Oleh Marsli N.O
10 Oktober 2023, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menegaskan prinsip dirinya tentang asal usul dan identiti latar diri.

Akan tetapi hari ini, setelah semakin berusia tua, kenapa secara tegas saya timbulkan persoalan karya dan negeri kelahiran ini? Apakah ada sesuatu yang mengganggu fikikran dan perasaan saya yang semakin berusia tua ini?

Puluhan tahun hidup sebagai perantau di “negeri orang”, walau sudah berkeluarga, berjaya mengabulkan hasrat dan cita-cita sebagai seorang penulis, dan pernah menjadi seorang ahli persatuan penulis di sana, saya tetap mengenang dan mengingatkan diri saya sendiri bahawa saya tetap seorang anak kelahiran negeri di mana saya dahulu telah dilahirkan.

Kerana itu juga, ketika peringkat awal menulis dahulu, bila setiap kali soal tanah lahir dan keberadaan seorang penulis ditimbulkan oleh kawan-kawan ketika saya masih di dalam sebuah persatuan penulis di sana dahulu, saya dengan tegas mengatakan bahawa saya seorang penulis Melayu Malaysia.

Setiap kali jika ditanya atau dibangkitkan oleh orang mengenai negeri asal diri saya sebagai seorang penulis, saya selalu mengelak untuk menjawabnya secara tegas. Saya tidak mahu menimbulkan rasa tersinggung atau kurang selesa kawan-kawan di sekeliling. Kerana itulah saya memberikan jawapan bahawa saya ialah penulis Melayu Malaysia dan bukannya penulis yang dimiliki oleh sesebuah negeri tertentu.

Kemudian, setelah beberapa anak saya mulai dilahirkan di negeri di mana saya hidup sebagai perantau, beberapa teman di dalam persatuan penulis di sana mengesyorkan agar saya memohon sijil kerakyatan negeri berkenaan. Kata kawan saya, “Jika kau ada sijil kerakyatan negeri ini, mudah sedikit bila hendak minta apa-apa dengan kerajaan negeri.”

Namun saya tetap bertahan dan tidak ingin menggadaikan semangat, rasa cinta dan “kerakyatan” negeri di mana saya dahulu dilahirkan.

Setelah berkahwin dan anak-anak semakin membesar serta dewasa, saya semakin kerap pulang ke negeri di mana saya dahulu dilahirkan. Pantang mendengar atau tahu mengenai sesuatu acara sastera di sana, dijemput atau tidak, saya akan pulang untuk hadir dan menjadi peserta yang tidak diundang.

Sehingga bila dan di mana pun saya tetap mengingat dan mengenang tanah dan negeri kelahiran saya. Kerana itu juga, saya hidup sebagai penulis di luar negeri di mana saya dilahirkan dengan semangat sebagai berada di “negeri orang”.

Akan tetapi, sebagai seorang penulis, meski tidak sehebat mana-mana penulis hebat di Malaysia dan tidak berniat pun hendak menyaingi kehebatan sesiapa, saya tidak ingin menjadi sesumpah; yang tanpa segan dan silu menerima anugerah daripada persatuan di negeri mana saya tinggal dan pada waktu lain menerima atau mencalonkan pula dirinya untuk sesuatu anugerah di negeri kelahirannya sendiri.

Tanpa niat mahu menghina atau menyindir sesiapa, saya bukan manusia yang demikian.

Terengganu ialah negeri dan tanah kelahiran saya. Di situlah saya membesar dan mengenal segala suka dan duka serta derita hidup semasa kecil.

Walau usia hidup saya lebih banyak dihabiskan di negeri orang, tumbuh dan memantapkan usaha penulisan saya di “negeri orang”, saya tidak pernah berasa diri saya benar-benar sebagai orang yang dimiliki oleh negeri di mana saya datang berdagang dan merantau. Dalam diri saya, tetap berasa bahawa saya anak negeri Terengganu yang berbapakan seorang Jawa anak pendatang.

Tambahan pula, saya yakin dan percaya, negeri dan asal usul bukanlah faktor penentu kejayaan dan peningkatan mutu karya seseorang penulis. Saya amat yakin betapa yang dinilai orang ialah karya yang dihasilkannya dan bukan negeri atau asal usulnya.

Jika karyanya bagus, baguslah dan langsung tiada kena mengena dengan negeri kelahiran atau asal usul dirinya.

Akan tetapi hari ini, setelah semakin berusia tua, kenapa secara tegas saya timbulkan persoalan karya dan negeri kelahiran ini? Apakah ada sesuatu yang mengganggu fikikran dan perasaan saya yang semakin berusia tua ini?

Jawabnya tidak. Saya hanya ingin menegaskan kepada siapa sahaja yang masih meragui asal dan usul di mana saya dahulu dilahirkan dan kerana rasa ragunya itu menganggap saya tidak layak diperhitungkan.

Walau semua kita, yang benar-benar memilih berada di dunia sastera ini dengan rasa jujur dan tanggungjawab, sedar dan tahu, negeri dan tanah kelahiran tidak pernah menentukan apakah yang kita tulis akan menjadi mahakarya atau sebenarnya hanya bertaraf sampah.

Kerana sebagai seseorang yang memilih menjadi penulis, diperhitungkan orang atau pun tidak, saya akan tetap dan terus menulis!

Kredit Foto: Madib Zikri/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa yang memilih bersendirian dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.