29 Februari 2024, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Novel Hati Kintsugi “Mudah didekati, taraf kekomunikatifannya amat tinggi.”

Nisah Haron membicarakan novel terbaharu Mazny M.R. dengan menegaskan bahawa novel ini mudah dibaca oleh sesiapa sahaja.

“Isu utama dalam novel ini sangat berat dan penting dalam kehidupan namun, sangat sukar untuk kita lakukan, iaitu memaafkan.

“Memaafkan sangat sukar dan beban itu boleh dibawa sepanjang hayat.

“Persoalannya adakah kita mahu melepaskan di dunia ini ataupun kita bawa sampai mati tetapi disampaikan dalam bentuk yang ringan dan mudah, digambarkan dengan falsafah kintsugi,” katanya.

Rebecca Ilham yang turut membicarakan Hati Kintsugi berkata, gaya bahasa yang digunakan dalam novel ini mudah dan novel ini ialah contoh sebuah karya sastera yang baik.

Menurut Rebecca, ramai yang beranggapan bahawa semakin sukar gaya bahasa yang digunakan, atau semakin kabur makna yang disampaikan, itulah sastera. Hal ini kurang tepat.

“Sastera ialah adab, susunan kata-kata dalam ketertiban yang tertentu. Dalam Islam, setiap bidang ilmu yang benar adalah untuk mentahkikkan kebenaran iaitu Allah yang Maha Esa dan Nabi SAW ialah Rasul-Nya.

“Jadi, sastera sebagai satu cabang ilmu juga begitu. Jika apa-apa yang dibaca itu kabur dan semakin menjauhkan kita daripada Allah, itu bukan karya sastera.

“Dalam karya sastera sepatutnya menjelaskan jika ada keraguan, dan sebagai sebuah novel, Hati Kintsugi berjaya membawa persoalan ini,” tambahnya lagi.

Nisah Haron dan Rebecca Ilham membicarakan Hati Kintsugi sempena Majlis Pelancaran Novel Hati Kintsugi yang berlangsung di Surau al-Hijrah, Kota Kemuning, Shah Alam pada 25 Februari 2024.

Mazny M.R. bersama-sama dengan Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Hati Kintsugi merupakan pemenang Hadiah Sagu Hati Sayembara Penulisan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC 2020) dan telah melalui proses penilaian daripada panel juri yang berwibawa.

Memetik ulasan juri Sayembara Penulisan KLWBC 2020, “Novel ini menemukan titik temu antara naratif dengan motif dengan merekatkan lambang yang indah dengan penceritaan yang berseni.”

Novel ini penerima dana penerbitan industri kreatif dari Kementerian Komunikasi Digital menerusi PENJANA MyCreative dan baru saja siap percetakannya pada pertengahan Februari 2024 yang lalu.

Penulis novel, Mazny M.R. atau nama sebenarnya, Hajah Mazni Md Ramly berasal dari Mersing, Johor dan mula menulis sekitar tahun 2011, bermula dengan sebuah novel Islamik.

Mazny kini lebih bergerak aktif dalam dunia sastera kanak-kanak dan remaja.

Novelnya, Ini Kisah Adham, Saya & Awan Shiro berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk kategori novel kanak-kanak.

Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan hadir merasmikan majlis pelancaran novel ini.

Majlis pelancaran ini disiarkan secara langsung menerusi Facebook Secangkir Kopi Jam Sepuluh.

Novel Hati Kintsugi boleh dibeli di sini.

Kredit Foto: Azian Mohamed Isa

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.