Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah menyingkap kekuatan dalam kesederhanaan puisi Sasterawan Negara A. Samad Said, “Dalam Librari”.
Dalam hal ini, puisi ini dapat didekati melalui gagasan kesederhanaan sebagai bentuk intensiti, seperti yang pernah dibincangkan dalam tradisi formalisme, bahawa keberkesanan karya tidak semestinya bergantung pada kerumitan bentuk, tetapi pada ketepatan hubungan antara unsur.
Puisi “Dalam Librari” tampak sederhana pada permukaannya, namun kesederhanaan itulah yang menjadi kekuatan terasnya. Puisi ini tidak bergantung pada metafora yang berlapis-lapis atau bahasa yang terlalu berbunga. Sebaliknya, puisi ini memilih jalur yang lebih tenang, hampir bersahaja, tetapi menimbulkan kesan yang berpanjangan. Bahasa yang kelihatan biasa itu sebenarnya menanggung beban makna yang besar, khususnya dalam mengungkapkan hubungan antara ilmu, kesedaran dengan pengalaman hidup. Dalam tradisi kesusasteraan Melayu moden, pendekatan sebegini sering dipandang sebagai “ringan”, seolah-olah tidak cukup kompleks untuk diangkat sebagai karya besar. Namun begitu, tanggapan ini wajar dipersoalkan. Kesederhanaan yang dipilih dalam puisi ini bukan tanda kekurangan, tetapi suatu strategi estetika yang disengajakan. Dalam hal ini, puisi ini dapat didekati melalui gagasan kesederhanaan sebagai bentuk intensiti, seperti yang pernah dibincangkan dalam tradisi formalisme, bahawa keberkesanan karya tidak semestinya bergantung pada kerumitan bentuk, tetapi pada ketepatan hubungan antara unsur.
Seawal baris pertama, “Dalam librari/aku tersengguk”, pembaca sudah dibawa ke dalam satu situasi yang mudah dikenali. Tidak ada pengenalan yang panjang atau latar yang diperincikan. Hanya dua baris yang ringkas, tetapi cukup untuk membina suasana. Kata ‘tersengguk’ mengandungi dimensi fizikal dan psikologi sekali gus. Kata ini bukan sekadar gerak tubuh, tetapi isyarat pada keletihan, mungkin juga kebosanan atau lebih tepat lagi, kegagalan untuk hadir secara sedar dalam ruang ilmu. Di sini, persona bukan digambarkan sebagai pencinta ilmu yang tekun, sebaliknya sebagai individu yang berada dalam ruang ilmu tetapi gagal memanfaatkannya. Dalam kerangka pemikiran pembacaan fenomenologi, keadaan ini boleh difahami sebagai ketiadaan kesedaran yang sebenar terhadap pengalaman membaca. Persona berada di dalam librari (perpustakaan), tetapi tidak benar-benar “mengalami” kegiatan membaca itu sendiri.
Pemilihan kata ‘librari’ perlu diberi perhatian yang serius. Penggunaan kata ini, berbanding ‘perpustakaan’ menandakan keakraban dengan bahasa sehari-hari. Hal ini menolak jarak formal yang sering dikaitkan dengan institusi ilmu. Dalam perspektif sosiolinguistik, pilihan ini mencerminkan bahasa sebagai amalan hidup, bukan sekadar sistem yang dikawal oleh norma baku. A. Samad Said tidak terperangkap dalam idealisasi bahasa yang kaku, sebaliknya menerima kenyataan bahawa bahasa hidup melalui penggunaan. Pilihan ini sekali gus menyokong nada puisi yang lebih intim dan tidak didaktik. Pilihan ini juga menimbulkan dua kesan. Pertama, ia merendahkan nada puisi, menjadikannya lebih tidak berjarak dan “mesra pembaca” atau bercirikan lisible (readerly), istilah yang digunakan oleh Roland Barthes dalam karyanya, S/Z (1970). Readerly bermaksud meletakkan pembaca sebagai pengguna pasif terhadap sebuah naratif yang telah ditentukan dan bersifat stabil dan bacaan adalah bersifat horizontal (horizontal reading). Kedua, hal ini mencerminkan realiti bahasa yang hidup dalam masyarakat dengan penggunaan kata pinjaman bahasa harian, malahan kedengaran slanga, namun tanpa rasa janggal. Dalam hal ini, penyair tidak cuba memurnikan bahasa secara artifisial, sebaliknya menerima bahasa sebagaimana bahasa digunakan dalam kehidupan harian.
