Diterbitkan pada 13 April 2026, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rosnani Ripin membicarakan kumpulan puisi Mengeja Sesudah Membaca karya Abd. Razak Rezeki Othman melalui lensa teori takmilah.

Dalam kesinambungan tradisi tersebut, Abd. Razak Rezeki Othman sebagai penyair kontemporari menghidupkan semula simbol alam dalam kumpulan puisinya.

Sejak awal tradisi, kesusasteraan Melayu tidak pernah memisahkan dirinya daripada alam. Hal ini dapat dibuktikan melalui pantun, syair, gurindam, dan peribahasa yang sarat dengan lambang laut, sungai, gunung, bulan, dan bintang sebagai wahana pengajaran dan renungan kehidupan. Sehubungan itu, Muhammad Haji Salleh (2000) menegaskan bahawa alam ialah “guru yang tidak pernah letih” kerana manusia belajar daripadanya tentang kehidupan, ketuhanan dan identiti diri. Alam, dengan demikian, menjadi cermin untuk manusia memahami dirinya.

Abd. Razak Rezeki Othman

Dalam kesinambungan tradisi tersebut, Abd. Razak Rezeki Othman sebagai penyair kontemporari menghidupkan semula simbol alam dalam kumpulan puisinya, Mengeja Sesudah Membaca (PPK, 2025). Beliau menggunakan hujan, angin, malam, usia, rimba, kota, pohon ru, dan ombak sebagai lambang kerohanian. Dengan cara ini, penyair mengajak manusia menginsafi nilai tauhid, kefanaan hidup, moral sosial, dan tanggungjawab dakwah.

Analisis terhadap puisinya berlandaskan teori takmilah yang digagaskan oleh Shafie Abu Bakar (1992/2008). Teori ini menegaskan bahawa karya islami harus menepati prinsip tauhid, estetika, akhlak, dakwah, ilmu, dan memberikan kesan positif kepada khalayak. Berdasarkan kerangka ini, simbol alam yang digunakan tidak hanya berfungsi sebagai hiasan sastera, tetapi sebagai wahana mendidik insan.

Tambahan pula, dalam konteks semasa, karya sebegini amat penting. Selepas fasa pandemik COVID-19, isu kesihatan mental seperti kemurungan, stres dan tekanan jiwa semakin meningkat (World Health Organization, 2022). Oleh itu, karya islami yang berasaskan kerohanian dapat berfungsi sebagai terapi alternatif. Ripin dan Kamaruzaman (2024) misalnya menyatakan bahawa sastera islami berperanan sebagai “alternatif terapi jiwa” dalam pembentukan masyarakat insaniah.

Prinsip Ketuhanan: Alam sebagai Ayat Kauniyyah

Pertama, hujan dilihat sebagai lambang rahmat Allah. Dalam sajak “Jarum Hujan di Belakang Pelangi”, titisan hujan bukan semata-mata fenomena semula jadi, tetapi lambang kasih sayang Ilahi yang menghidupkan bumi mati. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 30 menjelaskan bahawa hujan ialah tanda kebesaran-Nya. Oleh itu, hujan dalam puisi ini mengingatkan pembaca kepada rahmat Allah yang tidak pernah putus. Hamka (1996) turut menegaskan bahawa setiap kejadian alam menghubungkan manusia kepada fitrah tauhid.

Kedua, angin digambarkan sebagai rahsia rububiyyah. Dalam sajak “Tentang Angin dan Arah”, penyair menegaskan bahawa tiada manusia mengetahui arah angin kecuali Allah. Dengan demikian, angin menjadi simbol keterbatasan akal manusia.

Ketiga, malam dijadikan lambang tafakur. Dalam sajak “Menunggu Disember 2024”, malam bukan digambarkan sebagai kegelapan yang menakutkan, tetapi sebagai ruang untuk bermuhasabah. Al-Quran menegaskan bahawa malam dan siang ialah tanda untuk manusia berfikir (Surah Yasin:37). Sehubungan itu, malam dalam puisi ini mengingatkan pembaca bahawa tafakur ialah jalan keinsafan.

Keempat, laut dan ombak digunakan sebagai metafora perjalanan hidup. Dalam sajak “Ombak Pulang ke Samudera”, ombak yang kembali ke laut melambangkan insan yang pulang ke hadirat Allah. Maka jelaslah, kehidupan manusia berakhir dengan kematian yang membawa kepada pertemuan dengan Pencipta. Zaid Ahmad (2004) menjelaskan bahawa epistemologi Islam menuntut manusia menginsafi kefanaan dunia sebagai jalan kembali kepada Allah.

Prinsip Kemanusiaan: Refleksi Hidup yang Fana

Selain prinsip ketuhanan, Abd. Razak Rezeki Othman turut mengetengahkan prinsip kemanusiaan. Dalam sajak “Putaran Jarum Jam”, jam menjadi metafora usia. Oleh hal yang demikian, manusia diingatkan bahawa setiap detik ialah peluang untuk beramal soleh.

