Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAzrin Fauzi, penulis garda depan Malaysia yang muncul dengan kumpulan cerpen terbaharunya, Amok-Imago, berkongsi kepada kami tentang buku-buku pilihannya, dan tidak lupa memberikan beberapa nama penulis tempatan kegemarannya.
Shahnon, kerana Shahnon seorang fiksyenis Malaysia yang genius.
Apakah buku yang anda baca sekarang? Seronok?
Sedang ulang baca kumpulan cerpen Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-umang Rock n’ Roll dan Lain-lain Cerita tulisan Ridhwan Saidi. Tolong jangan beritahu sesiapa: Ini naskhah kedua yang saya dapatkan semula setelah menyedari yang naskhah pertama telah hilang dalam simpanan. Saya lupa kepada siapa saya meminjamkannya dahulu tetapi sebagaimana saya seronok membaca cerpen-cerpen Ridhwan yang menjelmakan semula susastera Malaysia sebagai suatu yang “ekstatik”; yang buatkan kita hargai apa yang dinamakan sebagai “i-ma-gi-na-si” (malahan cerpen “Raslan dan Potret Raslan” masih menjadi antara cerpen Malaysia kegemaran saya sehingga sekarang), moga-moga anda juga begitu.
Juga sedang baca The Houseguest, kumpulan cerpen oleh Amparo Dávila yang gelap dalam skala domestik. Ada semacam kegerunan (terror), ketakutan (terror) dan keganasan yang tidak terlihat (terror) dalam setiap ruang ceritanya; dan ada upaya untuk berlakunya kekejaman atau “potential violence” daripada/kepada watak-watak perempuannya. Ada ketegangan bilamana watak-wataknya cuba lepas daripada ruang-ruang yang memegang mereka. Semestinya kesemua ini berlaku pada detik-detik tidak terjangka. Kalau Julio Cortázar tidak katakan cerpen-cerpen Dávila “luar biasa” pun saya akan tetap membacanya. Moga-moga kumpulan cerpen lainnya pun akan turut diterjemahkan.
Ada buku tertentu yang digemari sepanjang masa?
Invisible Cities oleh Italo Calvino. Mula-mula baca daripada mula sampai tamat. Kemudian kita boleh selak secara rambang dan singgah di mana-mana kota yang sedang diceritakan oleh si pengembara Marco Polo kepada si maharaja Kublai Khan. Saya tidak teragak-agak untuk katakan Calvino juga seorang urbanis eksperimental yang puitis (sesuatu yang amat diperlukan dalam mana-mana kota pun; mengingatkan saya akan kata-kata Ridhwan Saidi dalam perbualan kami beberapa minggu yang lalu: “Apalah makna kota tanpa eksperimental?”). Jika berada dalam dunia distopia Fahrenheit 451, kota-kota ciptaan Calvino ini yang akan saya ingat.
Penulis kegemaran sepanjang masa? (Mengapa)
Jorge Luis Borges, Julio Cortázar, Clarice Lispector, Franz Kafka, Mana Sikana, Zaen Kasturi, Ridhwan Saidi, dan Wan Nor Azriq. Saya boleh capai mana-mana buku mereka daripada rak pada bila-bila masa untuk membacanya, dan kepuasannya masih seperti pengalaman pertama membaca mereka. (Atau saya yang seorang pelupa?)
Bagaimanakah anda menyusun rak buku?
Ada bahagian mengikut genre (cerpen, esei, buku foto, novel grafik, antaranya). Tetapi sebahagian besarnya mengikut nama penulis (A-Z). Paling tidak jika rumah saya terbakar, saya tahu buku-buku mana yang harus diselamatkan dahulu.
Bagi anda, siapakah penulis terbaik sekarang dalam genre penulisan (novel, cerpen, puisi, esei, bukan fiksyen?)
Baik, kita mulakan satu-satu ya:
Semestinya nama-nama ini akan berubah—mesti berubah—dalam lima atau sepuluh tahun mendatang.
Apakah genre penulisan yang seronok dibaca sekarang?
Esei, terutamanya penulisan seni yang berkaitan dengan seni bina, fotografi dan seni rupa. Seronok kerana buku-bukunya sendiri dibikin dengan kepekaan seni. Puas nikmati.
Buku yang selalu diulang baca?
Invisible Cities oleh Italo Calvino. Membacanya semula ialah mengunjungi kembali mana-mana kotanya dengan rasa yang baru; masih curiga dan teruja.
Jika anda boleh memberi buku tertentu untuk dibaca oleh seorang ahli politik, apakah buku tersebut?
Kumpulan fabel oleh Aesop. Bukan sahaja ada moral atau pengajaran pada setiap penamatnya tetapi ada semacam ingatan kepada ritual bercerita sebelum tidur yang kita pernah dengar sewaktu kecil dahulu; atau ingatan kepada seorang ibu. Barangkali semua orang akan berbuat baik jika teringat-ingat kepada ibunya. Oh ya, pernah dengar yang orang jahat selalunya—akhirnya—akan memilih untuk pulang ke rumah ibunya apabila sudah gagal melarikan diri?
Apakah rancangan bacaan anda seterusnya?
