Oleh Marsli N.O
3 Februari 2024, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O reda dan tawakal terhadap cabaran hidup sebagai seorang penulis.

Namun hidup sebagai penulis, seperti juga hidup manusia lain yang tidak menulis, tidak pernah sunyi daripada umpat dan cerca orang. Inilah kenyataan yang mesti dihadapi dan diterima dengan jiwa pasrah, terbuka dan reda.

Meski usaha saya sudah bermula lebih awal, namun baru tahun 1979, tepatnya Mei 1979, sajak saya berjudul “Harapan” pertama kali terpilih dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Menulis dan terus menulis.

Melihat karya disiarkan di akhbar atau majalah, memang mendatangkan rasa gembira. Meski dalam kalangan saudara dan kawan-kawan “kebolehan” menulis itu menghadirkan sedikit rasa kagum mereka dan sesekali dinyatakan dengan ucapan pujian, namun semua itu diterima dengan rasa insaf dan saya berusaha mengelak agar tidak sampai menjadi rasa angkuh serta lupa diri.

Agar tidak disangka sombong dan berlagak, saya berusaha membukakan diri untuk menjadi ahli persatuan dan menjalin persahabatan dengan sesiapa sahaja yang menulis, tanpa mengira usia, tahap pendidikan dan taraf hidupnya.

Namun demikian, dalam setiap pertemuan dan mesyuarat anjuran persatuan atau ketika berinteraksi dengan teman-teman sesama penulis, saya memilih sikap untuk berterus terang menyatakan pendapat serta pandangan yang ada hubung kaitnya dengan sastera dan dunia penulisan.

Jika tidak bersetuju atau merasakan sesuatu pendapat yang kurang tepat, saya akan secara langsung, tanpa maksud mahu mencemuh atau menghina sesiapa, menyatakan tidak setuju dan memberikan hujah yang lain.

Walau saya tahu sikap berterus terang begini tidak disukai sebahagian orang, namun kerana tidak mahu menjadi pengumpat atau pengeji yang hanya bersuara ketika di belakang, agar sentiasa dilihat sopan dan beradab, kononnya, demi mengelak menjadi munafik dan tidak ingin berdendam, saya teruskan sikap berterus terang ini dengan yakin dan tanpa gentar.

Hujah saya mudah sahaja. Setiap orang berhak untuk menyatakan pendapat tetapi hal itu tidak bermakna setiap pendapat itu mesti diakuri oleh setiap orang. Jadi jika saya tidak bersetuju dan membantah, saya tidak membantah atas nama peribadi atau siapa yang mengucapkan, tetapi atas kapasiti idea dan persoalan secara per se. Selagi sesuatu idea dan pendapat tidak bersifat totalitarian, yang memerintah dan memaksa agar dipatuhi semua orang, bagi saya ia tetap sah.

Saya juga tidak membuta tuli membantah serta tidak bersetuju semata-mata kerana bertolak daripada premis hitam atau putih, benar atau salah. Sebelum tidak bersetuju seratus peratus, saya juga mencari alternatif dan paksi lain yang mungkin ada memberikan manfaat dan akan menerimanya.

Tetapi sebagai penulis yang ingin menjadikan tulisan atau karyanya sebagai wadah ekspresi jiwa, perasaan dan fikirannya, disukai orang atau tidak, dipersetujui atau tidak, bukan persoalan yang terlalu difikirkan sehingga mendatangkan rasa terganggu dan kecewa. Tugas penulis ialah menulis. Titik.

Namun hidup sebagai penulis, seperti juga hidup manusia lain yang tidak menulis, tidak pernah sunyi daripada umpat dan cerca orang. Inilah kenyataan yang mesti dihadapi dan diterima dengan jiwa pasrah, terbuka dan reda.

