Oleh Marsli N.O
13 Jun 2023, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O memberikan reaksi tentang sikap memahami karya sendiri dan persoalan kritikan yang kadangkala tidak mampu memahami isi pemikiran karya penulis.

Kita jadi sedar dan tahu, punca terutamanya terjadi prasangka dan salah mengerti begini, tidak lain kerana sikap dan pilihan kita sendiri yang suka menyatakan sesuatu secara berterus terang dan tanpa niat hendak mengekori sesiapa, atau memuji dan mengampu seseorang demi suatu ganjaran lain.

Perkara biasa dalam hidup, apabila sesuatu yang kita tulis dan disiarkan secara terbuka, kadangkala disalah terima dan disalah mengerti oleh orang lain yang membaca atau membuat penilaian.

Sebagai peribadi yang menulis dan menyiarkan karyanya secara terbuka, kejadian malang ini amat sering dihadapi. Adakah dengan sebab itu, kita akan berasa kecewa dan merajuk tidak akan menulis dan menyiarkan karya secara terbuka lagi?

Sebagai seorang manusia yang memilih bidang tulis dan menulis ini dengan keyakinan dan prinsip hidup yang jelas, tentu sahaja merajuk dan terasa hati telah dikalahkan, malah bukan menjadi pilihan.

Sebaliknya, apabila mendepani peristiwa begini, segalanya akan dihadapi dengan rasa yakin dan percaya yang tinggi kepada diri sendiri serta bersedia menerima segala ketetapan rezeki, buruk dan baik daripada Allah SWT.

Dengan rasa yakin dan percaya ini, kita jadi manusia sedar dan tahu segala sebab serta akibat daripada sesuatu peristiwa dan kejadian yang menimpa diri kita sendiri.

Kita sedar dan tahu serta meyakini segala ketetapan Allah SWT ini, kita tidak menyalahkan sesiapa pun di luar diri, lantaran kejadian salah faham dan prasangka begini.

Kita jadi sedar dan tahu, punca terutamanya terjadi prasangka dan salah mengerti begini, tidak lain kerana sikap dan pilihan kita sendiri yang suka menyatakan sesuatu secara berterus terang dan tanpa niat hendak mengekori sesiapa, atau memuji dan mengampu seseorang demi suatu ganjaran lain.

Jika secara peribadi kita tidak bersetuju dan berasa sesuatu yang tidak benar, kita akan katakan tidak bersetuju dan penolakan secara terus terang. Ketika menyatakannya, kita memilih untuk menyatakan hanya menurut apa-apa yang diyakini sebagai benar dan cara yang khas milik kita sendiri.

Kerana ingin menyatakan sesuatu secara jujur dan berterus terang, kita tidak berasa perlu untuk takut dan khuatir jika nanti dituduh sebagai arogan, perasan bagus dan mulia suci.

Sebagai peribadi yang bebas dan merdeka pula, ketika berkarya dan memilih untuk menyiarkannya secara terbuka, kita tahu dan sedar sepenuhnya hak kita untuk menyatakan pendapat sendiri, tanpa perlu tunduk kepada tuntutan atau patuh kepada arahan dan perintah sesiapa, kecuali perintah dan larangan Allah SWT sahaja.

Tujuan kita berkarya adalah untuk menyatakan apa-apa yang kita rasai dan fikirkan secara jujur. Yang dikejar bukanlah pujian dan sanjungan orang. Kita tidak perlu hidup sebagai lembu yang boleh dicucuk hidung, yang mesti menjilat agar mendapat upah disuapkan rumput yang subur.

Justeru, ketika menulis dan menyatakan sesuatu, kita meniatkan kata dan tulisan tersebut hanya kepada diri sendiri, agar sentiasa bersikap waspada dan melihat segala kebodohan dan kekurangan dirinya sendiri.

Maksud dan tujuan sesuatu dalam setiap tulisan kita tujukan kepada diri kita sendiri, sebagai suatu peringatan agar tidak berlagak dan jika memetik pendapat orang lain pula, akan dipastikan benar-benar petikan dan sebutan tersebut adalah sebagai pengukuhan serta pendokong hujah pendapat kita sendiri.

Jika lantaran kita menulis dan menyatakan sesuatu yang sedemikian itu secara jujur dan terus terang, menjadikan siapa yang mendengar serta membacanya tersinggung dan terasa, tiadalah kuasa kita hendak menghalang.

Kita bukanlah orang hikmat yang boleh membaca segala fikiran dan perasaan orang lain dan berusaha untuk menjadikan mereka gembira pada setiap waktu dan ketika.

