Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pentas kesenian Kuala Lumpur mula bernafas semula setelah lebih setahun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana terpaksa berhadapan dengan ancaman COVID-19 yang memaksa pelbagai industri ditutup dan dihentikan operasi. Industri kreatif dan kesenian merupakan antara yang terkesan dengan sekatan ini.
Pada malam Sabtu 4 Disember 2021, Konsert Jundai Nusantara berlangsung dengan gahnya di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, menampilkan lebih 10 artis membuat persembahan di hadapan penonton. Konsert ini merupakan satu daripada beberapa acara kesenian yang menemui khalayak awam secara fizikal sejak sekatan PKP dilonggarkan dan pelbagai sektor awam dibenarkan beroperasi dengan beberapa kawalan dan prosedur standard tertentu.
Konsert Jundai Nusantara merupakan acara anjuran bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kelab Katarsis Seni, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Galeri Shah Alam, Persatuan Penulis Nasional (PENA), Kelab Rekreasi dan Kebajikan Deklamator Malaysia (DEKMAL), Sekolah Seni Perak, Balai Seni Negara, Jurnal Kupas Seni, dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS). Penganjuran bersempena Pameran Seni Antarabangsa Meraki 21, konsert ini dikemudi oleh Azerai Azmi, digahkan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah.
Acara ini merupakan sebuah inisiatif persembahan seni yang mengangkat dan meraikan penghayatan seni puisi dengan konsep muzikalisasi puisi. Tokoh-tokoh penyair negara, deklamator kebangsaan dan penggiat seni dan hiburan telah bergabung dan menyumbangkan suara mempersembahkan puisi melalui konsert ini.
Konsert ini membuka tirai acara dengan sebuah persembahan pembukaan oleh Shirley Idris dengan puisi “Ada” karya Allahyarham Dato’ Dr. Kemala. Umar Uzair kemudian mendendangkan persembahan lagu tema Meraki, iaitu Bertemu Di Sini yang diiringi oleh Kombo DBKL sebelum Dato’ Dr. Mohd Radzi membersembahkan puisi nukilan beliau, “Akulah Kekasih Yang Bersenjatakan Diam”.
Segmen kedua pula membawa penonton menelusuri persembahan khas karya Kenusantaraan oleh Artis Budaya DBKL dengan persembahan tarian tradisional suntikan kontemporari. Lin Haslinaz dengan puisi “Makara Sang Pencinta” pula menyusul, kemudian Umar Uzair sekali lagi muncul dengan lagu puisi ikoniknya, Cenderawasih sebelum membuat persembahan duet bersama-sama artis hiburan Amelina, membawakan lagu Seri Langkat. Amelina menutup segmen dengan dendangan indah Zapin Tujuh Purnama.
Dr. Shamsudin Othman (SEA Write Award 2019) pula ditampilkan sebagai pembuka segmen ketiga sebelum disusuli dengan lagu rakyat Lemak Manis oleh penyair Roslan Madun. Dendangan irama syair “Senja di Kuala Lumpur” karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan pula dideklamasikan oleh Sasterawan Negara itu sendiri, yang menutup tirai persembahan puisi setelah berlangsungnya sebuah persembahan daripada Fauziah Ahmad Daud yang membawa puisi karangannya sendiri, “Ke Mana Perginya Alamku”.
Setiap deklamator, pembuat persembahan dan penyanyi menjayakan persembahan dengan penuh impak buat penonton yang diiringi dengan dendangan permainan instrumental, sepadan dengan tema konsert – persembahan muzikalisasi puisi.
Persembahan tarian tradisional-kontemporari, persembahan muzik, lagu puisi, lagu tradisional, juga persembahan deklamasi sajak, monolog dan gurindam telah ditampilkan di atas pentas Panggung Bandaraya malam itu.
Konsert Jundai Nusantara telah berjaya menghidupkan pementasan seni dan apresiasi sastera negara, yang secara utuhnya menunjangkan harapan bahawa pementasan seni negara sedang berada dalam tangan mereka yang tinggi cita-citanya dan kuat pegangan semangatnya.