Demikian halnya sebagai suatu contoh ketika pada suatu hari seorang saudara di sebelah isteri mendatangkan cerita. Katanya, dia bercerita kepada seorang pegawai di tempat kerjanya, yang juga seorang penulis, bahawa dia mengenal seorang penulis, iaitu saya, yang berkahwin dengan saudaranya. Akan tetapi, ketika nama saya disebutnya, pegawai itu katanya memberikan komen bahawa saya, “Cita-citanya tinggi tetapi ilmu tiada.”

Sebagai seorang manusia biasa, memanglah saya berasa kecewa dan sedih apabila mendapat tahu ada orang berkata sesuatu yang buruk mengenai diri kita. Apalagi jika apa-apa yang diperkatakan itu sebenarnya fitnah dan tidak sepenuhnya benar.

Akan tetapi, apakah yang boleh dilakukan untuk menghentikan dan menafikan semua itu? Bolehkah saya hendak menutup mulut mereka semua?

Tentu saja tidak, malah mustahil. Betapa pun berasa sedih dan kecewa, apa yang boleh dilakukan hanyalah teruskan sahaja hidup dan kehidupan saya seperti biasa.

Semua perbuatan mereka yang suka menaburkan kata fitnah ini tidak akan merosakkan dan menghancur leburkan diri dan jiwa saya jika saya sendiri tidak memberikan ruang ke arah itu kepada mereka. Misalnya, bersedih duka terlalu lama memikirkannya, meratap menangis dan mempersalahkan diri saya sendiri.

Demikian juga ketika berdepan dengan satu peristiwa lain yang melibatkan penilaian dan tanggapan orang lain terhadap diri dan karya saya. Tanggapan dan penilaian “mereka” pada suatu waktu (yang melibatkan sejumlah tokoh dan nama besar) yang antara lain menyebut betapa saya secara peribadi dan karya saya berada dalam situasi “kelabu” ini disiarkan dalam satu tulisan salah seorang “mereka”, dan disiarkan dalam sebuah akhbar. Tersentak memang. Namun saya berusaha menerimanya sebagai suatu hakikat hidup peribadi dan pengkaryaan saya dengan fikiran terbuka serta semangat berani. Saya bersyukur, kerana tanggapan “mereka” yang saya anggap jujur dan berterus terang ini, dengan niat dan harapan mahu terus berangkat meninggalkan “daerah kelabu” tersebut, saya berusaha terus-menerus berkarya sehingga kini.

Sebagai peribadi, saya tidak mahu bersikap sombong sehingga lupa melihat kelemahan diri dan kelemahan karyanya sendiri. Saya berharap, dengan cara terus-menerus berkarya demikian, meski tidak semua, semoga nanti akan ada antaranya yang berguna serta bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara saya.

Kerana itulah sebagai penulis, saya reda dan tawakal serta bersedia menerima hakikat hidup, betapa langit tidak sentiasa mendung dan hari tidak sentiasa hujan. Hiduplah dengan rasa gembira dan bersyukur dengan sewajarnya.

Saya berasa tidak perlu berlagak dan ingin hidup sebagai manusia mulia suci atau berlagak tuhan. Cukuplah saya yakin dan percaya pada segala yang telah ditetapkan serta ditentukan oleh Allah SWT.

Meminta, mengadu dan berdoalah hanya kepada Dia Allah SWT dan bukannya mengemis serta mengharapkan simpati kepada sesama manusia yang sifatnya tidak sempurna.

Biarkan sesiapa sahaja yang berasaskan dirinya terlalu banyak memiliki waktu luang, perasan dirinya mulia dan hebat di dunia yang sementara ini, mengisi waktunya dengan cara menobatkan dirinya sebagai penilai dan penghukum peribadi dan karya orang lain.

Saya yakin dan percaya, bukan mereka ini yang menentukan rezeki serta maju dan mundurnya perjalanan sastera serta kerja menulis saya.

Saya reda dan tawakal.

Kredit Foto: Nicolás Pinilla/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.