Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanggal 6 Disember 1990
cuaca mendung mengiringi
kepergian anak watan putera raja
meninggalkan mayapada
kembali kepada pencipta dan pemiliknya
sesudah lebih setengah abad
berbakti kepada nusa
pemuka kemerdekaan
bersama-sama dengan taulan
menciptakan babak permulaan
sebuah nusa berdiri sendiri
sebagai daulah berdaulat.
Sosok sederhanamu
ketulenan semangat juangmu
sifat amanahmu
mengisi erti kemerdekaan
tanpa kepentingan diri, keluarga dan kerabat
tanpa membolot khazanah negara
dikau pergi tanpa kekayaan melimpah-ruah
tanpa rekod hina mengambil hak rakyat
tanpa kemegahan diri untuk dipuja-puja
tanpa mendabik dada “akulah yang hebat”
hingga akhir hayat menangisi nasib bangsa
risau akan perpecahan yang melanda
dan pemuka-pemuka negara yang kian bercempera.
Sedih hiba
saat mengenang hari kepergianmu
negara sunyi sepi tanpa tanda ingatan
seakan-akan dikau bukan siapa-siapa
tiada majlis negara biarpun kecil
untuk mendoakan kesejahteraanmu
di alam barzakh
untuk mengenangmu sebagai pencetus sejarah
agar rakyat jelata diasuh pandai mengenang budi
bukan habis manis sepah dibuang
Mungkin benar “Melayu mudah lupa”!
Awang Sariyan Pendukung Tamadun
6 Disember 2021/1 Jamadilawal 1443