Begitu juga, dalam sajak “Senja Tercegat”, senja menjadi simbol usia tua, manakala malam melambangkan kematian. Dengan kata lain, manusia diajak untuk sentiasa bersedia menghadapi kepulangan kepada Allah.

Selain itu, generasi muda turut disentuh. Dalam sajak “Setelah Bergelar Baligh”, penyair menggunakan simbol simpang jalan untuk menggambarkan pilihan yang harus diambil. Oleh itu, puisi ini menegaskan bahawa setiap individu memikul amanah sejak baligh.

Prinsip Moral: Alam sebagai Guru Budi

Selanjutnya, prinsip moral disampaikan melalui rimba, kota dan lidah. Dalam sajak “Alam Antara Saling dan Silang”, rimba dipersonifikasikan sebagai ruang yang menegaskan nilai kesalingan. Pohon besar yang menaungi pohon kecil, sungai yang terus mengalir walaupun dihalang batu, dan rumput yang menahan hakisan menjadi lambang kerjasama. Maka jelaslah, puisi ini menyeru manusia agar mengamalkan sikap tolong-menolong.

 Kumpulan puisi terbaharu Abd. Razak Rezeki Othman terbitan PPK.

Sebaliknya, dalam sajak “Kedut Kulit Kota”, kota yang kelihatan indah di luar tetapi sakit di dalam melambangkan krisis moral masyarakat moden. Hal ini bermakna, pembangunan material sahaja tidak mencukupi tanpa keseimbangan akhlak.

Selain itu, sajak “Jarum Beracun” menampilkan lidah sebagai simbol fitnah. Oleh itu, penyair mengingatkan bahaya gosip dan fitnah yang boleh merosakkan hubungan manusia.

Tambahan lagi, prinsip dakwah turut dijelmakan melalui simbol alam. Dalam sajak “Ikrar Ru kepada Pantai”, pohon ru yang teguh meski dilanda badai menjadi lambang istiqamah. Dengan itu, penyair mengajak manusia agar tetap berpegang pada iman dalam menghadapi cabaran.

Dalam sajak “Perjalanan Baligh”, jalan raya digunakan sebagai simbol perjalanan rohani. Oleh itu, penyair menyeru agar manusia memilih jalan kebenaran sejak awal usia baligh.

Perbincangan dan Relevansi Semasa

Karya ini menjadi signifikan ketika masyarakat berdepan dengan stres dan krisis moral akibat globalisasi.

Secara keseluruhannya, simbol alam dalam puisi Abd. Razak Rezeki Othman berfungsi sebagai instrumen terapi jiwa. Hujan, angin, malam, ombak, rimba, kota, dan pohon ru ialah citra yang membawa manusia kepada tauhid, kesedaran moral dan tanggungjawab sosial.

Dari sudut akademik, karya ini memperkukuh peranan sastera islami sebagai wahana pendidikan rohani (Kamariah Kamarudin, 2016; Mawar Safei, 2020). Sementara itu, dari perspektif psikologi Islam, karya sebegini boleh dijadikan modul kaunseling islami (Siti Norlina Muhamad, 2019). Selain itu, dari sudut masyarakat, karya sebegini mendidik tentang nilai sabar, syahadah, doa, dan istiqamah.

Relevan dengan isu semasa, karya ini menjadi signifikan ketika masyarakat berdepan dengan stres dan krisis moral akibat globalisasi. Ungku Maimunah (2020) menyatakan bahawa karya islami harus menghubungkan estetika dengan dakwah dan tanggungjawab sosial. Oleh sebab itu, puisi Abd. Razak mampu menyeimbangkan hiburan, pendidikan dan terapi jiwa.

Hasil penelitian kumpulan puisi Mengeja Sesudah Membaca, dapat dikatakan bahawa Abd. Razak Rezeki Othman merupakan penyair yang konsisten dengan tradisi Islam. Melalui lensa takmilah, puisi-puisinya menepati prinsip ketuhanan, kemanusiaan, moral, dan dakwah. Ringkasnya, simbol hujan, angin, malam, usia, pohon ru, rimba, kota, dan ombak bukan sekadar dekorasi puitis, tetapi ayat kauniyyah yang menghubungkan manusia dengan Allah. Dengan demikian, karyanya memperlihatkan fungsi sastera Islam sebagai medium penyempurnaan insan, malah relevan dengan cabaran zaman moden.

_________________________

Rosnani Ripin meminati bidang kesusasteraan sejak berusia 17 tahun, malah pernah memenangi Pertandingan Penilaian Sastera Klasik anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pada tahun 1983. Rosnani aktif berkarya sewaktu menuntut di Akademi Seni Kebangsaan pada tahun 1995, menghasilkan pelbagai puisi, cerpen dan artikel tentang kesusasteraan bermula tahun 1997 sehingga kini. Karya ecerannya tersiar dalam Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Sastera, Pengasuh, Jendela Timur, Al-Qiadah, Fajar Islam, dan beberapa buku antologi puisi.

Kredit Foto: Ken Shono/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi