunya The Old Man and the Sea (2048).

Turut masuk ke domain awam ialah novel The Sound and the Fury karya penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, William Faulkner; A Room of One’s Own karya Virginia Woolf; Tarzan and the Lost Empire karya Edgar Rice Burroughs, dan terjemahan All Quiet on the Western Front dalam bahasa Inggeris (karya asal ditulis oleh pengarang Jerman, Erich Maria Remarque) seperti dilaporkan oleh AFP.

Turut disenaraikan oleh Duke Law Center for the Study of the Public Domain ialah novel sulung John Steinbeck, Cup of Gold; fiksyen detektif oleh Agatha Christie, Seven Dials Mystery; dan terjemahan karya penyair Rainer Maria Rilke dalam bahasa Inggeris berjudul Letters to a Young Poet (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia telah menerbitkannya dengan judul Warkah buat Seorang Penyair Muda – terjemahan bahasa Melayu ini masih di bawah undang-undang hak cipta Malaysia).

Karya lain ialah Laughing Boy: A Navajo Love Story tulisan Oliver La Farge yang memenangi Hadiah Pulitzer, iaitu anugerah persuratan berprestij di AS.

Hal ini merupakan sebahagian daripada ribuan karya yang selama ini berada di bawah undang-undang hak cipta yang diterbitkan pada tahun 1929, selain rakaman suara yang dibuat pada tahun 1924.

Hal ini termasuk dua watak komik dan kartun yang terkenal, termasuk di negara ini, watak Tintin yang disiarkan dalam akhbar Belgium pada tahun 1929 dan Popeye the Sailor ciptaan kartunis Elzie Crisler Segar, turut masuk ke domain awam.

Malah, filem juga tidak terkecuali daripada masuk ke domain awam dengan tahun ini menyaksikan berbelas-belas animasi Mickey Mouse termasuk animasi pendek The Karnival Kid, kali pertama watak itu bercakap.

Filem lain ialah The Broadway Melody yang memenangi Anugerah Academy untuk Filem Terbaik dan Blackmail arahan Alfred Hitchcock.

Kredit Foto: Hans-Jürgen Weinhardt/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.