Pada sisi lain, jika seseorang mencemuh dan menghujat karya kita semata-mata kerana dirinya tidak menemukan sesuatu acuan yang telah dia tetapkan sejak awal dalam pemikirannya sendiri, kita juga tidak perlu berasa sedih dan kecewa.

Analoginya, jika seseorang ingin menikmati sebiji kek, pasti sahaja dirinya akan berasa kecewa, tidak menemui rasa dan nikmat sebiji kek. Ketika karya kita yang sedang dihadapinya, kita niatkan: hanyalah sebiji kuih tradisi bernama baulu.

Setiap pengkarya pastilah menulis berdasarkan kehendak dan keinginannya sendiri. Sebagai pengkarya yang memiliki jiwa dan fikiran yang bebas dan merdeka, pastilah bukan ajaran dan aturan yang ditetapkan oleh orang lain yang menghantui pemikiran atau menjadi dorongan mereka ketika berkarya.

Memang seorang penilai dan pengkritik, ketika mendepani sebuah karya, berhak menetapkan apa-apa sahaja kemahuan, resipi dan teori yang dirasakan sesuai dengan selera serta kehendaknya.

Namun ketika dipertikaikan sesuatu yang diinginkannya, yang tidak terdapat dalam karya dan menyatakan keji serta cercanya terhadap karya tersebut, kerana dia tidak menemui apa-apa yang telah ditetapkannya di dalamnya, maka di sinilah dia mula membukakan sikap kurang bijaksana dirinya sendiri kepada khalayak pembaca.

Setiap pengkarya pastilah menulis berdasarkan kehendak dan keinginannya sendiri. Sebagai pengkarya yang memiliki jiwa dan fikiran yang bebas dan merdeka, pastilah bukan ajaran dan aturan yang ditetapkan oleh orang lain yang menghantui pemikiran atau menjadi dorongan mereka ketika berkarya.

Ketika menuliskan sebuah sajak misalnya, pengkarya yang berfikiran bebas dan merdeka tidak akan meletakkan Iqbal, Joko Pinurbo, Sapardi, Afrizal Malna, Zaen Kasturi, atau Zurinah Hassan dalam fikirannya. Setiap penulis sajak mempunyai hasrat dan impiannya sendiri: hanya ingin menulis sesuatu menurut apa-apa yang diyakininya dan sebagai dirinya sendiri.

Hanya penulis yang berniat meniru dan mahu segera dipuji dan menjadi popular secara palsu sahaja yang sanggup menjadikan patukan, karya dan penyair-penyair hebat tertentu sebagai model tulisannya.

Demikian juga seorang penilai atau pengkritik yang tahu menghormati hak dan kebebasan kreativiti orang lain. Tatkala mendepani sebuah karya sebagai bahan kritikannya, apa yang dinilai dan ditelusuri ialah apa yang terkandung dalam sesebuah karya dan bukan sebaliknya; mencari-cari sesuatu yang tiada dalam karya tersebut dan cuba mematutkan secara paksa kehendak dan keinginannya sendiri terhadap karya tersebut.

Setiap daripada kita yang bersikap jujur sebagai seorang manusia biasa, yang dianugerahi oleh Tuhan sedikit kebolehan suka menulis dan menyatakan sesuatu untuk memperingatkan dirinya sendiri, hanya ingin menjadi diri sendiri dan selalu berusaha mengelak mencampuri urusan hidup, mencontohi dan meniru orang lain.

Ketika berkarya, kita juga perlu berfikiran merdeka dan meraikan sikap ini di dunia penulisan kita. Dalam erti kata lain, kepelbagaian dan kelainan bersama kita raikan.

Hanya malang, sebahagian kita, kerana perasaan superior dalam dirinya, terlalu ghairah memaksa kehendak dan aturan yang ditetapkan kepada orang lain, yang pada pendapat jumudnya, tidak boleh dibantah serta diingkari oleh sesiapa pun.

Sebahagian kumpulan ini sebenarnya sudah melupakan hakikat sebenar dunia penulisan dan pengkaryaan kita, betapa kita tidak memerlukan lahir dan muncul berikutnya, sebagai pengekor dan salinan (sekadar contoh): Shahnon Ahmad, Baha Zain, Iqbal, Zurinah Hassan, Joko Pinurbo, Sapardi, atau Zaen Kasturi!

Kredit Foto: Matt Artz/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa yang memilih bersendirian dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.