Oleh Marsli N.O
20 September 2023, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menyoal sambil membangkitkan semangat tentang usaha menulis pengalaman diri secara kendiri.

Kenapa kita harus berasa malu dan rendah diri? Sedangkan kita diberikan Tuhan akal dan kudrat seperti manusia yang lain juga.

Akhirnya kita mesti membuat pilihan.

Apakah terus membiarkan kisah hidup kita sendiri tenggelam dan berlalu bersama waktu dan mengisi hidup sehariannya, mengulangi rutin kehidupan “sayur”, dengan hanya membaca kisah maju jaya atau jatuh bangun milik orang lain?

Semata-mata kerana rasa malu dan rendah diri dihantui soalan, “Saya hanya manusia biasa yang tiada apa-apa kelebihan dan keistimewaan dirinya untuk diceritakan kepada orang lain.”

Demikiankah, kita habiskan waktu dan hidup seharian, sebagai manusia yang berasa dirinya kecil dan tidak memiliki sebarang keistimewaan. Kita sekadar membaca dan mengagumi kisah kejayaan dan kehebatan milik orang lain.

Akhirnya, kita pun mati, meninggalkan dunia fana ini tanpa sebarang jejak dan tanda apa-apa pun.

Jika pun akhirnya kita mampu membuang rasa malu dan rendah diri itu dan mulai mahu menulis kisah hidup diri kita sendiri, timbul pula persoalan lain yang tidak kurang menduga: “Siapa pula yang mahu menerbitkan kisah manusia biasa seperti diri saya ini?”

Lalu niat hasrat itu pun jadi tertunda. Niat menulis kisah hidup diri sendiri diurungkan dan kita kembali teruskan hidup yang rutin sebagai sayur: makan, bekerja, bercinta, dan tidur!

Cuma itu dan kita menerima itu dengan pasrah, sebagai suatu takdir yang telah ditetapkan untuk diri kita: selama-lamanya hanya sebagai pembaca kisah hidup yang ditulis dan diterbitkan oleh orang lain!

Sedangkan hakikat sebenarnya, hidup kita hari ini dikelilingi segala kemudahan teknologi. Proses mencetak dan menerbitkan buku tidak sesulit era tahun 1960-an. Hari ini buku boleh dicetak dalam jumlah terhad di bawah 50 naskhah dengan modal di bawah RM500.

Kenapa kita harus berasa malu dan rendah diri? Sedangkan kita diberikan Tuhan akal dan kudrat seperti manusia yang lain juga. Hanya bezanya, mereka yang menulis dan menerbitkan kisah hidupnya sendiri membuang segala rasa malu dan rendah diri yang tidak bertempat. Mereka ikutkan rasa dan kehendak hati mereka sendiri, menulis dan kemudian menerbitkan kisah hidup mereka sendiri.

Jadi, buangkan rasa malu dan rendah diri yang tidak bertempat. Kejutkan diri daripada lena. Gerakkan diri untuk berbuat. Gunakan daya kreatif dan kreativiti yang dimiliki. Teruskan menulis kisah hidup kita sendiri dan berusaha menerbitkannya dengan belanja sendiri.

Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita bukan kerana hendak canangkan betapa hebat, mulia dan sucinya diri kita ke seluruh pelosok dunia. Tidak. Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita bukan kerana itu. Tidak juga kerana kita mahu dipuji disanjung atau dihormati orang kerananya.

Kita tahu di mana batas dan sempadannya. Semua pujian, sanjungan dan segala perasaan yang berlebihan dalam diri kita itu tidak akan membawa diri kita ke mana pun.

Sebagai manusia yang tahu dan faham makna maruah serta harga diri, yang tahu makna syukur dan sudah menempuh pelbagai caci hina, puji sanjung, bangun jatuh, duga dan cabaran, bukan itu yang mendorong kita menulis dan menerbitkan kisah hidup diri kita.

Jadi apakah sebab sebenarnya?

Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita bukan kerana ingin mengemis simpati sesiapa. Kita tidak ingin berbelas diri, menjajakan kisah pilu dan sedih untuk meraih simpati sesiapa. Juga tidak ingin menyalahkan masa lalu atau orang lain yang mungkin ada dan terlibat.

Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita tidak lain kerana niat kita mahu menyatakan kewujudan dan keberadaan diri kita sendiri, menyatakan bahawa kita pernah hidup di dunia ini, mengalami dan menempuh segala pahit maung hidup, pernah jatuh dan dijatuhkan, pernah kecewa dan dikecewakan, namun kita tidak mudah tunduk dan mengalah, kita bangkit dan berusaha mengatasi segala cabar serta duga hidup.

Cuma itu.

Soal apa yang kita tulis dan terbitkan itu disukai orang atau tidak, akan dibaca orang atau tidak, bukanlah suatu persoalan. Yang penting kita sudah menulis dan menerbitkannya.

Kerana kita tahu niat dan tujuan sebenar kita menulis. Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita bukan kerana mahu berlagak dan menyombongkan diri kita kepada sesiapa. Kita tulis dan terbitkan kisah hidup kita kerana kita mahu menyatakan kewujudan diri kita. Untuk setidaknya, diketahui dan dikenang oleh anak serta cucu di kemudian hari.

Cuma itu.

Kredit Foto: Matt Artz/Unsplash

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa yang memilih bersendirian dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.