Kehadiran “seorang tua” dalam puisi ini menjadi titik perubahan naratif. Susuk ini tidak diperincikan secara fizikal, tidak diberi latar belakang, malah tidak dinamakan. Namun kehadirannya cukup kuat untuk menggerakkan keseluruhan puisi dengan kata-kata yang berkesan: “Tak guna/membuka buku/menutup mata.” Teguran ini boleh dibaca sebagai satu kritikan terhadap perbuatan “membaca” itu sendiri. Dalam konteks teori pembacaan, khususnya yang dikemukakan oleh Wolfgang Iser, makna tidak terletak sepenuhnya dalam teks, tetapi terhasil melalui interaksi antara teks dengan pembaca. Apabila mata “tertutup”, interaksi itu gagal berlaku. Membaca menjadi aktiviti kosong, sekadar memenuhi bentuk tanpa isi. Nada yang digunakan sederhana, hampir seperti nasihat biasa. Namun di sebalik kesederhanaan itu, terkandung satu kritik yang tajam terhadap sikap membaca yang mekanikal.
Simbolik “membuka buku menutup mata” dan “menutup buku membuka mata” merupakan inti pemikiran puisi ini. Kedua-dua baris ini juga mengemukakan satu pembalikan yang signifikan. Hal ini bukan sekadar permainan retorik, tetapi satu sindiran terhadap cara manusia memperlakukan ilmu. Dalam tradisi pemikiran pragmatik, ilmu tidak terhenti pada teks, tetapi perlu diuji dalam kehidupan. “Menutup mata” boleh ditafsirkan sebagai keengganan untuk berfikir atau sikap menerima sesuatu tanpa soal atau boleh juga difahami sebagai sikap tidak peduli, keengganan untuk memahami atau kebergantungan pada teks semata-mata. “Membuka mata” pula melambangkan kesedaran, pengalaman dan keupayaan untuk menilai realiti atau boleh merujuk kesedaran, kepekaan dan keupayaan untuk melihat hubungan antara ilmu dengan realiti. Pesanan orang tua itu dengan demikian menjadi satu peringatan yang melangkaui konteks librari.
Hal yang menarik ialah cara penyair menyampaikan gagasan ini tanpa menjelaskannya secara panjang lebar. Tiada huraian falsafah yang kompleks, tiada istilah akademik. Hanya dua rangkap pendek yang berfungsi sebagai pesan orang tua. Di sinilah kekuatan bahasa sederhana itu terserlah. Hal ini mengingatkan kita kepada prinsip ekonomi bahasa dalam puisi yang setiap kata harus menanggung fungsi yang jelas.
Roman Jakobson pernah menekankan bahawa fungsi puitika bahasa terletak pada keupayaan bahasa itu sendiri untuk menstrukturkan makna secara padat. Dalam puisi ini, kepadatan itu hadir melalui pertentangan yang ringkas tetapi berkesan antara “membuka” dengan “menutup”, “buku” dengan “mata”. Hala ini memberikan ruang kepada pembaca untuk mentafsir, bukan memaksa pembaca menerima satu makna yang tunggal. Dalam konteks kritikan, hal ini menunjukkan kepercayaan penyair terhadap keupayaan pembaca untuk berfikir. Puisi ini juga, meskipun sederhana dan kelihatan “langsung” (straightfoward), namun mengandungi kedua-dua unsur readerly dan writerly (istilah asal dalam Perancis yang digunakan oleh Barthes ialah scriptible), yang menekankan bahasa dan struktur dalam pembacaan (vertical reading).
Hanya dua rangkap pendek yang berfungsi sebagai pesan orang tua. Di sinilah kekuatan bahasa sederhana itu terserlah ,,,
Selepas peristiwa pertemuan dengan orang tua, berlaku perubahan dalam diri persona: “Mulai esoknya/dalam librari/ku tak pernah/tersengguk lagi”. Perubahan ini dinyatakan secara langsung, tanpa dramatik yang berlebihan. Tiada konflik dalaman yang panjang, tiada pergolakan emosi yang diperincikan. Namun perubahan ini tetap meyakinkan kerana berpunca daripada pengalaman yang jelas. Dalam kerangka naratif, hal ini menandakan satu bentuk transformasi yang lahir daripada pertemuan dengan “yang lain”, dalam hal ini, susuk orang tua. Nasihat orang tua itu, walaupun ringkas, telah meresap ke dalam kesedaran persona. Kehadiran orang tua itu boleh dilihat sebagai suara tradisi atau kebijaksanaan yang tidak terikat pada institusi formal. Namun puisi ini tidak berhenti pada perubahan tersebut. Penyair memperkenalkan unsur kehilangan: “walau orang tua/sudah lama/tiada kusua.” Di sini, puisi bergerak ke wilayah ingatan. Nasihat yang dahulu diucapkan kini tinggal sebagai gema dalam kesedaran persona. Dalam pendekatan psikologi sastera, keadaan ini berkait dengan cara memori berfungsi bahawa pengalaman yang signifikan terus hidup walaupun sumbernya sudah tiada. Seterusnya baris “mataku sering/ke kerusi orang tua/yang sudah tiada” menjadi penutup yang kuat. Imej kerusi kosong membawa makna yang luas. Ia menandakan ketiadaan, tetapi pada masa yang sama kehadiran yang berpanjangan dalam ingatan. Dalam teori semiotik, objek seperti kerusi berfungsi sebagai penanda yang merujuk petanda yang telah tiada. Dalam konteks ini, kerusi tersebut tidak lagi sekadar objek fizikal, tetapi menjadi lambang suatu kehadiran yang pernah wujud, merangkumi hubungan, nasihat dan kesedaran yang ditinggalkan dalam ingatan.
