Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memperingati dan menyanjung sumbangan besar Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya (UM) akan menganjurkan Sayembara Sajak dan Poster Digital 2025 yang dibuka kepada penyertaan umum dari seluruh negara.
Sayembara ini membawa tema besar yang cukup simbolik, “Mengenang Ungku Aziz: Monumen Minda, Warisan Bangsa”.
Sayembara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform yang bertujuan untuk menghidupkan kembali semangat cintakan ilmu, budaya dan ketokohan intelektual Melayu yang diperjuangkan oleh Ungku Aziz sepanjang hayatnya.
Ungku Aziz merupakan antara tokoh ilmuwan yang tidak hanya terkenal di Malaysia, tetapi juga di persada antarabangsa.
Sumbangan beliau dalam bidang ekonomi pembangunan, dasar sosial, pendidikan tinggi, serta budaya Melayu menjadikan beliau ikon pemikiran progresif yang menjangkaui zaman.
Antara pencapaian terbesar beliau termasuk menjadi Naib Canselor di UM dan memegang jawatan itu selama 20 tahun.
Melalui tema sayembara ini, pihak penganjur ingin menggambarkan susuk Ungku Aziz sebagai sebuah “monumen minda”, bukan dalam bentuk fizikal, tetapi sebagai warisan intelektual dan inspirasi kepada generasi masa depan.
Justeru, pertandingan ini diharap mampu menggalakkan orang ramai menghayati nilai murni dan pemikiran kritis yang diketengahkan oleh tokoh ini, dalam bentuk yang kreatif dan mudah dicapai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Sayembara ini terbuka kepada dua bentuk penyertaan, iaitu deklamasi sajak dan reka bentuk poster digital.
Melalui medium sajak, para peserta digalakkan untuk menzahirkan perasaan, penghargaan atau renungan mereka terhadap Allahyarham Ungku Aziz dalam bentuk puisi yang mendalam dan bermakna.
Sementara itu, poster digital pula memberi ruang kepada peserta untuk menggabungkan pelbagai elemen seperti visual, tipografi dan mesej yang kuat bagi menyampaikan tema pertandingan.
Semua pendaftaran, penghantaran karya dan maklumat pertandingan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian. Para peserta hanya perlu mengimbas kod QR yang tersedia dalam poster rasmi atau mengunjungi laman sesawang rasmi UAC untuk mengisi borang penyertaan dan mendapatkan maklumat mengenai syarat-syarat penyertaan.
Berikut merupakan pautan bagi pertandingan:
Tempoh penyertaan dibuka selama sepuluh hari, bermula dari 10 Jun sehingga 20 Jun 2025. Untuk menyemarakkan lagi penyertaan dalam kalangan masyarakat, pihak penganjur menawarkan hadiah wang tunai menarik seperti yang berikut untuk kedua-dua kategori penyertaan:
Tempat Pertama: RM800
Tempat Kedua: RM700
Tempat Ketiga: RM600
Selain itu, setiap peserta yang menyertai pertandingan akan menerima sijil penyertaan digital sebagai penghargaan atas usaha mereka.
Para peserta digalakkan untuk membaca dan memahami syarat dan terma pertandingan serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak penganjur sebelum menghantar karya mereka.
