Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBrunei Darussalam – Sasterawan Negara Dato’ Seri (Dr.) A. Samad Said telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Mastera (Malaysia) ke-7.
Pengumuman penerima Anugerah Sastera Mastera ke-7 diumumkan oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.
A. Samad Said dalam ucapannya menyatakan, “Sekali lagi, nampaknya saya dikejutkan oleh hadiah khas.
“Padahal, saya rasa, saya cuma penulis biasa yang cuba menghargai kehidupan.
“Lihat, saya diberi hadiah kerana itu. Terima kasih menghargai saya kerana melakukan sesuatu yang sebenarnya saya cinta, iaitu mewariskan khazanah seni kepada bangsa.”
Ucapan tersebut disampaikan melalui rakaman video yang disiarkan semasa majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam Majlis Perasmian Sidang ke-28 Mastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) dan Anugerah Sastera Mastera ke-7 pada 1 Oktober 2024, bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda memaklumkan, “Anugerah ini merupakan sebuah pengiktirafan besar daripada Kerajaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sekali gus menandakan sokongan dan dukungan yang jelas kepada dunia kesusasteraan, terutama sekali kepada tokoh-tokoh sastera yang memberikan sumbangan yang signifikan.
“Anugerah ini bukan sahaja sebagai simbol kejayaan peribadi para penerima, tetapi juga pengiktirafan dan penghargaan terhadap komitmen yang telah diberikan selama ini dalam dunia penulisan dan kegiatan sastera Melayu”.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Pengerusi Mastera Malaysia mewakili A. Samad Said menerima hadiah tersebut berupa plak dan sijil penghargaan, kain jong sarat (tenunan Brunei) dan wang tunai.
Selain A. Samad Said, tiga orang tokoh sastera Asia Tenggara yang menerima anugerah ini termasuk Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman atau Badaruddin H.O (Brunei Darussalam), Yang Mulia Bapak Taufiq Gaffar Ismail atau Taufiq Ismail (Indonesia), dan YBhg. Encik Djamal Tukimin atau Djamal Tukimin (Singapura).
Anugerah Sastera Mastera merupakan anugerah berprestij yang diadakan empat tahun sekali apabila Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Mastera.
Anugerah ini merupakan salah satu bentuk inisiatif Mastera yang telah dipersetujui oleh Negara Anggota Mastera sebagai salah satu kegiatan Mastera bagi mengiktiraf tokoh sastera yang berkaliber tinggi.