Ada beberapa buku yang baru sahaja diambil daripada peti surat untuk dibaca: Tono Monogatari oleh Shigeru Mizuki, Happy Stories, Mostly oleh Norman Erikson Pasaribu, dan Camera Lucida oleh Roland Barthes. Oh ya, saya juga ingin baca semula kumpulan-kumpulan cerpen oleh penerbit buku-buku saya: Rojak oleh Amir Muhammad, Kasut Biru Rubina oleh Sufian Abas, dan Merengkuh Langit oleh S. M. Zakir.
Apakah buku tertentu yang menjadikan anda seorang penulis sekarang?
Jika ingatan tidak mengkhianati saya, ada dua. Pertama, antologi Annyss Sophillea yang turut menghimpunkan cerpen-cerpen pemenang Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat 1992. Kebanyakan cerpennya masih melekat sehingga sekarang: “Prasangka Ayah” (Saharil Hasrin Sanin), “Anugerah Tertinggi” (Uthaya Sankar SB), “Makmal ZNF” (Shamsinor Zaman Shamsuz Zaman), dan cerpen “Annyss Sophillea” (Nisah Haron) sendiri. Betapa saya kagum membacanya sewaktu itu. Kedua, kumpulan cerpen Abzyx tulisan Mana Sikana. Juga kagum (dan bingung) kerana saya puas nikmatinya walau tidak faham; sesuatu yang misteri tentang susastera; sesuatu yang misteri tentang bahasa.
Bagaimanakah dunia bacaan anda ketika zaman kanak-kanak? Ada penulis atau buku tertentu yang mengingatkan anda betapa indahnya dunia pembacaan ketika itu?
Saya sudah lupa akan apa-apa yang dibaca pada waktu itu. Yang saya pasti, ianya bukanlah buku-buku susastera. Pada waktu itu, saya hanya gemar membaca novel-novel grafik dan membelek atlas. Selebihnya, saya meminta ibu atau nenek yang bercerita kepada saya sebelum tidur (atau sebelum “mati sekejap”).
Siapakah watak dalam karya sastera atau bukan sastera yang anda gemari?
Brás Cubas, protagonis dalam novel Epitaph of a Small Winner yang sedang bercerita kepada kita dari dalam kuburnya.
Dalam karya anda, apakah teks (perenggan atau baris) yang bermakna dan puas apabila dapat menulisnya?
Setiap kali mengerjakan sesebuah cerpen, saya mesti puas memaknakan ayat pertama dan terakhirnya dulu, dan apa-apa yang di antaranya diisi kemudian. Saya dapat rasa ini sewaktu menyiapkan cerpen-cerpen untuk Amok-Imago.
Bilakah anda membaca dengan serius?
Perlukah saya membaca dengan serius?
Apakah subjek atau perkara tertentu yang anda fikir penulis sekarang patut jelajahi?
Semua penulis boleh bermain dengan subjek yang sama, sebenarnya. Yang membezakan pemain yang bagus dengan yang teruk adalah bagaimana mereka bermain dengannya.
Adakah selera pembacaan anda berubah mengikut perubahan umur anda juga?
Semestinya.
Adakah ada buku tertentu yang apabila anda membacanya anda rasa biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain?
Ada banyak, tetapi yang benar-benar saya ingat ialah novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman oleh Anwar Ridhwan dan kumpulan cerpen-puisi Kemarau Di Lembah oleh Kassim Ahmad.
Apakah suasana ideal membaca anda?
Cukup sekadar ruang tertutup dengan cahaya yang cukup.
Rumah penerbitan yang digemari yang selalu anda lihat katalog terbarunya?
Dalkey Archive Press! (Tetapi tidaklah sehingga beriya-iya membelek katalognya.)
Soalan Pantas
NYRB atau New Direction?
New Direction, kerana sampul depan buku-bukunya. Semata-mata. Saya menganggapnya sebagai “seni lanjutan” kepada teksnya. Bukan sekadar kena ada sampul depan.
Pak Samad atau Shahnon?
Shahnon, kerana Shahnon seorang fiksyenis Malaysia yang genius.
Latiff Mohidin atau T. Alias Taib?
Dalam Metaskandal, saya pernah tulis cerpen yang terinspirasi daripada puisi-puisi mereka: cerpen “Maya dan Sebuah Kota Di Bawah Katil” (daripada puisi “Maya” Latiff Mohidin) dan cerpen “Sonia” (daripada puisi “Sonia” T. Alias Taib). Saya gemar bahasa mereka berdua. Bezanya, kalau T. Alias Taib hanya menerusi puisi. Manakala Latiff Mohidin pula, saya pernah tatap catan-catannya; pernah hadap arca-arcanya; pernah menyentuh tangannya; pernah dengar suaranya; pernah teruja bilamana dalam suatu acara susastera di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu, mendengar dia meneruskan bacaan puisi walau azan asar sedang berkumandang.
Borges atau Kafka?
Borges. Pilihan yang sukar, sebenarnya. Saya pilih Borges.
Ozu atau Kurosawa?
Hiroshi Teshigahara atau Nagisa Ōshima.
Godard atau Truffaut?
Alain Resnais dan Chris Marker.