Kekuatan puisi ini terletak pada kemampuannya menggabungkan naratif yang ringkas dengan lapisan makna yang tidak cetek. Hal ini tidak bergantung pada simbol yang sukar atau metafora yang kompleks, malah selari dengan pandangan bahawa sastera tidak semestinya terpisah daripada kehidupan biasa. Dalam banyak keadaan, yang biasa itulah yang paling berkesan kerana hal biasa dekat dengan pengalaman pembaca. Dalam hal ini, bahasa sederhana berfungsi sebagai medium yang membenarkan emosi muncul secara organik. Jika penyair memilih bahasa yang terlalu puitis atau metafora yang berlebihan, kemungkinan besar kesan ini akan berkurang. Emosi mungkin menjadi terlalu “dirancang”, kehilangan kespontanan. Sebaliknya, dengan bahasa yang hampir prosaik, puisi ini terasa lebih jujur dan penggunaan pengalaman harian sebagai asas meninggalkan kesan yang lebih dirasai.
Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak terlepas daripada kelemahan. Terdapat kemungkinan pembaca menganggap puisi ini terlalu langsung dan kurang lapisan simbolik yang kompleks. Teguran orang tua itu, misalnya, boleh dianggap terlalu eksplisit. Tidak banyak ruang untuk ambiguiti atau tafsiran alternatif. Dalam tradisi puisi moden yang cenderung kepada keterbukaan makna, keadaan ini boleh dilihat sebagai keterbatasan dan dalam tradisi puisi yang lebih eksperimental pula, pendekatan ini mungkin dilihat sebagai konvensional.
Namun begitu, penilaian sebegini perlu mempertimbangkan tujuan puisi. Jika matlamatnya adalah untuk menyampaikan kesedaran secara jelas dan jujur, maka kejelasan itu sendiri menjadi kelebihan. “Dalam Librari” tidak bertujuan untuk menjadi teka-teki intelektual. Puisi ini lebih dekat dengan puisi renungan yang menekankan pengalaman dan kesedaran. Dari sudut struktur, puisi ini membentuk satu naratif mini yang lengkap. Terdapat permulaan, peristiwa penting, perubahan, dan penutup yang bersifat reflektif. Struktur ini memberikan kesan kesinambungan yang jarang-jarang ditemui dalam puisi yang sangat pendek. Puisi ini hampir menyerupai cerita pendek dalam bentuk padat.
Penggunaan naratif dalam puisi ini penting kerana membolehkan pembaca mengikuti perkembangan persona. Perubahan yang berlaku tidak terasa tiba-tiba, sebaliknya mempunyai sebab yang jelas. Walaupun pendek, puisi ini mempunyai struktur yang jelas: situasi awal, pertemuan dengan orang tua, perubahan diri, dan akhirnya renungan terhadap ketiadaan.
Struktur ini memberikan rasa kesinambungan yang jarang-jarang ditemui dalam puisi pendek. Hal ini berbeza dengan puisi yang lebih fragmentari apabila makna sering tersebar tanpa arah yang pasti. Dalam puisi “Dalam Librari”, arah itu jelas, tetapi tidak membosankan. Dalam kerangka ini, kejelasan bukan kelemahan, tetapi strategi. Penyair memilih untuk berkomunikasi secara terus, tanpa menggunakan emosi yang kompleks.
Akhir kata, puisi “Dalam Librari” menegaskan bahawa bahasa sederhana tidak menghalang kedalaman makna. Sebaliknya, kesederhanaan itu membolehkan makna hadir dengan lebih telus (transparent). Karangannya tidak memerlukan hiasan yang berlebihan untuk memberkani kesan. Apa yang penting ialah ketepatan pengalaman dan kejujuran penyampaian. Puisi ini mungkin tidak menonjol menerusi kerumitan bentuk, tetapi berkesan melalui ingatan yang ditinggalkannya. Dalam hal ini, kesederhanaan bukan kelemahan, tetapi pilihan yang menuntut ketelitian dan kesedaran estetik yang tinggi. Dalam dunia yang sering mengagungkan kerumitan, puisi ini mengingatkan kita bahawa kadangkala yang paling sederhana itulah yang paling sukar dilupakan.

_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.