Diterbitkan pada 16 Disember 2024, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa pemilihan Sasterawan Negara (SN) ke-4, YBhg. Dato’ Seri Dr. A. Samad Said selaku penerima Anugerah Sastera Mastera pada tahun ini sangat tepat pada waktunya kerana merupakan penghormatan tertinggi oleh rakan serumpun di Asia Tenggara.

Hal itu diutarakannya dalam Majlis Meraikan Penerima Anugerah Sastera Mastera (Malaysia) ke-7 2024, yang berlangsung di Sanggar Tun Seri Lanang, Menara DBP pada petang tadi.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah kepada Dato’ Seri A. Samad Said, yang diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), SN ke-9, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Anugerah Sastera Mastera (Malaysia) ke-7 diumumkan pada 1 Oktober 2024 sewaktu Anugerah Sastera Mastera ke-7 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Negara Brunei Darussalam.

Malaysia merupakan negara yang menganggotai Mastera atau Majlis Sastera Asia Tenggara, sebuah majlis yang ditubuhkan pada tahun 1995 untuk merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu/Indonesia di rantau ini.

Mastera juga terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, dan Thailand.

Majlis pada petang tadi turut menampilkan persembahan puisi daripada Sasterawan Negeri Sarawak, YBhg. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, SN ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari, SN ke-13, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan SN ke-6, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi