Oleh Rosmani Omar
22 April 2021, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan buat julung kalinya mengadakan Festival Puisi Antarabangsa pada 19 hingga 22 April 2021 bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan dan Jerayawara Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang disiarkan secara langsung melalui media sosial DBP.

Festival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Selain Malaysia, menerusi festival tersebut wakil dari pelbagai negara tampil mendeklamasikan puisi atau mendendangkan lagu puisi mengikut irama mereka yang tersendiri yang penuh dengan nilai seni dan budaya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan tiga rangkap pantun sebelum merasmikan Festival Puisi Antarabangsa.

Fesitival yang diadakan secara dalam talian itu merupakan satu pendekatan yang diambil untuk menyeramarakkan program kesusasteraan tatkala seluruh dunia masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19. Pandemik yang melanda seluruh dunia tidak membataskan program kesusasteraan diadakan malahan medium media sosial yang ada kini terbukti berupaya mendekatkan masyarakat di seluruh dunia untuk berkomunikasi dan berpuisi. Puisi bukan sekadar satu bentuk pengucapan malah merupakan wadah tradisi yang lahir daripada akal budi yang membentuk pemikiran generasi kini.

Menurut Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh,

Puisi ialah teras kepada sastera dan teras yang indah pula. Keindahan yang paling cantik terlihat dalam puisi. Kita simpan mutu manikamnya dalam kata-kata kita. Sebab itu puisi itu penting. Dan, puisi itu juga ialah bentuk yang digunakan oleh peribahasa dan pemikiran kita yang terkumpul daripada ratusan generasi dan ribuan tahun. Jadi, itulah makna puisi. Dan, kita juga melihat bentuk-bentuk yang pintar, syair dan jangan lupa pantun.

Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dari Malaysia.

Menerusi festival tersebut, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh turut memberikan penekanan terhadap peri pentingnya pantun yang baru sahaja dijadikan warisan UNESCO pada tahun ini kerana pantun tiada tolok bandingannya di dunia ini berbanding dengan puisi lain seperti haiku. Menurut beliau, puisi seperti pantun boleh digunakan dalam semua perkara daripada mendodoi anak, menggoda wanita, meminang, majlis perkahwinan, adat-istiadat sehinggalah ceramah dan sebagainya. Oleh sebab kepelbagaian fungsinya dan keindahannya, warisan tersebut perlu dijaga dengan baik.

Festival puisi yang berlangsung selama empat hari dengan tujuh segmen tersebut menampilkan 59 orang pemuisi dari 20 buah negara. Melalui festival tersebut, Malaysia menampilkan Sasterawan Negara seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, tokoh bahasa, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dan penerima SEA Write Award seperti Dato’ Prof. Rahman Shaari, Datuk Jasni Matlani, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Zainal Abidin Suhaili atau Abizai. Tokoh Malaysia yang lain yang turut menyampaikan puisi ialah tokoh pemikiran Melayu (Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP), Raja Teromba (Datuk Paduka Rosli Saludin), Presiden PEMUISI (Malaysia), Presiden Kelab Penulis KDM, tokoh seni budaya, penerima Anugerah Srikandi Numera 2017, penggiat sastera Siam, personaliti TV (SISO Kopratasa), Persatuan Kebudayaan Orang Asli Perak, para profesor dari univerisiti, penggiat sastera dan juga juara sayembara puisi peringkat kebangsaan.

 

Tarmizi, Penyair Rumahitam dari Indonesia.

Peserta dari Indonesia terdiri daripada tokoh sastera seperti Joko Pinurbo dan Chavchay Saifullah, Tarmizi (Penyair Rumahitam) dan Asrizal Nur (penerima Anugerah Sagang) dan Thailand pula menampilkan Zakariya Amataya (penerima SEA Write Award). Wakil dari Rusia ialah Dr. Victor Pogadaev dan Dr. Surya Suryadi ialah wakil dari Belanda dan mereka merupakan pendidik dan penggiat sastera. Negara lain yang mengetengahkan tokoh sastera menerusi festival puisi tersebut ialah Azerbaijan (Prof. Habib Zarbaliyev), Australia (Prof. Ismet Fanany), Timor Leste (Abe Barreto Soares), Dr. Azim Yuldashev  dan Nazokat Mixratillayeva (Uzbekistan), dan Brunei (Dr. Chong Ah Fok). Belgium pula menampilkan Naning Scheid (penggiat Teater), Singapura diwakili oleh Mohd Khair Mohd Yasin (Komposer dan Penulis Lirik terkemuka) dan Itali disertai oleh Stefano Romano (Jurugambar/Penulis terkemuka). Negara Mauritania, Jepun, Yaman, China dan India diwakili oleh pelajar antarabangsa.

Festival yang diadakan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelayar media sosial DBP. Festival puisi ini satu daripada tanggungjawab DBP bagi mengembangkan bahasa dan sastera serta merapatkan hubungan antara negara melalui program kesusasteraan.

Dr. Azim Yuldashev dan Nazokat Mixratillayeva, tokoh sastera dari Uzbekistan.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran,

Kita telah membina satu jambatan kerjasama yang erat bagi rakan-rakan yang belum kenal antara satu sama lain, belum lagi mengenali penyair dari negara masing-masing. Ini merupakan satu langkah untuk kita mempererat kerjasama. Insya-Allah, DBP akan menjadikan festival puisi ini sebagai acara tahunan. Seperti harapan Datuk Seri Pengerusi Lembaga Pengelola juga, kita jadikan festival ini sebagai salah satu acara yang kita akan rancang pada setiap tahun dan untuk tujuan bagi sokongan nanti apabila kita mengaktifkan semula Majlis Bahasa Melayu Antarabangsa.

Menerusi ucapan penutupnya, Ketua Pengarah DBP berharap agar semua pihak memainkan peranan dalam menyokong usaha DBP memperkenalkan atau mengantarabangsakan bahasa Melayu di luar sana. 

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menyampaikan ucapan sebagai penutup acara Festival Puisi Antarabangsa.   
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.